Ubat Penghalau Monyet
Raih Anugerah Inovasi Terbaik
BANGI, 6 Mei 2015 – Inovasi yang diciptakan
oleh pelajar tahun dua dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina mungkin
penyelesaian kepada masalah monyet berkeliaran di kolej-kolej kediaman dalam
kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Muhammad Solihin Hamzah telah meraih anugerah
inovasi terbaik sempena Fiesta Juadah Antarabangsa dan Pameran Inovasi Kolej
Ungku Omar (KUO) yang diadakan di sini, semalam.
Muhammad Solihin, yang mencipta cara
menghalau kera dengan menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi, telah
berjaya menarik perhatian Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan
Alumni), Prof Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal yang memilih reka cipta tersebut
sebagai inovasi terbaik.
Beliau telah menggunakan kacang dan belacan
untuk menghalau beruk yang sering mengganggu pelajar di kolejnya.
“Saya tinggal di KUO dan kami sering
didatangi oleh monyet di blok-blok kolej kediaman. Jadi saya memikirkan apa
kaedah yang boleh digunakan untuk menghalau monyet dari mendekati kawasan blok
kolej kediaman.
“Jadi saya mula membaca dan mencari bahan apa
yang monyet tidak suka. Saya dapati banyak benda yang boleh digunakan untuk
menghalau monyet tetapi kos untuk mendapatkan bahan tersebut adalah tinggi
kecuali penggunaan belacan dan kacang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Hasil pembacaannya, beliau mendapati monyet
tidak suka pada belacan kerana boleh menyebabkan kegatalan.
“Jadi saya cuba menggaulkan belacan dengan
kacang dan dimasukkan ke dalam botol plastik yang telah ditebuk lubang. Saya
telah menggunakan beberapa jenis belacan kerana bukan semua belacan yang ada
dipasaran dapat menghalau beruk.
“Apabila saya meletakkan botol yang berisi
belacan dan kekacang pada blok KUO, saya dapati monyet-monyet tersebut tidak
datang menghampiri kawasan itu. Jadi, kajian dan inovasi yang saya jalankan ini
saya anggap berjaya,” katanya.
Menurut beliau, memandangkan belacan ini
mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan, botol-botol tersebut akan diletakkan
di bawah-bawah pokok di sekitar kolej kediaman tersebut.
“Untuk membawa inovasi ini ke hadapan, saya
perlu membuat penyelidikan yang lebih rapi dan perlu tahu komposisi belacan
yang perlu digunakan. Mungkin juga ada kaedah lain yang lebih sesuai dan
strategik yang boleh saya gunakan dalam menghasilkan produk ini kelak,”
katanya.
Muhammad Solihin mengambil masa
kira-kira sebulan untuk mencari bahan, seterusnya menghasilkan penghalau monyet
tersebut.
Sementara itu, Pengarah Projek Fiesta Juadah
Antarabangsa dan Pameran Inovasi Kolej Ungku Omar, M Dineshni Muthukumar
berkata terdapat 19 penyertaan untuk pameran inovasi termasuklah Pengumpul Air
Hujan, Penghalau Monyet, Penghias Lampu Kitaran Semula dan Makanan Rumpai Laut.
Selain itu, pameran makanan dari sembilan
negara termasuk Malaysia, Jordan, Libya, Iraq, Iran, China, Kazakhstan dan
Jepun, turut dijayakan.
Pelajar siswazah dan
pasca-siswazah dari pelbagai fakulti terlibat dalam pameran ini yang dianjurkan
oleh KUO dan merupakan kesinambungan daripada program Food Paradise yang
diadakan pada tahun lepas.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.