Kencing
kotor
SISTEM urinari merupakan
sistem organ dalam tubuh badan yang berfungsi untuk menapis darah daripada
bahan toksik dan menghasilkan bahan kumuh, iaitu air kencing. Sistem ini
terdiri dari sepasang buah pinggang, sepasang salur ureter, pundi kencing dan
salur urethra. Jangkitan boleh berlaku dalam mana-mana organ ini.
Jangkitan berlaku apabila
bakteria memasuki sistem ini. Jangkitan lebih kerap berlaku di kalangan kaum
wanita, disebabkan salur uretra yang lebih pendek dalam golongan ini. Jangkitan
boleh merebak dari dubur atau pembukaan faraj ke pembukaan salur kencing.
Wanita yang sudah mengalami
'menopause', iaitu wanita yang sudah berhenti mengalami kitaran haid lebih
kerap mendapat jangkitan ini, disebabkan hormon estrogen sudah tidak dihasilkan
oleh badan. Ini menyebabkan kulit menjadi lebih sensitif dan bakteria dapat
menembusi kulit, dan organ pundi kencing juga mengalami atrofi, iaitu organ menjadi
tidak efektif dan membenarkan bakteria memasuki tubuh badan.
Orang yang mempunyai sistem
urinari yang tidak normal juga lebih kerap mengalami infeksi. Kanak-kanak yang
kerap mendapat jangkitan air kencing mungkin mempunyai sistem urinari yang
tidak normal.
Contohnya, kanak - kanak
mungkin menghadapi masalah 'posterior urethralvalve', di mana aliran air
kencing tersekat dari mengalir keluar dari pundi kencing. Masalah seperti ini
hanya dapat dirawat dengan pembedahan, untuk membetulkan bahagian yang tidak
normal.
Masalah batu karang atau
prostat yang besar juga akan menyebabkan masalah infeksi sistem urinari
disebabkan pesakit terhalang dari membuang semua air kencing dengan sempurna.
Prostat ialah organ dalam tubuh badan lelaki yang berfungsi untuk menghasilkan
sebahagian daripada air mani. Apabila usia lelaki meningkat, organ prostat
mungkin membesar. Apabila saluran kencing terhempap oleh batu karang ataupun
organ prostat yang membesar, air kencing akan tersekat.
Air kencing yang tersekat
akan bertakung dan menjadi media untuk bakteria berganda dan membolehkan
infeksi bermula. Pesakit yang menghidapi masalah kesihatan seperti diabetes
atau keadaan yang mana kesihatan imun mereka tergendala seperti penghidap
penyakit HIV, akan lebih terdorong untuk menghidapi masalah infeksi sistem
urinari, serta infeksi di bahagian dan sistem organ lain.
Apabila seseorang mengalami
masalah sukar buang air kencing, ataupun mereka perlu mengalami pembedahan,
salur akan dimasukkan ke dalam pundi kencing yang dipanggil 'catheter' untuk
membolehkan air kencing menyalur keluar. Prosedur ini dilakukan di hospital
oleh kakitangan terlatih. Kehadiran salur ini menaikkan risiko pesakit
menghidapi infeksi, kerana terdapat alat dari luar yang dimasukkan ke dalam
badan. Risiko ini bertambah apabila salur ini berada dalam tubuh badan untuk
masa yang lama.
Oleh itu, doktor perlu
memastikan salur ini ditukar dengan kerap dan kebersihan salur ini dijaga.
Salur ini juga perlu dimasukkan ke dalam badan dengan amat berwaspada, untuk
memastikan kaedah steril diikuti. Terdapat juga bukti bahawa keadaan dahaga dan
dehidrasi akan menyebabkan masalah infeksi sistem urinari berlaku.
Di Malaysia, orang ramai
cenderung untuk minum minuman manis seperti teh, kopi, jus dan air sirap, dan
menganggap bahawa minuman ini cukup untuk mengelakkan masalah jangkitan sistem
urinari dan masalah batu karang. Sebenarnya, minuman seperti alkohol, jus
sitrus seperti jus oren dan limau, dan minuman yang mengandungi kafein semuanya
memedihkan lapisan dalam pundi kencing dan menyebabkan masalah infeksi pundi
kencing berlaku.
Oleh itu, memang disyorkan
untuk minum air kosong dengan secukupnya untuk mengelakkan masalah jangkitan
sistem urinari. Orang yang tidak menjaga kebersihan bahagian sulit dan dubur
juga cenderung untuk mendapat masalah sistem urinari. Disebabkan bakteria yang
menyebabkan kebanyakan jangkitan sistem urinari ialah bakteria E. coli yang
hidup dalam usus besar, orang yang tidak mencuci bahagian sulit dan dubur
selepas membuang air, senang untuk mendapat jangkitan sistem urinari.
Simptom
Dalam infeksi sistem urinari, gejala yang mungkin dihidapi termasuk rasa
perlu buang air kecil dengan segera, kepedihan semasa membuang air kecil,
membuang air kecil dengan kerap dan buang air kecil sedikit demi sedikit, air
kecil yang kelihatan kotor; iaitu tidak jernih atau berwarna coklat. Air
kencing mungkin berbau kuat, dan pesakit mungkin rasa sakit di bahagian
kemaluan atau bahagian pelvis semasa membuang air kecil.
Sampel air kencing yang tidak normal, di mana air kencing tidak jernih.
Masalah 'cystitis' ialah jangkitan pundi kencing. Ini merupakan masalah yang
biasa berlaku, terutamanya di golongan wanita. Infeksi ringan tidak memerlukan
rawatan dan akan pulih selepas beberapa hari dengan sendirinya, tetapi jika pesakit
kerap mendapat masalah ini, atau infeksi berpindah ke buah pinggang, pesakit
akan memerlukan rawatan.
Apabila buah pinggang terlibat dalam jangkitan, gejala yang dihidapi adalah
lebih serius dan ini termasuk sakit pinggang, darah dalam air kencing, demam,
muntah, rasa sejuk dan menggigil. Pesakit mungkin juga akan berasa letih, cepat
marah, susah hati dan kurang selera makan.
Komplikasi
Infeksi salur urinari mungkin menjadi masalah besar, terutamanya jika organ
buah pinggang terlibat. Infeksi salur urinari boleh mengakibatkan masalah batu
karang, dan buah pinggang mungkin mengalami kerosakan.
Salur urethra juga mungkin mengalami penyempitan selepas infeksi,
disebabkan ketumbuhan tisu selepas infeksi. Jika infeksi amat serius, jangkitan
darah mungkin berlaku. Dalam golongan wanita hamil pula, infeksi sistem urinari
mungkin akan membawa padah kepada anak seperti bayi rendah berat badan dan bayi
lahir tidak cukup bulan.
Ujian dan Rawatan
Apabila seseorang disyaki menghidapi jangkitan sistem urinari, doktor akan
melakukan ujian ke atas sampel air kencing untuk mengesan kehadiran kuman dan
darah dalam air kencing.
Jika laporan didapati positif:
- Maka ujian seterusnya dipanggil úrine culture and
sensitivity'bertujuan untuk mengetahui jenis kuman yang menyebabkan
infeksi tersebut, dan juga ubat yang dapat merawat keadaan tersebut.
- Rawatan akan dimulakan, iaitu dengan menggunakan
ubat antibiotik. Ubat yang digunakan adalah berdasarkan kuman yang
terlibat, dan juga tahap keseriusan jangkitan tersebut.
Jika jangkitan sistem urinari amat serius, maka pesakit mungkin dikehendaki
mendapat rawatan di hospital, kerana ubat perlu diberikan terus ke dalam salur
darah, dan pesakit tersebut perlu dikawal dan diperhatikan oleh doktor,
mengikut Dato' Dr. Sahabudin bin Raja Mohamed, Pakar Perunding Kanan Urologi di
Prince Court Medical Centre di Kuala Lumpur.
Mengikut Dato' Sahabudin lagi, penyakit lain yang mirip simptom-simptom
masalah infeksi sistem urinari ialah penyakit 'overactive bladder' iaitu pundi
kencing yang terlalu aktif. Masalah ini menyebabkan pesakit mengalami masalah
perlu membuang air kecil dengan kerap dan segera, dan pesakit tidak dapat
mengawal air kencing. Masalah ini tidak dapat diubati dengan ubat antibiotik.
Pencegahan
Terdapat beberapa cara untuk mengelakkan jangkitan sistem urinari.
- Minum air dengan secukupnya, walaupun tidak
dahaga. Air kencing seharusnya jernih tanpa apa-apa warna, bau ataupun
serpihan.
- Doktor mungkin akan memberi minuman yang
dipanggil 'Ural', dan ini merupakan bahan yang dapat meneutralkan air
kencing yang berasid.
- Menjaga kebersihan semasa buang air kecil,
mahupun buang air besar. Apabila mencuci alat sulit atau mengelap bahagian
tersebut, orang ramai patut membersihkan dari depan ke belakang.
- Mandi dengan cara 'shower' adalah lebih baik
berbanding dengan menggunakan tab mandi, disebabkan air kotor tidak dapat
memasuki salur kencing.
- Digalakkan untuk membuang air kecil setiap 4 jam,
walaupun tidak tergesa-gesa untuk berbuat sedemikian.
Mengikut Dato' Sahabudin lagi, dalam organ-organ sistem urinari terdapat
satu lapisan yang dipanggil 'urothelium' yang melindungi organ-organ tersebut
daripada tembusan agen toksik, air kencing dan bakteria. Pada permukaan lapisan
ini terdapat lagi satu lapisan yang dipanggil lapisan glycosaminoglycan (GAG).
Lapisan GAG ini terdiri daripada lapisan mukus tebal.
Apabila lapisan GAG ini rosak, ia tidak lagi dapat memberi perlindungan dan
bahan toksik dapat menembusi lapisan ini dan menyebabkan keradangan dan rasa
sakit. Antara faktor yang menyebabkan kerosakan lapisan ini ialah pengambilan
ubat antibiotik. Hanya apabila lapisan ini kembali pulih, pesakit akan berhenti
rasa sakit. Ini merupakan contoh bahaya yang dihidapi apabila ubat antibiotik
diberikan kepada pesakit apabila ia tidak diperlukan.
Kesimpulannya, masalah infeksi sistem urinari memang masalah yang biasa
berlaku, dan ianya boleh membawa padah. Jika seseorang itu menghidapi masalah
jangkitan sistem urinari, masalah ini dapat diubati dengan senang.
Orang ramai tidak perlu berasa risau untuk mengunjungi doktor untuk
mengubati masalah ini, tetapi orang ramai memang perlu mengambil beberapa
langkah untuk menjaga kesihatan sistem tubuh badan yang amat penting ini, yang
berfungsi sebagai kilang pengeluaran bahan toksik daripada badan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.