Sejarah Saddam Hussein
yang digelapkan
JENAYAH AMERIKA SYARIKAT
DI PAGI AIDIL-ADHA DI IRAQ
Kassim Ahmad
30 Disember, 2006
Hari ini, 30 hb
Disember, 2006, hari yang sedih bagi rakyat Iraq, bagi bangsa Arab, bagi umat
Islam dan bagi rakyat Dunia Ketiga: seorang pahlawan mereka yang terbilang
telah mereka serahkan untuk dibunuh di tali gantung oleh musuh mereka, kaum
oligarki A.S.-Inggeris-Israel. Hari ini hari yang hina bagi yang rakyat
tertindas yang tidak akan luput oleh dari ingatan kemanusian dan yang akan
dibela oleh mereka. Hari ini hari dikeluarkan amaran keras kepada kaum penindas
di mana-mana bahawa mereka akan dihapuskan dari muka bumi!
Pada Mac 20, 2003,
khasnya atas hasutan kaum Zionis Israel, Amerika Syarikat dan Inggeris, dengan
membelakangkan P.B.B. dan undang-undang antarabangsa, melanggar Iraq,
menggulingkan pemerintahan Saddam Hussein yang sah dan menakluk negara di
kawasan strategik Asia Barat itu untuk mencapai hasrat jahat mereka untuk
mencipta sebuah “Tatadunia Baru”. Tiga tahun kemudian, walaupun dengan
bongkaknya mereka telah mengisytiharkana kemenangan, impian ini tidak mereka
capai, walaupun Saddam Hussein, yang paling mereka benci, telah mereka tangkap
dan bunuh melalui suatu perbicaraan olok-olok yang haram dan keji. Mereka --
A.S. dan talibarut mereka di Baghdad dan di Tehran [1] --
membunuh beliau pada pagi umat Islam di seluruh dunia melakukan ibadah korban!
Saddam Hussein dengan
tabah dan sukarela telah menyerahkan dirinya untuk dikorbankan dalam perjuangan
bersejarah kemanusiaan untuk menghapuskan kaum penindas sedunia dari muka bumi!
Dari kecil lagi,
Saddam Hussein menunjukkan ciri-ciri seorang pengasih, seorang pejuang dan
seorang yang berani, tekun dan tabah, tegas dan pintar. Peristiwa-peristiwa
yang berlaku dalam keluarganya menanam nekad dalam dada pemuda Saddam menjadi
pejuang anti-imperislis yang teguh. Pada umur 20 tahun, beliau menjadi
anggota Parti Ba’ath (= kebangkitan) Arab Sosialis Iraq (PBASI) dengan visi
falsafah nasionalis Arab-Islam-sosialisnya yang jelas. [2] Dari
sejak itu, di antara masuk dan keluar tahanan kerana aktiviti politik
revolusionernya, beliau bekerja keras untuk membangunkan parti itu dan
mendapatkan kuasa baginya di Iraq, yang berlaku pada 1968. Pada tahun ini
beliau dipilih oleh parti itu menjadi naib ketua Majlis Pemerintah Revolusi dan
juga Naib Presiden Iraq kepada Presidennya, Ahmad Hassan al-Bakr. Melalui
falsafah kebangkitan Parti Ba’ath Arab yang unik itu dan melalui
kebijaksaaan dan kepintarannya, beliau berjaya membangunkan Iraq, dalam masa
yang singkat, dari unsur-unsur penduduk yang sukar dipersatukan (yang sengaja
diciptakan oleh penjajah Inggeris dan Perancis selepas Perang Dunia
Pertama), menjadi sebuah negara Arab yang moden, maju dan kuat, bersatu di
bawah suatu pimpinan nasional yang berprinsip, dihormati kawan dan lawan.
Beliau meneruskan
dasar nasionalis revolusioner Arab yang dimulakan oleh Presiden Nasir di dunia
Arab. Salah satu tujuan nasionalisme ini ialah sokongan teguh terhadap
perjuangan kemerdekaan rakyat Palestin. Parti Ba’ath Iraq di bawah pimpinan
Saddam Hussein bukan saja memberi sokongan politik dan kewangan kepada rakyat
Palestin, tetapi juga sokongan ketenteraan. Oleh kerana ini, beliau sangat
ditakuti oleh Israel, yang bekerja keras untuk menghasut A.S. menggulingkan
Saddam dan tuduhan bahawa beliau sedang berusaha untuk membangunkan Iraq
menjadi sebuah kuasa nukliar dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan
Amerika itu. Pada 1981 Israel telah menyerang pusat tenaga nuklier Iraq di
Osirak.
Perang Iran-Iraq (1980-88)
yang bermula dengan impian Khomeini untuk mengeksport “revolusi Islamnya” ke
seluruh dunia Arab diambil kesemptan oleh A.S., Inggeris dan Israel untuk
melemahkan kedua-duanya. Namun demikian, jika Khomeini menerima cadangan
genjatan senjata Iraq dua minggu selepas pertempuran berlaku, perang ini tidak
akan berlarutan sehingga lapan tahun. Dalam perang inilah Saddam dituduh
membunuh kaum Kurdish dengan gas kimia. Tuduhan ini palsu, kerana, mengikut
suatu kajian tiga orang pengkaji A.S., Iraq tidak mempunyai senjata ini.
Sebaliknya, yang mempunyai senjata ini ialah Iran. [3]
Perang ini membawa
kepada penaklukan Iraq pada Ogos, 1990 ke atas Kuwait (yang diciptakan oleh
Inggeris dari sebuah daerah Iraq) yang dihasut oleh A.S. dan sekutunya Inggeris
dan Israel untuk melancarkan perang ekonomi terhadap Iraq sebaik saja Perang
Iran-Iraq tamat. Amerika dan sekutunya mengambil kesempatan ini untuk menghimpunkan
suatu pakatan tentera 30-bangsa (antarabangsa) untuk melancarkan serangan
besar-besaran terhadap Iraq untuk “membebaskan” Kuwait. Serangan ini dibuat
pada 16 Februari, 1991, walaupun Iraq, melaui suatu perjanjian dengan Rusia
bersetuju untuk mengundurkan tenteranya dari Kuwait sebelum tarikh akhir yang
diberi oleh Bush Bapa yang menjadi presiden A.S. pada waktu itu. [4] Pada
ketika inilah, A.S., Inggeris dan Israel menghasut rakyat Iraq kaum Syi’ah
memberontak terhadap kerajaan pusat. Inilah yang menyebabkan Iraq mengalihkan
tenteranya untuk menumpaskan pemberontakan ini.
Dua negara Arab, Arab
Saudi dan Kuwait, terlibat dalam pakatan ini dengan membenarkan bumi mereka
digunakan oleh A.S. dan Inggeris untuk menyerang Iraq.. Beberapa buah negara
Arab dan juga Islam, termasuk Pakistan, Mesir dan Syria, mengirim asykar untuk
mengambil bahagian dalam “Ibu Segala Perang” ini. P.B.B. sendiri subhat dan
pada akhirnya Iraq dikenakan sekatan ekonomi dan zon larangan dikenakan
terhadap Iraq selama 12 tahun. Boleh dikatakan tiap-tiap hari selepas itu
kepalterbang-kepalterbang A.S. dan Inggeris memasuki zon-zon Iraq dan menembak
sasaran-sasaran ketenteraan di Iraq. Dianggarkan sejuta juta orang awam Iraq,
khasnya kanak-kanak dan orang tua, terkorban kerana sekatan ini.
Iraq inilah (yang
telah melalui sekatan ekonomi P.B.B. selama 12 tahun, suatu pemberontakan oleh
kaum Kurdis yang dihasut oleh Inggeris dan A.S. pada 2002 dan yang diceroboh
tiap-tiap hari oleh jet-jet pejuang A.S. dan Inggeris) yang dituduh memiliki
senjata pemusnah dan diceroboh oleh pakatan ketenteraan Barat pada Mac, 20,
2003.
Anehnya, pada hari
ini, Saddam Hussein, presiden sebuah negara Arab dan Islam yang berdaulat dan
anggota P.B.B. yang telah diceroboh oleh Bush dan Blair, atas hasutan kaum
Zionis Israel, dihukum bunuh, kerana kononya seorang diktator yang zalim,
sedangkan Bush dan Blair yang terang-terang melanggar undang-undang
antarabangsa, menceroboh dan melakukan jenayah perang, dengan titisan darah
tidak kurang dari satu setengah juta rakyat awam Iraq mengalir di tangan
mereka, terlepas tanpa hukuman! Keadilan apa ini? Penceroboh dan
penjenayah dikatakan penyelamat! Hendak membawa “demokrasi” ke Asia Barat,
konon! Penyamun, perompak dan pengganas menyamar sebagai penyelamat! Jika
tidak kerana kejahatan dan kezaliman yang dahsyat ini, kita boleh mentertawakan
peristiwa ini sebagai kelakar yang paling lucu dalam sejarah dunia!
Untuk menipu rakyat
dunia lagi, apabila setelah tiga tahun, mereka gagal mencapai matlamat mereka,
Bush membawa dongeng baru: “untuk membawa demokrasi ke Iraq”. Ahli-ahli ekonomi
politik tahu bahawa wujud banyak bentuk demokrasi, dan demokrasi ini harus
selaras dengan sejarah dan tradisi bangsa itu. Demokrasi Barat hanya salah satu
bentuk saja. Adakah Nabi Muhammad diktator kerana tidak dipilih oleh rakyat dan
memerintah tanpa sebuah parlimen? Adakah Bush dan Blair tidak diktator
kerana dipilih oleh rakyat melalui suatu sistem pemilihan, walaupun mereka
terang-terang penjenayah perang? Adakah mereka tidak kejam dan zalim, walaupun
telah membunuh satu setengah juta rakyat Iraq? Logik apa ini?
Sebenarnya, para
pemimpin Arab sendiri, para pemimpin Islam, para pemimpin Dunia Ketiga,
termasuk rakyat Amerika Syarikat dan Inggeris, telah melakukan kesalahan yang
besar kerana bersubhat dalam pakatan jenayah yang dahsyat dalam sejarah
manusia. Mereka sudah hilang kebolehan untuk mengetahui yang baik daripada yang
buruk, yang benar daripada yang palsu.[5] Propaganda
dan pembohongan A.S., Inggeris dan Zionis kita anggap sebagai kebenaran, dan
kita jadi mangsa dan hamba kepada mereka!
Masanya sudah tiba
untuk kita semuanya bangkit dan meruntuhkan sistem yang batil ini dan
mendirikan sebuah dunia yang baru berdasarkan keadilan dan kebenaran. Jangan
fikir kita tidak boleh melakukan ini. Pemberontakan terhadap sistem zalim kaum
oligarki Inggeris-A.S. ini sekarang sangat besar dan meluas – dari timur ke
barat, dari utara ke selatan. Kaum oligarki penindas ini sedang dikepung oleh
rakyat mereka sendiri. Mereka sebenarnya tidak punya kekuatan, kerana kebenaran
dan keadilan bukan di pihak mereka. Kebenaran dan keadilan di pihak rakyat
tertindas. Kita harus sedar dan faham akan kebenaran agung ini. Inilah yang
akan memberikan kita kemenangan muktamad pada akhirnya.
Kematian Saddam
Hussein tidak sesia. Hari beliau dibunuh menandakan suatu peringkat baru dalam
perjuangan rakyat tertindas untuk menghapuskan penjenayah perang Bush-Blair dan
talibarut-talibarut mereka di mana juga mereka berada dan mewujudkan sebuah
dunia baru yang aman dan adil.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia.
Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Laman web beliau www.kassimahmad.blogpost.com
[1] Iran menggunakan sesetengah daripada
rakyat Iraq dari puak Syi’ah melalui gerakan bawah tanah yang mereka sokong dan
biayai untuk menjatuhkan kerajaan Parti Ba’ath Iraq dan menguasai Iraq secara
haram. Percubaan mereka untuk membunuh pemimpin Iraq kerap berlaku dan kerajaan
mesti bertindak untuk menumpaskan gerakan bawah tanah ini. Inilah yang
dilakukan oleh Kerajaan Iraq dan inilah “asas” tuduhan “genosid” terhadap
Saddam di Dujail pada 1982.
[2] Tidak ramai orang tahu bahawa Saddam
Hussein juga seorang ahli fikir. Lihat wawancara beliau dengan penulis Fuad
Matar dalam Fuad Matar, Saddam Hussei -- The Man, the Cause and the
Future, Third World Centre for Research and Publishing, London, 1981. Untuk
falsafah PASBI, lihat Kassim Ahmad, Bush’s New World Order or Pax
Americana, Golden Books Centre, Kuala Lumpur, 1991.
[3] Lihat Patrick E. Tyler, “Iran Faulted ,
too, in the Case of Attack on Kurds”, International Herald Tribune,
May 4, 1990 dan Stephen C. Pelletiere et all, Iraqi Power and U.S.
Security in the Moddle East, Stategic Studies Institute, U.S. Army College,
Carlisle Barracks, Pensylvania, 1990.
[4] Kenyataan Naib Perdana Menteri Iraq,
Tariq Aziz, kepada penulis dalam suatu pertemuannya dengan beliau di Baghdad
pada 1999.
[5] Quran, lebih 1,400 dulu, telah
mengingatkan orang mukmin dan umat manusia tentang tipu muslihat kaum oligarki
Yahudi-Kristen ini, demikian: “Orang-orang Yahudi dan Kristen tidak akan
menerima kamu sehingga kamu mengikut agama mereka.” (2: 120). Siapa yang enggan
menerima sistem Liberal mereka (riba, penipuan dan penindasan) akan dianggap
sebagai musuh.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.