Total Pageviews

Sunday, 1 April 2018

Cari sarang kelulut


Cari sarang kelulut




Percaya dengan khasiat madu kerana terbukti membantu merawat pelbagai jenis penyakit antara faktor yang mendorong individu ini menceburi dunia pencarian pelbagai madu lebah sejak usia 15 tahun.
Kini Omar Sahari, 43, yang juga pengusaha madu kelulut berkata pencarian sarang lebah kelulut lebih mudah berbanding sarang lebah lain.
Ini kerana ia hanya memerlukan lubang kecil sama ada pada kayu, batu atau tunggul yang berada di sekelilingnya.
“Selain lokasi sarangnya yang mudah didapati, lebah kelulut tidak mempunyai sengat seperti lebah lain yang lebih berisiko.
“Bukan itu sahaja, madu lebah kelulut juga lebih banyak khasiatnya biarpun rasa madunya manis-manis masam,” katanya.
Menurut Omar, sebelum beralih kepada perusahan madu kelulut secara serius, dia antara pencari madu tualang dan pernah memanjat pokok setinggi 91.4 meter untuk mendapatkan madu.
“Risikonya sangat tinggi biarpun saya tidak pernah terjatuh,” katanya yang berasal dari Kampung Parit Sangit, Semerah, Batu Pahat, Johor.
Menyentuh berkenaan pencarian sarang kelulut, Omar berkata, dia mendapatkan bekalan sarang itu daripada kenalan yang tinggal di kawasan kampung dan Orang Asli.
Katanya, sarang yang dibeli sekitar RM250 hingga RM500 bergantung kepada saiz tunggul. Selepas itu ia diperbaiki dan dibuat rumah kecil di atas sarang berkenaan untuk menempatkan madu yang dihasilkan lebah kelulut.
Malah madu lebah boleh terhasil seawal dua hari dengan terbentuknya propolis.
“Saya ke seluruh negara untuk mendapatkan sarang kerana terdapat permintaan yang menggalakkan daripada peminat madu kelulut.
“Biasanya antara 80 hingga 100 sarang diperoleh dalam tempoh sebulan.
“Harga bagi sarang jenis Trigona Itama bermula RM450 hingga RM600, sementara sarang jenis Trigona Thoracica dijual pada RM900 hingga RM1,200 setiap satu bergantung kepada besar saiz sarang atau tunggul,” katanya.
Omar berkata, bagi madu yang diproses pula dia menjual satu kilogram (kg) dengan RM400, sementara bagi botol bersaiz 150 milimeter dijual RM50 setiap satu.
“Sarang madu kelulut yang paling besar saya pernah ada adalah sarang di kayu balak.
“Saya mendapatkannya selepas seorang kenalan dari FELDA Pasak, Kota Tinggi, Johor memberitahu ada sarang lebah kelulut di kayu balak yang ditebang bagi memberi laluan projek pembinaan empangan tiga tahun lalu,” katanya yang tidak menafikan ia antara koleksi peribadi paling disayanginya.
Berkongsi penjagaan sarang madu kelulut, ia dikatakan berbeza daripada sarang madu lain kerana tidak boleh diletakkan di tempat yang panas.
“Jika diletakkan di tempat panas, propolis mudah rosak dan cair hingga menjejaskan menghasilan madu kelulut.
“Anda yang berminat dengan pemeliharaan lebah kelulut perlu menjaga sarangnya sebaik mungkin kerana perlu diletakkan ditempat redup dan berbumbung.
“Panduan itu penting kerana kebanyakan pembeli sarang bukan saja terdiri daripada pengusaha madu kelulut, tapi turut membabitkan peminatnya yang meletakkan sarang di kawasan rumah mereka,” katanya.
Menurutnya, jika dibandingkan madu kelulut dengan madu jenis lain, madu itu antara terbaik kerana mempunyai khasiat tersendiri.
Malah ia juga mampu membantu mengatasi pelbagai penyakit antaranya asma, luka dalaman, darah tinggi, antibarah, mengawal paras gula dalam darah dan boleh mengatasi demam.
“Bagi mendapatkan kesan yang baik pengambilan madu kelulut perlu konsisten. Ia boleh diambil dengan mencampurkan satu sudu besar madu kelulut ke dalam segelas air sejuk dan diminum sebelah pagi sebelum sarapan.
“Jika tidak suka, mereka boleh minum terus satu sudu besar madu kelulut tanpa mencampurkan air ketika pagi sekurang-kurangnya setengah jam sebelum sarapan.
“Cara ini sesuai untuk membantu mencegah dan merawat batuk, selesema, sakit tekak dan resdung,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 


  





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.