Total Pageviews

Sunday, 1 July 2018

Andalusia Sejarah Islam disembunyikan


Sejarah Islam disembunyikan. Andalusia




APABILA disebut Eropah, majoriti dalam fikiran menggambarkan ia merupakan satu negara yang penghuninya cuma terdiri daripada warga Barat.
Mungkin tidak terlintas langsung untuk menjengah secara lebih mendalam berhubung asal usulnya.
Tetapi ketahuilah, di sana ada fakta sejarah iaitu di Eropah pernah terbinanya negara Islam yang paling kuat di dunia.
Salah satu daripada negara di Eropah yang memiliki khazanah Islam yang terkaya adalah di Andalusia atau nama sekarangnya Sepanyol.
Nama Andalusia diambil sempena istilah bahasa Arab, Al Andalus, merujuk kepada bahagian jazirah Iberia yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Muslim.
Baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengadakan lawatan kerja ke Andalusia.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan memimpin lawatan tersebut.
Ketika menuju Andalusia baru-baru ini, teringat kepada lirik lagu nasyid kumpulan Far East berjudul ‘Ma Assalam Ya Andalus’ dan ‘Alhambra’, tetapi lirik sependek itu tidak dapat memberikan gambaran secara yang lebih jelas berhubung Andalusia.
Sebenarnya, ada kisah amat menarik, tetapi terlalu pahit untuk ditelan buat umat Islam.
Mungkin ramai yang tidak menyedari atau mengetahui sejarah hitam itu, tetapi sedikit info kali ini mungkin boleh dikongsi.
“Menangislah anakku, bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki".
Begitulah ucapan seorang bonda raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol.
Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya, Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharam 897 Hijrah yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella.
Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah setelah berkuasa 800 tahun.
Bani al-Ahmar merupakan puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada dari 620 Hijrah hingga 897 Hijrah iaitu pada tahun di mana perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella dimeterai.
Perjanjian yang melibatkan 67 perkara itu, termasuklah jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol, tetapi pada akhirnya ia tidak pernah direalisasikan.
Malah, 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya semakin terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya 800 tahun.
Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol, termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 Hijrah.
Ketika itu, beribu-ribu umat Islam yang dijanji boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam atau tanpa perikemanusiaan.
Dalam tragedi tersebut, umat Islam mati bermandikan darah angkara tentera Kristian. Sebelum dibunuh, mereka bersembunyi di rumah masing-masing.
Bagi membunuh penganut Islam, tentera Kristian menggunakan satu penipuan besar.
Tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh meninggalkan rumah secara aman bagi menaiki kapal untuk berlayar meninggalkan Sepanyol sambil membawa barangan keperluan masing-masing.
Tentera yang sama juga memaklumkan jaminan keselamatan bagi mereka yang ingin meninggalkan Sepanyol. Pun begitu, masih ramai yang meragui tawaran tersebut.
Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal di pelabuhan telah disediakan untuk membawa mereka belayar, barulah mereka menerima tawaran berkenaan.
Keesokan harinya, beribu-ribu warga Muslim Granada keluar membawa barang keperluan menuju pelabuhan. Pun begitu, bagi yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu, mereka terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing.
Sesudah umat Islam berkumpul di pelabuhan, tentera Kristian segera menggeledah rumah yang ditinggalkan, kemudian membakarnya.
Umat Islam yang ada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan membawa mereka keluar dari Sepanyol.
Ketika kapal ditenggelamkan, umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Majoritinya wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung dengan pedang terhunus.
Setelah menerima arahan ketua tentera, umat Islam di pelabuhan itu dibunuh kejam tanpa secebis simpati. Jerit tangis dan takbir terus terdengar, tetapi secara buas tentera Kristian semakin ganas membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya.
Seluruh Muslim Andalusia yang ada di pelabuhan ketika itu berakhir dengan maut. Darah mengalir di merata-rata. Laut yang biru di pelabuhan bertukar menjadi merah kehitamhitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan.
Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, apa yang pasti, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara tersebut.
Umat Islam diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan serta tidak ada langsung belas kasihan.
Mereka (penganut Kristian di Sepanyol ketika itu) tidak mahu Islam wujud langsung. Ekoran itu, umat Islam amat tersepit, sehingga ada yang mengaku Kristian, padahal mereka masih Muslim. Ia terpaksa dibuat kerana terlalu perit ancaman yang terlalu sukar untuk diceritakan secara lisan.
Sebenarnya, Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 Hijrah di bawah kepemimpinan Panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol kemudian muncul menjadi negeri paling makmur.
Pasukan Islam tidak hanya berhenti di Sepanyol, malah terus memperbesarkan empayar ke negara sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou dan Tours.
Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, tetapi mereka tetap mengutamakan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah barat yang juga kawasan pergunungan.
Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah diri, ia terus mendorong warga Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam.
Mereka bukan hanya beragama Islam, namun amat mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran, malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Suasana sedemikian berlangsung hampir enam abad.
Pemimpin Islam ketika itu cukup berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil sebagai contoh, adalah individu yang menyambung Kerajaan Bani Umayyah di Andalus setelah Umayyah di pusat iaitu di Damsyik telah jatuh.
Abdul Rahman al-Dakhil pernah dijemput oleh pemimpin Kristian yang dibantunya ketika memerangi musuh. Beliau turut dipelawa minum arak, tetapi ditolak secara diplomasi dengan berkata: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya".
Pun begitu, ketika Islam kian kukuh di Andalus berabad-abad lamanya, ia tetap dikeliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam, tetapi selalu gagal.
Beberapa kali dicuba, namun tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik menemui cara bagi menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman dengan serangan pemikiran dan budaya.
Musuh kemudian secara senyap menghantar arak secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk golongan muda agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran.
Punca lain adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri sehingga mewujudkan 20 puak yang mempunyai negeri masing-masing. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas dan Bani Nun.
Ekoran wujudnya pelbagai puak, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah. Apa yang menyedihkan, ada umat Islam yang ‘menjual’ agama dan negara demi kepentingan peribadi.
Contohnya, Gabenor Daerah Balansiah, Abu Zaid ketika berdepan dengan rakyatnya yang memberontak, dia terus membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu menghapuskan pemberontakan tersebut.
Habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar oleh bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan oleh Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik, apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian.
Sebenarnya, 800 tahun bukan singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa bertamadun berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya seolah-olah kehebatan tersebut tidak pernah wujud.
Apa yang pasti, Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu.




.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.