Total Pageviews

Sunday, 1 April 2018

Pengalaman kanser Datin Rahmah Mahmood


Pengalaman kanser

Datin Rahmah Mahmood





MELIHAT wajahnya, pasti siapa tidak menyangka wanita ini pernah melalui episod hitam dalam hidupnya. Hanya senyum manis tergambar dan di sebalik raut yang kadangkala agak serius itu juga terpancar kekuatan yang hanya diketahui sepenuhnya saat wanita itu membuka bicara.

"Saya disahkan menghidap kanser payudara enam tahun lalu, iaitu selepas pemergian kakak tersayang. Ketika itu saya disyorkan menjalani ujian penentuan kerana seperti yang kita tahu, sejarah keluarga antara risiko seseorang itu diserang kanser," tenang tutur Datin Rahmah Mahmood.

Adik kepada Allahyarhamah Datin Seri Endon, isteri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad badawi berkata, beliau sukar menggambarkan perasaannya ketika itu. Pengalaman menyaksikan sendiri bagaimana kakaknya bertarung melawan penyakit cukup memeritkan.

"Saya berada di Amerika Syarikat bersama kakak sepanjang dia menjalani rawatan di sana. Saya lihat sendiri bagaimana dia menderita akibat kemoterapi, tubuhnya lemah, dia keletihan dan mulutnya ditumbuhi ulser," katanya.

Mengingatkan perkara itu membuatkan beliau rasa takut. Apatah lagi doktor yang merawat menyarankan agar Rahman menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dan seterusnya melalui proses kemoterapi serta radioterapi. Namun kata doktor, itu bukan jaminan sel ganas itu akan hilang.

Memikirkan insan-insan tersayang di sekeliling, membuatkan beliau tidak mahu berputus asa. Melalui Internet dan buku rujukan, beliau mengumpul maklumat sebanyak mungkin. Sehingga seorang rakan mengesyorkan beliau berjumpa Dr. Vagif Soultanov, seorang doktor perubatan yang menjalankan klinik terapi semula jadi di Melbourne, segala-galanya terus berubah.

Bagi Rahmah, lelaki itu ibarat penyelamat dalam hidupnya. Namun itu bukan bererti penyakit itu boleh dirawat dengan mudah. Sebagai seorang doktor, beliau tetap menasihatkan Rahmah menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan terlebih dahulu sebelum mencuba rawatan alternatif herba.

"Sebenarnya bukan mudah untuk merawat kanser. Saya perlu mengubah gaya hidup secara keseluruhan. Tapi secara perlahan-lahan selepas mengikuti saranan Dr. Soultanov yang menggunakan bahan semula jadi, saya rasa diri semakin baik," kata beliau.

Lari dari menjalani rawatan kemoterapi yang diwajibkan kepada semua pesakit sepertinya, suatu hari Rahmah menerima panggilan dari doktor yang merawatnya.

Doktor itu meminta beliau menjalani pemeriksaan semula dan akhirnya dia disahkan bebas kanser.

"Bagi saya, apa yang saya lalui adalah sesuatu yang sukar dipercayai. Betapa saya sangat berharap dapat memperkenalkan rawatan dan Dr. Soultanov kepada kakak supaya dia tidak menderita namun itu semua sudah tertulis," kata beliau dalam nada sedikit kesal.


Dr. Soultanov wira Chernobyl

Masih ingat dengan kisah kebocoran radiasi di loji nuklear Chernobyl pada tahun 1985? Kejadian itu menggemparkan seluruh dunia kerana tidak ramai yang tahu cara menanganinya.

Dr. Soultanov antara pakar perubatan yang dihantar ke sana bagi merawat mangsa di situ. Beliau juga merupakan saintis generasi keempat menyelidik tentang keberkesanan Bioeffective A yang diekstrak daripada konifer pokok pain. Justeru beliau percaya bahan itu mampu mengekang masalah kesihatan serius di kalangan mangsa di sana.

"Suhu di situ meningkat serta merta, malah pencemaran bahan nuklear menjejaskan hingga keluasan tiga juta ekar ladang. Apa yang saya gunakan adalah memberi bahan ini kepada mereka yang berada di sana dan mengambil untuk diri sendiri bagi mengawal kesan radiasi," kata beliau.

Setiap hari beliau akan mengambil tiga sudu untuk menghalang kesan radiasi dan menurutnya, seminggu berada di tempat kejadian, dia mengalami sakit kepala yang kronik dan keguguran rambut. Namun dia percaya itu hanya tindak balas daripada pengambilan bahan Bioeffective A. Dan akhirnya dia berjaya melalui keadaan tersebut dengan bantuan bahan semula jadi.

Melalui kejadian itu juga, Dr. Soultanov percaya dengan keberkesanan Bioeffective A yang diekstrak daripada konifer pokok pain. Keajaiban tumbuhan itu bertahan dalam pelbagai cuaca membuktikan ia mampu menjadi penawar untuk kesihatan menyeluruh. Antara kebaikannya adalah:

* Antioksidan hebat - membantu melindungi daripada kerosakan sel dan merendahkan paras kolestrol
* Antibakteria dan antivirus - membantu melindungi dan membantu proses penyembuhan jangkitan
* Penyembuh gastrointestinal - menghalang masalah ulser perut
* Ejen penyahtoksid - membantu mengeluarkan toksin dari darah dan hati.










No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.