Ubat Mengandungi Racun
DEWASA
ini penggunaan ubat-ubatan tradisional dan komplementari (TCM) semakin mendapat
kepercayaan berikutan kerancakan aktiviti penyelidikan dan kecanggihan
teknologi yang digunakan pengeluar.
Ubat itu
termasuk ubat tradisional Melayu dan Cina, selain rawatan ayurveda, homeopati
dan akupuntur.
Bagaimanapun,
bukan semua produk yang dikatakan ubat itu boleh menyembuhkan penyakit. Malah,
banyak kes berkaitan ubat tradisional dan alternatif sebelum ini didapati
mendatangkan mudarat.
Berdasarkan
rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 11,885 produk TCM telah
didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) setakat ini.
Namun,
pada tahun lepas, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) menerima 127
laporan kesan mudarat akibat penggunaan produk tradisional termasuk yang
didaftarkan dengan PBKD.
Ujian
BPFK
mengesan pelbagai produk tradisional yang dicemari dengan bahan terkawal atau
racun berjadual seperti steroid, sibutramine (ubat langsing) dan sildenafil
(ubat kuat lelaki). Bahan-bahan terkawal itu berfungsi untuk menahan kesakitan
selain bertindak melangsingkan badan seseorang. Ia juga didakwa mampu menambah
kekuatan tenaga batin lelaki dan wanita.
Mengulas
isu ini, Pengarah Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof.
Madya Razak Lajis memberitahu, kebanyakan ubat tradisional dan alternatif tidak
melalui fasa ujian klinikal bagi mengenal pasti produk tersebut selamat
digunakan.
“Produk
yang telah didaftarkan ini hanya melalui ujian keselamatan penting di BPFK
seperti saringan steroid, logam berat dan bahan terlarang berdasarkan dakwaan
khasiat oleh pengeluar atau pengedar.
“Dakwaan
yang dinyatakan oleh pengeluar mungkin terhad kepada kajian ke atas haiwan,
testimoni pengguna dan rujukan secara turun-temurun,” katanya.
Namun
begitu, Razak menjelaskan tidak semua produk tradisional memberi kesan
sampingan kepada pengguna.
“Sama
seperti ubat-ubatan moden, ada yang memberi kesan sampingan dan ada yang tidak.
“Apa yang
penting pengguna yang mengambil ubat ini perlu merujuk pakar perubatan terlebih
dahulu,” katanya.
Beliau
juga mengingatkan penghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing
manis bahawa rawatan moden dan tradisional hanya berfungsi untuk mengawal
penyakit tersebut dan bukan memulihkannya.
Pakar
Katanya
lagi, pesakit tidak harus berhenti daripada mengambil ubat-ubatan moden
walaupun mereka sedang mencuba rawatan alternatif. “Ini kerana ubat-ubatan
tersebut dapat membantu mengelakkan penyakit tersebut daripada melarat. “Ubat
moden mesti diambil walaupun ubat tradisional terbabit mula menunjukkan kesan
positif,” katanya.
Ujarnya
lagi, ini bagi menggelakkan sebarang interaksi bahaya antara ubat-ubatan.
“Ubat
tradisional berfungsi pada bahagian tertentu dalam badan sama seperti ubatan
moden.
“Jika
saling berinteraksi, ia mungkin mendatangkan bahaya pada individu itu selain
mendedahkan pengguna kepada penyakit seperti kerosakan buah pinggang,” katanya.
Razak
menambah, status kesihatan dan penyakit sedia ada adalah faktor yang
mempengaruhi keberkesanan ubat tradisional.
“Sentiasa
rujuk pada label dan kandungan ubat tersebut. Jika ragu-ragu, beli ubat tersebut
di farmasi berdaftar,” katanya.
Seorang
pakar farmasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Aida Azlina
Ali, berkata bukan semua orang perlu mengambil ubat-ubatan tradisional.
“Jika
seseorang telah mengamalkan diet yang sempurna dan berkhasiat, tubuh mereka
tidak memerlukan ubat tersebut.
“Ini
kerana pengambilan ubat tradisional tanpa mengikut keperluan boleh bertukar
menjadi toksik yang membahayakan tubuh,” katanya.
Beliau
turut menasihatkan mereka yang ingin mengambil produk TCM supaya bertanya
kepada pakar perubatan sebelum menggunakannya.
“Mungkin
ubat itu berkesan untuk jangka masa pendek sahaja. Teliti dahulu kandungannya
serta rujuklah pakar.
“Selain
itu, jangan sekali-kali meninggalkan ubat moden kerana kebanyakan ubat sebegini
telah menjalani pelbagai ujian klinikal sebelum diluluskan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.