Total Pageviews

Tuesday 1 January 2019

Makanan jeruk punca penyakit


Makanan jeruk punca penyakit


Makanan berjeruk 'perangkap' maut





Jeruk buah-buahan antara makanan ringan paling digemari. Rasanya masam, manis dan masin membantu mengurangkan rasa loya terutama kepada wanita mengandung.

Mereka gemar mengambil makanan ini untuk mengurangkan rasa hendak muntah disebabkan perubahan hormon ketika proses awal kehamilan.

Tanpa mereka sedari amalan makan jeruk meningkatkan risiko kelahiran pramatang, selain menjejaskan proses tumbesaran bayi, malah kalau mengandungi plumbum tinggi boleh membawa maut.

Ini disebabkan kadar plumbum dalam jeruk yang diawet secara komersial menggunakan pengawet sintetik seperti asid sorbik, asid benzoik dan sulfit dikhuatiri menjejaskan kesihatan bayi.

Proses ini lazimnya dilakukan untuk mengelakkan pembiakan kuman tetapi, sesetengah individu mudah dapat alahan dalam makanan yang ada pengawet.

Lebih membimbangkan apabila ada jeruk yang dihasilkan tercemar dengan toksik plumbum, iaitu sejenis bahan logam yang berbahaya pada kesihatan.

Pengarah Biro Kesihatan Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Hafiz Sulaiman, berkata kesan sampingan awal makan jeruk tinggi plumbum seperti sakit perut, sembelit, lesu atau lemah badan, sakit kepala, mudah terganggu dan cepat marah.

Beliau yang juga pengamal perubatan pemakanan, berkata plumbum dalam jeruk menyebabkan seseorang kurang selera makan, mengalami gangguan memori, kebas pada tangan dan kaki.

“Lebih merisaukan keracunan secara perlahan-lahan berlaku tanpa disedari. Keracunan pada dos rendah mampu berkumpul di dalam badan terutama pada sistem saraf dan sum-sum tulang.

“Pendedahan toksik plumbum yang tinggi bahaya kerana menyebabkan kekurangan darah merah (anemia), kerosakan otak, buah pinggang dan boleh membawa maut,” katanya.

Minggu lalu, negara dikejutkan dengan pendedahan paras plumbum yang tinggi dalam jeruk kulit limau keluaran Jiabao Jiuzhi Chenpi yang diimport dari China.

Pendedahan itu mendesak Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas dengan mengarahkan jeruk yang diimport dihentikan serta-merta.

Kementerian menegaskan catatan paras plumbum dalam jeruk ini bukan kali pertama dilaporkan, malah aduan sama diterima sebelum ini.

Pada 2009, Kementerian Kesihatan pernah mengharamkan 16 jenama produk buah kering diimport dari China, Taiwan serta beberapa negara lain kerana mengandungi logam plumbum melebihi paras dibenarkan.

Dr Hafiz berkata, kajian klinikal mendapati, ibu hamil di sekitar ibu kota didapati mencatatkan paras plumbum yang tinggi.

Tahun lalu, beliau berkata, pemeriksaan darah pusat bayi yang lahir Kuala Lumpur menunjukkan hampir 30 peratus daripada mereka mempunyai paras plumbum melebihi 10 mikrogram per desiliter (mcg/dL).

Sedangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) katanya, membenarkan kadar plumbum dalam kalangan bayi tidak melebihi 10 mcg/dL.

“Toksik plumbum mencemari susu badan dan bayi dalam kandungan. Paras plumbum dalam darah yang tinggi pada wanita hamil meningkatkan risiko keguguran, bayi kurang berat, kelahiran pramatang dan menjejaskan proses tumbesaran kanak-kanak,” katanya.

Dr Hafiz berkata, jeruk mempunyai khasiatnya tanpa menggunakan pengawet sintetik. Prosedur secara tradisional menggunakan bahan semula jadi selamat dimakan.

Beliau berkata, caranya dengan mencampurkan garam gula dan sedikit cuka pada buah untuk menguatkan rasa dan meningkatkan potensi antikuman jeruk.

“Kuman baik yang terhasil daripada proses pemeraman buah memberi keseimbangan pada sistem pencernaan untuk mendapatkan usus yang sihat.

“Kesannya menguatkan sistem imun badan, mencegah masalah metabolik seperti kencing manis dan obesiti,” katanya.

Kesan plumbum tinggi dalam badan kanak-kanak

* Jejas kecergasan, ganggu fungsi otak atau Intelligent Quotient (IQ).
* Anak lambat bercakap
* Kurang pendengaran
* Masalah pembelajaran
* Lambat membesar
* Masalah tingkah laku, gangguan psikologi
* Hiperaktif atau Attention Deficit and Hyperactivity Disorder (ADHD)
* Agresif, ganas






.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.