Total Pageviews

Sunday 1 April 2018

bongkar khasiat madu kelulut






MARDI bongkar khasiat madu kelulut






KUALA LUMPUR 29 Sept. - Hasil penyelidikan di Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati madu kelulut bukan sahaja rendah kandungan gula malah ia turut kaya dengan antioksidan.

Dikatakan, kandungan antioksidan yang terdapat dalam madu kelulut adalah empat hingga 10 kali ganda lebih daripada madu biasa.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Sharif Haron berkata kepelbagaian khasiat tersebut telah menjadikan madu kelulut ini diketengahkan sabagai satu daripada produk baharu negara.

"Justeru untuk memastikan kualiti madu kelulut terjamin, MARDI giat menjalankan pembangunan penyelidikannya dari segi standard.

"Pembangunan standard mengambil kira perkara dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985," katanya kepada pemberita ketika ditemui di MARDI baru-baru ini.

Beliau berkata, akta ini mensyaratkan madu mesti mengandungi air tidak melebihi 20 peratus manakala kandungan gula penurun tidak kurang daripada 60 peratus.

"Memandangkan madu kelulut tidak mempunyai sifat fisiokimia yang sama dengan madu biasa, justeru standard madu kelulut mesti diwujudkan.

"Buat masa ini, MARDI telah membangunkan satu graf standard, graf standard ini mengikut asas Codex Alimentarius yang digunakan dalam standard madu antarabangsa. Antara aspek yang diambil kira ialah kandungan kelembapan, gula menurun, tidak larut, keasidan, kekonduksian elektrik dan diastase," ujarnya.

Sharif berkata kandungan bahan-bahan tersebut adalah asas utama pembangunan standard bagi menjamin ketulenan dan kualiti produk yang tinggi sekali gus dapat membendung masalah madu kelulut tiruan.

"Justeru sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan standard tersebut, MARDI terus menjalin kerjasama erat dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Malaysia Genom Institut (MFI), Jabatan Standard Malaysia dan semua pihak yang terlibat termasuk universiti, pengusaha, serta pihak berkepentingan yang lain," katanya.

Tegasnya, kementerian sangat komited untuk memastikan madu yang dihasilkan oleh penternak lebah kelulut di negara ini betul-betul berkualiti dan memenuhi standard antarabangsa.- BERNAMA






No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.