Total Pageviews

Sunday, 1 April 2018

Kemoterapi, Hormon Terapi dan Pet Ct Scan


Kemoterapi, Hormon Terapi dan Pet Ct Scan





*Penulisan ini adalah babak akhir sebelum penulis mengalami semula kanser untuk kali ketiga, sebelum berdepan dengan pelbagai lagi pembedahan dan kemoterapi serta radioterapi. Pernah juga penulis merasa letih menerima rawatan, namun tidak berikhtiar bukanlah sikap yang patut dipilih. Bukan kita yang memutuskan bila kita mati.. Usahalah yang terbaik selebihnya serah pada Allah.
Do your best, Allah do the rest!

BAKI KEMOTERAPI


Setelah 10 hari di wad, saya pulang ke rumah. Selang 2 bulan, kemoterapi disambung semula. Ini kemoterapi keempat. Saya ternanti-nanti radioterapi. Namun ia tidak dilaksanakan. Saya sedih dan bertanyakan rasional keputusan doktor. Beliau menceritakan tidak ada perbezaaan untuk melakukan radioterapi dan tidak melakukannya pada pesakit di tahap 4. Saya agak marah. Saya belum lagi macam nak mati, bisik saya dalam hati. Seolah-olah mendengar, doktor menjelaskan yang lebih baik saya fokus pada kemoterapi dan insyaAllah itu lebih berkesan buat saya.

Kemoterapi keempat teruknya seperti yang dulu. Kali ini saya tidak memilih untuk makan ubat komersial tahan muntah. Pada saya, muntah adalah lebih baik dari merasakan sesuatu melekat di kerongkong. Saya tidak sabar menunggu 5 hari berlalu.

Saya juga mengalami masalah mudah lupa dan sukar membaca. Saya kerap tersalah tafsir maklumat. Apa yang ingin dikata juga tak sama dengan apa yang dikata. Apabila membaca saya cenderung melangkau perkataan. Penggunaan bahasa juga lemah untuk semua bahasa. Kalau Bahasa Melayu pun saya lemah, inikan pula Bahasa Inggeris. Kerap kali saya ulang perkataan yang sama untuk menghuraikan sesuatu perkara. Pernah saya menangis kerana terasa bodoh. Setiap hari seperti saya belajar perkataan baharu. Sukar untuk saya meluahkan apa yang saya rasa dengan kata-kata kerana banyak perkataan yang saya lupa.

Kemoterapi kelima, kesannya juga sama. Kali ini saya seperti nekad tidak mahu meneruskan kemoterapi kerana saya betanggapan ia tidak memberi perbezaan ketara. Tambahan pula, tapak sel kanser telah pun dibuang. Saya juga penat dan letih menahan kesan sampingan. Setiap kali membuang air besar, saya melihat tompokan darah. Tidak tahu apa yang berlaku, saya menyangkakan itu petanda kanser merebak ke usus.

Saya ceritakan pada doktor. Tidak ada perkaitan kanser payudara dan kanser kolon. Kalau ada kaitan adalah kanser rahim. Saya lega. Selepas itu, saya tidak lagi merasa panik apabila melihat tompokan darah dan saya yakin itu adalah buasir dan ia akan hilang apabila selesai rawatan. Takut untuk membuang air besar, saya tidak menunggu lama di bilik air. Hanya ke bilik air apabila betul-betul mahu membuang bahan kumuh. Namun masih menghadapi kesulitan. Saya lantas mengikut posisi berkumuh yang Rasulullah ajarkan. Alhamdulillah, mudah pula! Saya melalui keadaan ini tanpa ubat dan sebarang gel pelincir kerana saya takut ubat. Alhamdulillah. Namun kepada pesakit lain yang tidak takut ubat, saya sarankan, ambillah ubat, ia lebih mudah.

Dalam ketakutan untuk meneruskan kemoterapi, akhirnya saya berjaya menghabiskan keenam-enam kitar kemoterapi tersebut. Subhanallah. Saya bersyukur saya tidak perlu melalui mabuk mengandung yang mengambil masa berbulan-bulan. Tidak pernah saya rasa mabuk mengandung. Semuanya mudah buat saya. Nak dibandingkan dengan kemoterapi, mabuknya hanya seminggu.


TERAPI HORMON


Kanser yang saya alami adalah kanser payudara tahap 4 dengan status hormon estrogen dan progesteron positif. Her2 negatif. Alhamdulilah hormon status saya positif. Jadi saya boleh mendapat rawatan hormonterapi. Status positif ini menunjukkan yang sel kanser mendapat signal untuk membahagi daripada hormon. Apa yang baiknya? Bila status hormon positif, ia memberi peluang untuk kita dirawat dengan hormon. Bermakna, ubat mempunyai tapak untuk melekat. Akibatnya, ubat tersebut menghalang penghasilan hormon yang menyebabkan kanser membahagi.

Ubat ini dinamakan tamoxifen. Perlu diambil dalam masa 5 tahun. Dalam tempoh ini, pesakit digalakkan untuk mengambil langkah pencegahan kehamilan. Selama tempoh ini juga, pesakit akan mengalami menopause.

Saya bersyukur dengan sakit yang Allah beri. Dengan sakit ini saya diizinkan menunaikan umrah tanpa bimbang bila datangnya haid. Alhamdulillah. Allah jugalah yang Maha mengetahui.


PET CT SCAN

Setahun berlalu. Saya dijadualkan untuk melakukan pet ct scan di hospital putrajaya. Saya mengambil penerbangan awal pagi. Setibanya di klia2, saya mengambil tren ke putrajaya. Tiba di Putrajaya, shuttle bas ke hospital Putrajaya telah menanti.
Prosedur skan pagi itu bermula dengan suntikan ubat yang terdiri daripada gula (glukosa) yang telah diubahsuai. Gula jenis glukosa telah digabungkan sekali dengan unsur yang mampu melepaskan gelombang radiasi yang lemah. Sel kanser adalah sel yang aktif dan tamak. Oleh itu, ia akan menyerap gula yang disuntik. Natijahnya, signal radiasi akan terpancar dan dikesan oleh komputer
Bagi mereka yang mengalami claustrophobic atau takut pada tempat sempit dan tertutup, maklumkanlah kepada jururawat agar prosedur dapat dijalankan dengan lancar.
Pakaian perlu ditukar. Maklum dengan pertukaran pakaian, saya memakai tudung singkat sebagai inner agar tidak perlu ditanggalkan ketika melalui prosedur ini.
Pesakit tidak dibenarkan makan sehingga prosedur dijalankan. Hampir jam 1, tiba giliran saya untuk di skan. Skan seluruh badan mengambil masa hampir 1 jam. Tidak ada apa yang dirasai ketika skan. Saya hampir tertidur. Setelah selesai saya duduk menunggu. Hari hampir jam 3. Pesakit lain telah menukar pakaian. Saya masih lagi tidak mendapat makluman daripada jururawat.
Tiba-tiba jururawat menyuruh saya masuk ke bilik skan untuk di skan semula. Saya mula merasa bimbang. Tanggapan saya, pasti ini adalah proses verifikasi. Pasti ada signal terpancar di imej ct scan. Saya berselawat tanpa henti.
Setelah itu saya dibenar tukar pakaian. Saya menuju ke doktor untuk bertanyakan keputusan skan saya. Beliau tidak memberi maklum balas kerana keputusan rasmi masih tidak dapat dikeluarkan. Saya pulang menaiki penerbangan malam.
Kesempatan sebagai musafir saya gunakan untuk berdoa agar result skan tersebut normal. Alhamdulillah, hampir sebulan, pakar bedah memaklumkan keputusan skan tidak menunjukkan sebarang sel kanser yang aktif. Saya bersyukur.
Stop worrying, start living!


Kisah Puan Eliyana melawan kanser:











No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.