Sejarah Merdeka Yg
digelapkan
Sejarah Kemerdekaan Negara Yang Sengaja
Digelapkan
Pada 31 Ogos, negara kita meraikan ulangtahun
kemerdekaannya yang ke-48. Kebanyakan daripada pejuang kemerdekaan telah pun
meninggalkan kita buat selama-lamanya, namun jasa dan pengorbanan mereka akan
tetap abadi dalam lipatan sejarah.
Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar telah membuat kenyataan melalui Harakah edisi terbaru meminta supaya sambutan ulangtahun kemerdekaan kali ini akan menyingkap kembali sejarah yang sebenar yang berlaku dalam perjuangan menuntut kemerdekaan termasuklah tokoh-tokoh pejuang yang benar-benar telah terlibat di dalam menyumbang ke arah kemerdekaan negara.
Umno sesungguhnya bukanlah pemilik tunggal perjuangan menuntut kemerdekaan dan hakikat ini perlu dibongkar untuk pengetahuan rakyat jelata khususnya generasi kini.
Malang sekali buku-buku sejarah di sekolah-sekolah rendah dan menengah sekadar mengagung-agungkan jasa para pejuang Umno semata-mata, seolah-olah Umno sahajalah yang bertanggungjawab memerdekakan bumi bertuah kita ini.
Hilang langsung jasa Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada tahun 1939 jauh sebelum tarikh pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Nama Ibrahim Hj Yaakub, pengasas KMM tidak mendapat
tempat dalam sejarah versi kini.
Menjelang penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu
bermula tanggal 8 Disember 1941 penjajah British ketika itu telah
mengisytiharkan darurat dan antara tahanan politik terawal dalam sejarah negara
adalah barisan kepimpinan KMM ini iaitu seramai kira-kira 130 orang.
Ketika British menyerah kalah pada 15 Febuari 1942, Jepun telah memberi tempat kepada para pimpinan KMM walaupun KMM tidak lagi dibenar bergerak.
Antara ucapan Ibrahim Yaakub ketika itu
sebagaimana yang tercatat dalam buku Ahmad Boestamam:
Lambaian Dari Puncak (Memoir 1941-45) adalah:
"Kemenangan tentera Jepun bukan bererti kemenangan bangsa Melayu. Kita mesti terus berjuang menuju cita-cita, dan kemenangan bangsa Melayu hanya akan datang apabila cita-cita yang kita perjuangkan itu tercapai."
Ibrahim Yaakub dan seorang lagi tokoh iaitu Dr Burhanuddin al Helmy terlibat dalam usaha mengisytiharkan kemerdekaan negara bersama Indonesia melalui bantuan Jepun.
Beberapa siri rundingan telah diadakan
termasuklah yang melibatkan Sukarno dan Dr. Hatta dari Indonesia.
Cuma nasib tidak menyebelahi mereka, ketika
persiapan akhir sedang dibuat, Jepun tiba-tiba menyerah kalah pada tanggal 15
Ogos 1945.
Sukarno telah terus sahaja mengisytiharkan
kemerdekaan Indonesia tanpa Malaya pada tanggal 17 Ogos 1945 manakala Ibrahim
Yaakob telah melarikan diri ke Indonesia.
Bermakna sebelum pun Umno bernyawa, telah ada usaha-usaha dan ikhtiar dari anak-anak bangsa untuk memerdekakan negara daripada kuasa dan cengkaman penjajah.
Mengapakah kita menyembunyikan fakta ini setiap
kali negara memperingati ulangtahun kemerdekaan negara?
Parti politik pertama yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua menurut John Funston di dalam bukunya Malay Politics in Malaysia – A Study of Umno and PAS adalah Parti Kebangsaan Melayu Sa Malaya (PKMM) atau Malay Nationalist Party (MNP) iaitu pada bulan Oktober 1945.
Ianya ditubuhkan setelah satu majlis perundingan diadakan di pejabat Suara Rakyat akhbar Melayu yang ditubuhkan di Ipoh pada bulan Ogos 1945 selepas perang.
Menurut Ahmad Boestamam dalam bukunya Merintis Jalan Ke Puncak (1972) antara pandangan yang diberikan oleh seorang peserta majlis perundingan tersebut adalah:
"Untuk menangkap ikan, misalnya kita harus mempunyai kail atau jala atau alat-alat lain untuk menangkap ikan.
Demikianlah pula untuk mendapatkan kemerdekaan.
Dan alat untuk memperjuangkan kemerdekaan ini ialah parti politik."
Bermakna gerakan politik untuk memerdekakan negera telah bersemarak sejak sebelum penubuhan Umno lagi dan dalam kes ini tanpa bantuan ataupun sokongan mana-mana kuasa asing.
PKMM telah ditubuhkan dengan Mokhtaruddin Lasso sebagai Yang Di Pertua Agung, Dr Burhanuddin sebagai Naib Yang Di Pertua, Dahari Ali sebagai Setiausaha Agung dan Boestamam sebagai salah seorang AJK-nya.
Malangnya dalam memperingati 48 tahun
kemerdekaan pada hari ini, nama-nama mereka ini terpadam langsung dari
sejarah versi kerajaan pada hari ini, seolah-olah jasa-jasa mereka tiada
nilai dalam lipatan sejarah tanah air.
Sedangkan ketika itu nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan lain-lain tidak terlintas langsung dibenak fikiran rakyat.
Namun pada hari ini tanyalah mana-mana anak
muda, siapakah antara pejuang kemerdekaan negara yang mereka kenali, pasti yang
akan terpancar dari mulut mereka adalah Dato Onn dan Tunku sahaja.
Umno ditubuhkan pada tanggal 11 Mei 1946, namun ramai yang tidak ketahui bahawa Umno itu asalnya merupakan sebuah badan yang menggabungkan hampir 50 buah badan, pertubuhan dan persatuan-persatuan dari seluruh ceruk rantau tanahair.
Berkumpul bagi satu tujuan khusus iatu
menentang penubuhan Malayan Union.
Ahmad Boestamam menukilkan di dalam Merintis
Jalan Ke Puncak:
"Belum pun beberapa hari markas PKMM dipindahkan ke Kuala Lumpur ia telah menerima undangan untuk menghantarkan perwakilannya ke dalam sebuah kongres badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan Melayu se Malaya bagi membentuk sebuah gabungan besar yang akan dinamakan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang akan berjuang menentang Malayan Union."
Menurut rekodnya PKMM telah hadir dalam kongres yang telah diadakan pada 1 Mac 1946 dengan diwakili oleh Dr Burhanuddin al Helmy.
Usul yang telah dibawa oleh PKMM di dalam
kongres tersebut berbunyi:
Menolak Malayan Union dan atas runtuhannya ditegakkan Malaya yang merdeka seratus peratus.
Malangnya usul ini telah ditolak.
PKMM terus mengambil bahagian di dalam badan ini sehinggalah ke tarikh Umno ditubuhkan secara rasmi.
Ini bermakna sebagaimana dicatatkan oleh
Boestamam:
"Dari hakikat ini memang tidak salah kalau dikatakan bahawa salah satu badan yang menjadi pengasas Umno ialah PKMM dan wakil serta tokoh PKMM yang hadir dalam kongres ini merupakan juga antara tokoh-tokoh pengasas Umno."
"Dari hakikat ini memang tidak salah kalau dikatakan bahawa salah satu badan yang menjadi pengasas Umno ialah PKMM dan wakil serta tokoh PKMM yang hadir dalam kongres ini merupakan juga antara tokoh-tokoh pengasas Umno."
Dalam hal ini tahukah kita bahwa bendera merah putih Umno hari ini sesungguhnya lahir dari cadangan yang dibawa oleh PKMM.
Cuma PKMM mahukan Sang Saka Merah Putih sahaja,
usul PKMM ditolak dan akhirnya yang terbit kekal sehinggga hari ini adalah
bendera Umno yang ada (Sang Saka Merah Putih tetap merupakan warnanya) dengan
dimuatkan keris terhunus ditengah-tengah.
Semasa berucap mengisytiharkan keluarnya blok PKMM daripada gabungan Umno, Boestamam menyebut:
"Perbedaan pandangan politik diantara Umno dan PKMM sekarang sudah jelas jauh bertentangan.
Sementara kita mahu kemerdekaan seratus peratus
bagi Malaya, Umno hanya mahu kembali kepada status quo sahaja.
Kerana perbedaan pandangan politik ini lambat
laun kita akan berpisah juga dengannya."
Beza ketara antara Umno dan PKMM adalah bahawa PKMM telah mengambil slogan Merdeka ketika Umno sekadar baru belajar melaungkan slogan Hidup Melayu!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.