Sokong akta alam
sekitar baharu
Saudara Pengarang,
RANCANGAN kerajaan untuk memperkenalkan Akta Perlindungan Alam Sekitar (EPA) adalah tepat pada masanya kerana ia akan membantu menangani isu-isu alam sekitar yang serius serta pertindihan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Dilaporkan perundangan yang dicadangkan itu juga akan
membolehkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memaksa kilang-kilang
haram untuk dipindahkan atau ditutup.
Rakyat Malaysia yang prihatin terhadap alam sekitar perlu
menyokong undang-undang baharu itu yang akan turut memberi kuasa kepada jabatan
di peringkat Persekutuan untuk bertindak terhadap industri yang didapati
mencemari rizab sungai.
Banyak isu semasa seperti pertanian haram, pembalakan tidak
terkawal, pembuangan sampah secara haram termasuk sisa toksik ke dalam sungai
serta pembangunan tidak terkawal telah menimbulkan ancaman besar kepada
persekitaran kita.
Pada masa ini, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa pihak
berkuasa tempatan dan ia menyebabkan agensi di bawah kementerian terbabit sukar
untuk mengambil tindakan.
Undang-undang yang dicadangkan itu juga akan memperkenalkan
pendekatan penguatkuasaan baharu, yang dikenali sebagai ‘7 Kaedah Pengurusan
Alam Sekitar’ yang akan mewajibkan industri dan mereka yang terlibat dengan
pembangunan untuk mengawal selia projek mereka secara kendiri.
Saya juga berharap kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk
menjadikan subjek alam sekitar sebagai sebahagian sukatan pelajaran sekolah
rendah dan menengah kerana ia dapat membantu mewujudkan kesedaran mengenai
kepentingan alam sekitar dan bagaimana memeliharanya.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi
Tuanku Jaafar baru-baru ini memaklumkan pegawai tertinggi daripada
kementeriannya dan Kementerian Pendidikan telah membincangkan cadangan itu dan
menerimanya. Cadangan itu dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet tidak
lama lagi untuk mendapat kelulusan.
Sekiranya boleh, subjek alam sekitar harus bermula dari tadika
sehingga ke tahap pengajian tinggi bagi memastikan perkara itu dihayati
sepenuhnya dan akan menjadi budaya dalam kalangan generasi muda kita.
Saya percaya jika kita dapat memupuk perasaan cinta terhadap
alam semula jadi pada usia muda, generasi akan datang pastinya dapat membantu
melindungi alam sekitar dan mencegah pencemaran bunyi, udara dan air daripada
menjadi semakin teruk.
Kita perlu memastikan anak-anak sentiasa bertanggungjawab dan
menyedari kepentingan alam sekitar bagi memastikan kita dapat mengurangkan
pelbagai bencana yang boleh dicegah seperti tanah runtuh di tapak pembinaan,
banjir kilat di kawasan bandar dan jerebu yang disebabkan oleh amalan
pembakaran kawasan pertanian secara sesuka hati
Saya juga berharap guru dan pelajar tidak menganggap subjek alam
sekitar ini sebagai beban kerana apa sahaja yang mereka lakukan untuk alam
sekitar akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang.
Usaha memelihara alam semula jadi dan persekitaran yang kondusif
akan memastikan generasi masa depan dapat mewarisi negara yang selamat dan
mesra alam.
Jika kita enggan berdamai dengan alam sekitar dan mengambil langkah
positif untuk melindunginya, sudah pasti kita terpaksa membayar dengan harga
yang tinggi.
TAN SRI
LEE LAM THYE
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.