Doktor diarah bayar ganti rugi kerana cuai
Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan seorang doktor hospital swasta membayar ganti
rugi berjumlah RM312,500 kepada seorang wanita berhubung saman yang dikemukakan
akibat kecuaian perubatan.
Pesuruhjaya
Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas membenarkan
tuntutan saman yang difailkan V Prabakhari, 46, seorang pekerja Tenaga Nasional
Berhad terhadap pakar perunding anestiologi, Dr Nazri
Bhupalan
selaku defendan pertama dalam kes saman berkenaan.
Mohd
Zaki dalam penghakiman ringkasnya semalam berkata Prabakhari selaku plaintif
berjaya membuktikan defendan pertama (Dr Nazri) mempunyai "duty of
care" terhadap plaintif ketika memberi anestetik (bius) kepada wanita itu.
Bagaimanapun,
Mohd Zaki berkata defendan pertama telah melanggar "duty of care"
berkenaan kerana gagal memberi penerangan bermaklumat sebelum mendapatkan
persetujuan daripada Prabakhari ketika proses bius dilakukan.
"Akibat
pelanggaran 'duty of care' itu, plaintif mengalami kecederaan dan
kesakitan," kata Mohd Zaki.
Mahkamah
memerintahkan Dr Nazri membayar RM300,000 kepada Prabakhari sebagai ganti rugi
am, kehilangan kemudahan hidup, tekanan mental, kesakitan dan penderitaan yang
dialami.
Mahkamah
turut memerintahkan Dr Nazri membayar ganti rugi khas berjumlah RM12,500 kepada
plaintif dan mengarahkan doktor itu membayar kos sebanyak RM100,000 kepada
plaintif.
Sementara
itu, mahkamah menolak tuntutan saman Prabakhari terhadap Pantai Medical Centre
Sdn Bhd, yang dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman berkenaan selepas
mendapati ia tidak mendatangkan kecuaian kepada plaintif.
Pada
13 Jun tahun lepas, Prabakhari memfailkan saman terhadap Dr Nazri dan Pantai
Medical Centre selepas mendakwa Dr Nazri telah cuai dalam menjalankan tugas
ketika memberi anestetik kepadanya sebelum pembedahan dijalankan.
Dalam
pernyataan tuntutan itu, Prabakhari berkata beliau yang mengalami bengkak pada
kaki kanan sekitar September 2011 telah mendapatkan rawatan di hospital
berkenaan dan disaran untuk menjalani pembedahan pada kakinya itu.
Prabakhari
mendakwa pada 21 November 2011, Dr Nazri telah merosakkan esofagusnya (saluran
makanan) ketika melakukan proses memasukkan tiub sebelum beliau menjalani
pembedahan.
Akibat
perbuatan itu, Prabakhari mendakwa beliau mengalami kesakitan pada bahagian
belakang dan mudah terdedah kepada jangkitan paru-paru.
-
Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.