DIDIAGNOS MENGHIDAP KANSER PAYUDARA
EPISOD 1: BAGAIMANA SAYA DIDIAGNOS MENGHIDAP KANSER PAYUDARA – PUAN ELIYANA
Harap
dengan coretan ini pembaca tidak menyalahkan mana-mana pihak. Inilah takdir
saya yang saya terima dengan terbuka.
Saya
menyusu penuh anak pertama sehingga mengandung anak kedua dan bersambung
menyusukan anak kedua sehingga hampir berusia 2 tahun. Ketika hampir tempoh
bercerai susu saya dipanggil untuk menyertai Kursus Biro Tatanegara ke luar
negara. Seminggu tidak menyusukan anak, susu saya bengkak sedikit. Apabila
tamat kursus dan pulang ke rumah anak pun tidak lagi mahu menyusu.
Keliru
dan tak pasti bengkak telah hilang, saya meminta beberapa rakan doktor untuk
memeriksa payudara. Rata-rata menasihatkan saya membuat pemeriksaan di klinik.
Saya tampil ke klinik menceritakan sejarah menyusu anak dan cerai susu. Ketulan
berukuran 4 cm yang bergerak itu di periksa menggunakan mesin ultrasound.
Mammogram tidak sesuai buat wanita muda.
Berdasarkan
keputusan ultrasound walaupun tidak konklusif, kebarangkalian bukan kanser
adalah tinggi. Tambahan saya tiada risiko kanser. Walaupun begitu, saya tidak
betah duduk diam memikir apa di dalam badan, lalu saya menyerah diri untuk
memberikan sampel tisu payudara bagi tujuan ujian histopatologi.
Dalam
tempoh menunggu keputusan ujian saya sering dimomokkan dengan pelbagai mitos.
Katanya sebaiknya jangan diusik atau dicucuk ketulan itu. Bimbang mengganas.
Bisa jarum katanya. Saya tak peduli, walaupun kata-kata itu menakutkan saya.
Memang
apabila ditebuk untuk mengambil sampel tisu payudara, ruang kosong itu akan
diganti dengan sel baru untuk menyudahkan proses pemulihan. Tetapi bagi ruang
kosong yang selnya terdapat campuran sel normal dan sel kanser, sel kanser yang
lebih cepat membahagi akan memenuhi ruang kosong itu. Tetapi tempoh sehingga
menyebabkan mudarat itu tidak kesampaian kerana biasanya pembedahan akan diatur
secepat mungkin setelah kanser disahkan. Bukan berbulan-bulan sehingga sel
kanser nampak di permukaan kulit.
Pada
saya, prosedur pemeriksaan dan rawatan (kalau perlu) mungkin sakit. Tetapi
tidak diperiksa juga tetap sakit. Dan bertambah lagi apabila kita sakit tapi
tak tahu mengapa dan setiap hari hidup bersangka-sangka. Boleh jadi sebenarnya
ketulan itu bukan kanser.
Saya
faham ketakutannya, ada pesakit yang sanggup menahan sakit kerana suami tak
izin ke hospital. Sedangkan yang menanggung sakit itu kita, dan badan itu
diamanahkan pada kita. Maka kitalah yang perlu menjaga dan merawatnya.
Lebih
sedih lagi ada pesakit yang ketulannya masih kecil. Mungkin bukan kanser atau
kanser tahap awal yang insyaAllah peratusan kejayaan rawatan lebih tinggi dan
peratusan kanser berulang rendah. Namun mereka tidak tampil menerima rawatan
kerana mendengar cakap orang yang bukan pun penghidap kanser, ahli keluarga
pesakit apatah lagi para doktor atau pakar perubatan. Hati saya remuk setiap
kali bertemu pesakit yang asalnya masih di peringkat awal tapi tidak tampil
dirawat kerana ditawarkan rawatan alternatif yang jauh lebih mahal dan sejarah
peratusan kegagalan tidak pernah dikongsi atau lebih tepat ditutup.
APA
PERASAAN SAYA?
Pada
waktu itu, air mata menitik. Antara terkejut dan syukur. Syukur kerana Allah
ingat pada saya. Pada saya apa yang Allah duga atas dunia ini kalau itu boleh
menghapuskan dosa, itulah yang lebih saya rela daripada menghadap murkaNya di
akhirat nanti.
Diberitakan
pada suami keputusan tersebut. Dia tergamam lalu mengucapkan inna lillahi
wainna ilaihi rajiun. Saya terus menangis sehingga pulang ke rumah. Malamnya
saya mula reda. Mula memikirkan apa yang perlu saya lakukan dan harapkan. Saya
tidak tahu doa apa yang harus saya lafazkan melainkan doa Nabi Ayyub kerana
saya tidak tahu apa yang terbaik buat saya. Semua saya serahkan kepada
Pencipta. Saya tak fikir untuk sembuh tetapi dalam masa yang sama takut
terlantar sakit dan membebankan orang sekeliling. Saya berdoa agar Allah dorong
hati saya pada apa yang Allah suka.
Tidak
sudah di situ, ujian ct skan dilakukan untuk mengetahui tahap kanser saya.
MasyaAllah terkejut kami semua apabila keputusannya sel kanser telah merebak ke
tulang. Hanya pada Allah saya berserah kerana kepenatan memikir apa yang perlu
dilakukan.
Keesokannya
apabila menyambung tilawah, saya singgah di ayat
“Dan
apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;
(Asy-Syu’araa’
26:80)
Tidak
bahagiakah hati saya apabila merasa mukjizat al Quran?
Tiba
masa membuat pilihan rawatan. Saya tidak terdetik untuk mengelak pembedahan dan
kemoterapi kerana mata saya telah melihat ramai pesakit yang sembuh ataupun
hidup biasa selepas menjalani kemoterapi. Tidak kurang juga yang meninggal
akibat kanser. Juga banyak juga saya dengar testimoni kegagalan rawatan
alternatif daripada pesakit yang berkunjung ke hospital selepas kegagalan
tersebut. Hati saya bulat menempuh rawatan yang dicadang dan disusun oleh
doktor. Mereka bukan sahaja menimbang keadaan saya, malah keputusan suami,
kewangan dan sokongan lain lantas membuatkan saya semakin bersungguh menempuh
rawatan. Kalau saya tidak dirawat oleh mereka, gaji mereka tetap sama, bukan
mendapat komisen atas pesakit yang berkunjung. Namun mereka memikirkan hal
saya, sehingga kerap bertanya khabar dan memberi semangat setiap kali bermula
rawatan.
Saya
masih ingat bagaimana bersungguh pakar bedah menemui saya sebelum pembedahan
berlangsung hanya untuk melihat keadaan saya. Tumpah air mata saya apabila
beliau menggenggam erat tangan saya seraya menganjurkan saya bersyahadah
sebelum pembedahan bermula.
Perjalanan
saya menempuh kanser penuh dengan suka bukan duka semata. Pelbagai sokongan
yang saya terima.
Di
kesempatan lain saya kongsikan tentang pembedahan dan kemoterapi yang saya
lalui juga bagaimana keadaan saya sepanjang bergelar pesakit kanser payudara
tahap empat yang kansernya merebak ke tulang kemudian statik dan kemudian
kanser mula beraksi sehingga saya melalui pembedahan kali kedua membuang
ketulan di tempat yang sama sebelum pembedahan tulang belakang dan kemoterapi
kali kedua.
#########################################################################
Puan
Eliyana merupakan seorang pensyarah di sebuah universiti awam, ibu kepada dua
cahaya mata yang amat cerdas dan kini sedang melanjutkan pengajian PhD dalam
bidang biologi molekul
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.