Keunikan koloni lebah kelulut
Ratu lebah kelulut mengawan hanya sekali seumur hidup tetapi akan terus
bertelur antara 50 hingga 350 biji sehari dalam tempoh dua hingga tujuh tahun
hayatnya.
Selepas mengawan dan menyimpan telur di dalam kantungnya, ratu tidak boleh
terbang lagi kerana sayapnya tidak dapat menampung perutnya membesar tiga kali
ganda daripada saiz lebah biasa dan hanya mampu berjalan melihat lebah pekerja
melaksanakan tugas.
Sepanjang tempoh itu, ratu kelulut akan 'dilayan' bagai menatang minyak
yang penuh apabila semua keperluannya seperti makan minum, persekitaran dan
takhtanya akan dijaga sepenuhnya oleh 'pekerja dan tenteranya'.
Ratu juga paling berkuasa di dalam log kelulut. Bagaimanapun, selepas tidak
lagi produktif, ia dengan sendirinya terpaksa turun takhta atau mati dan
diganti dengan ratu baru.
Uniknya, semua pekerja adalah kelulut betina manakala yang jantan hanya
ditugaskan mengawan bersama ratu sahaja!
Jika bukan musim mengawan, kelulut jantan hanya berterbangan mencari
makanan.
Bagaimanapun, malang bagi kelulut jantan kerana hayatnya berakhir dalam
tempoh sehari selepas mengawan. Lebih tragis, si jantan akan meninggalkan alat
kelaminnya pada ratu! Mungkin itu yang menyebabkan ia mati.
Tidak seperti telur haiwan lain yang menetas secara secara semula jadi,
telur kelulut akan ditetaskan pekerja dalam tempoh pengeraman antara 16 hingga
20 hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Diva Bee Enterprise Khamarul Azman Mustafa berkata,
telur yang mengandungi ratu tiga kali ganda lebih besar berbanding telur yang
mengandungi pekerja.
“Pekerja mempunyai jangka hayat hidup lebih singkat iaitu antara 75 hingga
100 hari kerana kekurangan sumber makanan atau terlalu kuat bekerja.
Lebah kelulut akan mula bekerja beberapa hari selepas ditetaskan,” katanya
ketika ditemui di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
Khamarul Azman berkata, lebah kelulut berfungsi sebagai pembuat sarang
telur, penjaga makanan dan memberi makan ratu, pengawal mutu yang bekerja untuk
menapis dan menilai madu yang diasingkan untuk makanan ratu, disimpan atau
terus diminum, pengawal menjaga koloni, pencari dan pengumpul madu dan ratu.
Semua ‘jawatan’ itu ditetapkan oleh ratu.
Beliau berkata, kajian yang dijalankan bersama beberapa institusi pengajian
tinggi (IPT) berjaya menemukan kitaran hidup kelulut yang begitu unik.
Menurutnya, lebah kelulut atau nama saintifiknya Trigona spp dikategorikan
sebagai lebah tidak bersengat yang menghasilkan madu sama seperti lebah madu
(Aps sp).
Katanya, lebah kelulut yang diternak Konsortium Penyelaras Koperasi Negeri
Pahang Berhad (Kospen) di Pusat Pembiakan dan Pengeluaran Benih Bukit Goh,
Kuantan adalah daripada jenis Itama Mega kerana bersesuaian dengan persekitaran
yang redup dan di kawasan pokok buah-buahan seperti mangga, rambutan, durian
serta bunga hutan.
“Penghasilan madu kelulut banyak berlaku antara Februari hingga September
manakala pada Mac hingga April, lebah giat menghasilkan koloni baru.
“Pengeluaran madu akan berkurangan pada musim tengkujuh kerana lebah tidak
dapat keluar disebabkan hujan selain madu dihasilkan menjadi sumber makanan
kepada anak kelulut untuk memperkuatkan koloni,” katanya.
Beliau yang dilantik sebagai perunding untuk projek penternakan lebah
kelulut Kospen berkata, kitaran hidup kelulut yang begitu unik dan berdisiplin
dalam penghasilan madu menjadikan permintaan terhadap madu kelulut makin
meningkat di pasaran.
Katanya, madu kelulut mempunyai rasa yang berbeza mengikut spesies dan
sumber makanannya.
“Rasa berbeza seperti masam dan manis, berwarna gelap atau cerah serta
kepekatannya bergantung kepada sumber makanannya dalam radius satu kilometer
daripada kawasan ternakan.
“Dianggarkan antara lima hingga 25 peratus air terkandung dalam madu
kelulut menyebabkan rasa dan kepekatannya berbeza-beza,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Kelulut Sampugita Kelantan
Berhad berkata, harga madu kelulut boleh mencecah sehingga RM350 sekilogram dan
permintaannya sentiasa meningkat.
“Ini kerana khasiatnya serta kadar antioksida yang tinggi dipercayai dapat
membantu merawat dan mencegah beberapa penyakit termasuk barah, menguatkan
tulang belakang, ulser, menstabilkan tekanan darah serta glukos dalam darah dan
memperkuatkan fungsi hati.
“Madu kelulut juga mempunyai jangka hayat panjang dan boleh dijual mentah
selepas dituai tanpa melalui sebarang proses,” katanya yang memiliki 1,600
koloni kelulut di ladang ternakannya di Kampung Kepulau, Pelekbang, Tumpat,
Kelantan.
Sementara itu, permintaan yang makin meningkat sejak tiga tahun lalu
terhadap madu lebah kelulut, ditambah pula dengan potensi kawasan
penternakannya yang luas di Pahang berjaya ‘membuka mata’ Suruhanjaya Koperasi
Malaysia (SKM) Pahang untuk mengusahakan ternakan lebah kelulut secara
berkelompok.
Projek itu dilaksanakan Kospen di kawasan seluas dua hektar dengan 260
koloni kelulut di Pusat Pembiakan dan Pengeluaran Benih Bukit Goh, Kuantan.
Pengarah SKM Pahang Datuk Mohamad Zawawi Mahmud berkata, projek perintis
dengan modal RM450,000 dilaksanakan bagi membantu keanggotaan Koperasi Bela
Rakyat (Kobera) Pahang yang terdiri daripada golongan miskin keluar daripada
paras kemiskinan dan mereka sudah menerima lima peratus hasil daripada
keuntungan projek.
“SKM memberi geran bantuan RM50,000 untuk setiap Kobera dan peruntukan itu
dimanfaatkan menerusi kerjasama dengan Kospen mengusahakan projek madu kelulut
di Bukti Goh.
“Sejumlah 50 kilogram madu dihasilkan di ladang ini setiap bulan dan
pengeluarannya ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi menampung permintaan
mencecah 100 kilogram sebulan,” katanya.
Bagi tujuan itu, Zawawi berkata, SKM bersama Kospen merancang untuk
mengumpul penternak kelulut di seluruh Pahang bagi tujuan penghasilan madu
secara berkelompok dan menjadi pengeluar terbesar selepas Kelantan.
“Kita mahu jadikan madu kelulut sebagai identiti Pahang selepas Tenun
Pahang Diraja seperti merujuk kepada ‘budu’ secara rasionalnya orang akan
merujuk kepada Kelantan.
“Bagi merealisasikan impian SKM Pahang
untuk menjenamakan produk madu kelulut ke pasaran antarabangsa, kita akan
membawa beberapa produk berasaskan madu kelulut seperti sabun, madu, kopi dan
pil makanan tambahan untuk dipromosikan sempena Halal Food Festival di Oman
yang berlangsung selama enam hari bermula 18 September ini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa,
27 September 2016
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.