Membesar di kawasan estet bukanlah suatu pengalaman yang indah buat lelaki ini. Namun, keperitan yang dilalui mengajarnya tentang makna kehidupan sebenar sehingga dia mencapai kejayaan hidup. Muhammad Addaem Mikhail Chandran, 37, tidak pernah melupakan pengalamannya sewaktu dibesarkan dalam kemisikinan dan konflik keluarga.
Lebih mencabar, abang dan
kakaknya tidak dapat meneruskan persekolahan ke peringkat lebih tinggi kerana
faktor kewangan dan persekitaran. Addaem yang juga menantu kepada pakar
motivasi terkenal, Prof. Dr. Muhaya Mohamad, tidak pernah berputus asa malah
bercita-cita untuk mengubah kehidupannya.
Walaupun pernah menjawat Pengurus
Kumpulan P&G, lelaki kacukan Cina-India ini merasakan kehidupannya tidak
sempurna.
Keadaan dan pengalaman getir yang
dilalui semasa membesar, banyak mempengaruhi perasaan Addaem walaupun sudah
berjaya dalam kehidupan. Addaem masih mencari sesuatu yang mampu mengisi
kekosongan yang dirasai Syukur yang tidak terhingga apabila segala-galanya
berubah.
Ramadan 2009 merupakan permulaan
hidup penuh keredaan Allah SWT apabila beliau mendapat hidayah untuk memeluk
Islam. Keindahan Islam membuatkan perasaan terhadap setiap perkara yang dilalui
dahulu telah berubah. Addaem sudah mengenal dan mendalami konsep kemaafan
dengan lebih sempurna. Addaem mengakui bahawa kemampuan untuk memaafkan itu
bukanlah hanya lahir dari diri sendiri tetapi dengan rahmat dan bantuan Allah
SWT. Kini, selain ibunya yang sentiasa menjadi pedoman hidup, Addaem juga yakin
mendiang bapanya telah menjadi seorang guru dan merupakan pembakar semangat dan
motivasi sehingga mencapai kejayaan pada hari ini. Derita hidup yang dilaluinya
pada zaman kanak-kanak dan remaja turut mengajarnya tentang erti kesungguhan
tanpa putus asa.
Hidayah
Bercerita tentang pengalaman
hidayahnya, waktu itu, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan hampir
menginjak kepada waktu Maghrib. Tanpa disedari, Addaem terdengar sebuah lagu
berunsurkan doa taubat ketika sedang menukar saluran radio.
“Apabila mendengar bait-bait
lirik yang dialunkan, hati saya menjadi sayu dan sedih,” ujarnya yang berkahwin
dengan anak sulung Dr. Muhaya, Dr. Noor Aniah Azmi pada 27 Januari 2013.
Cerita Addaem lagi, kali pertama
dia mengucap dua kalimah syahadah melalui perbualan telefon dengan seorang
rakan Muslim dari Singapura. Tiga minggu selepas itu, Addaem nekad dan terus
memeluk Islam secara rasmi di pejabat Majlis Agama Islam Selangor pada 10
Oktober 2009.
Walaupun Addaem banyak mencari
maklumat tentang Islam dalam Internet, Addaem tidak pernah jemu untuk menambah
ilmu Islam. Apa yang menariknya kata Addaem, selepas itu semua urusannya
dipermudahkan Allah SWT.
Sebagai contoh, walaupun beliau
bekerja di sebuah syarikat mutlinasional, majikannya faham dan menghormati masa
untuk Addaem bersolat.
Di sebalik kegigihan Addaem
memeluk Islam, keluarganya tidak dapat menerima keputusan itu malah ibunya yang
tinggal bersamanya sebelum itu juga mula menjauhkan diri.
Maklumlah, Addaem merupakan anak
harapan keluarga sementelah mereka sekeluarga bukanlah datang daripada keluarga
yang senang. Sebagai anak, Addaem tetap berusaha memperbaiki hubungan tersebut
dan kini dia sekeluarga kembali pulih seperti sedia kala dan bertambah erat.
Selepas empat bulan memeluk
Islam, Addaem menjejakkan kaki ke Mekah buat pertama kali selepas empat bulan
memeluk Islam.
Walaupun beliau takut untuk pergi
ke Mekah memandangkan dia bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci membawa dosa
sebagai hamba tetapi dia bersyukur kerana segala-galanya dipermudahkan.
“Ketika berada di sana, setiap
detik dan pengalaman yang dilalui membuka hati saya untuk mendalami dan
mendekatkan lagi diri dengan Yang Maha Esa. Saya juga pernah disuruh membaca
al-Quran oleh seorang lelaki Arab yang baru saya kenal. Ketika itu saya masih
lagi belum mengenal huruf al-Quran.
“Bermula daripada situ, saya
perlahan-lahan belajar mengenal huruf al-Quran melalui Internet selain
menghadiri kelas mengaji bagi memantapkan bacaan saya,” jelasnya yang berasal
dari Kota Bharu, Perak.
Bahkan berada di tanah suci Mekah
cukup mengusik jiwanya kerana di sanalah dia mendapat hidayah untuk mendirikan
rumah tangga pada Ramadan 2013. Biarpun tidak pernah ‘berdating’ dan bercinta
dengan anak sulung figura motivasi ini, Addaem berkata, dia memang mahu
mengikut syariat Islam yang mahu menjaga batas pergaulan antara lelaki dan
wanita bukan mahram.
Selepas mendapat cahaya mata
pertama, Noor Yasmein Chandran, Addaem membuat keputusan untuk meletakkan
jawatan di sebuah syarikat multinational terkemuka untuk menumpukan masa
bersama keluarga.
Kini,Addaem merupakan tunjang
penubuhan Pusat Mata dan Lasik Prof. Muhaya dan dia merupakan Pengarah Urusan
pusat rawatan mata yang bertapak di Kajang, Selangor.
Bercerita tentang masa depannya,
Addaem kini giat dalam urusan perniagaan. Selain itu, dia juga aktif dalam
bidang pembangunan jati diri dan merupakan seorang pelatih korporat yang
bertauliah.
Addaem meneruskan pendedahan,
bahawa Islam menjadikan dirinya lebih arif, matang, bertenaga dan yakin tentang
apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian dan dia merasakan hidup sangat
lengkap. Dalam masa yang sama, Addaem berhasrat untuk menyampaikan dakwah Islam
kepada keluarga dan rakan-rakan yang bukan beragama Islam.
“Islam sangat indah. Saya hendak
beritahu kepada mereka tentang keindahan Islam namun pada masa yang sama saya
sanggat bangga menjadi seorang India yang beragama Islam. Bagi saya, Islam
merupakan gaya hidup yang sempurna untuk saya berjaya dunia dan akhirat,”
katanya mengakhiri bicara.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.