Bakal Doktor Jadi Bapa Ayam
PUTRAJAYA: Seorang graduan
perubatan dari universiti di Mesir dipenjara 10 tahun dan satu sebatan oleh
Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak pada Khamis, kerana kesalahan hidup atas
hasil persundalan seorang kanak-kanak berusia 14 tahun.
Hakim, Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman itu
terhadap Khairul Azzuar Yusoff, 30, yang mengaku hidup daripada hasil
persundalan kanak-kanak itu, di Berjaya Times Square Hotel dan Servis
Apartment, Jalan Imbi, pukul 2 sehingga pukul 3.30 petang pada 26 Januari 2017.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen
372A(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan
sebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah, namun
menukar pengakuannya kepada bersalah selepas pihak pendakwaan memanggil tujuh
saksi memberi keterangan.
Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar memohon
mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tertuduh hanya membuat pengakuan
selepas beberapa saksi selesai memberi keterangan.
“Ini adalah kesalahan serius, bukan sahaja salah dari
segi undang-undang, malah dari sudut agama dan membabitkan kanak-kanak.
"Tertuduh adalah seorang yang bijak dan sebagai
orang dewasa sepatutnya boleh membuat pertimbangan antara salah dan benar. Apa
juga alasan untuk dia menawarkan khidmat seks bukanlah untuk tertuduh mengambil
kesempatan,” hujahnya.
Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam
Suzanawati Ismail, merayu dikenakan hukuman ringan kerana telah insaf dan
memohon diberikan pilihan kedua.
“Tertuduh adalah penuntut dalam jurusan perubatan dan
pembedahan. Tertuduh bersedia menawarkan kepakarannya untuk banduan yang berada
di dalam penjara.
"Tertuduh juga telah dibuang keluarga dan masa
depannya musnah," katanya.
Tambah peguam itu, mangsa dalam kes itu mencari
tertuduh untuk mendapatkan wang dan menggunakan wang yang diperoleh bagi
membeli barangan.
“Mangsa kini bebas, sedangkan tertuduh berada di
penjara menghabiskan masa mudanya,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, ketika tangkapan dilakukan,
mangsa dilihat sedang menunggu seseorang, berada di pekarangan pusat beli-belah
berkenaan.
Hasil siasatan, remaja itu mengesahkan dia melakukan
aktiviti pelacuran selepas ditawarkan oleh tertuduh, selain mendakwa dilanggan
oleh dua lelaki pada 26 Januari 2017 antara jam 2 sehingga jam 3.30 petang di
tempat kejadian.
Mangsa juga mendakwa mendapat bayaran khidmat seks
yang diberikan oleh pelanggan tetapi dibayar kepada tertuduh. - Sinar Online
http://www.mstar.com.my/berita/berita-mahkamah/2018/03/29/bakal-doktor-bapa-ayam#Y72QYjfl4TEc3GwH.99
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.