Total Pageviews

Tuesday, 1 January 2019

Racun Plumbum Dalam Jeruk Limau




Logam Berat Timah Hitam dalam Jeruk Limau




PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan jeruk kulit limau keluaran Jiabao Jiuzhi Chenpi dari China yang dikesan dicemari plumbum tidak diimport ke Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia dari tahun lalu sehingga kini, produk makanan berkenaan yang terbabit dalam isu itu tidak diimport ke negara ini.
Bagaimanapun katanya sebagai langkah berjaga-jaga Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) meningkatkan pemantauan ke atas semua jenis jeruk buah kering termasuk jeruk kulit limau yang diimport dari China di semua pintu masuk negara.
“Sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan di bawahnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil.
“Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya dan adalah menjadi tanggungjawab pihak yang terbabit seperti pengimport, ejen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.
“Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terbabit mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan jeruk kulit limau keluaran Jiabao Jiuzhi Chenpi dari China yang popular di beberapa negara termasuk Malaysia dan Singapura dikesan dicemari plumbum oleh pihak berkuasa negara China.
Kenyataan itu turut menjelaskan plumbum adalah bahan cemar yang hadir di dalam udara, air, tanah, produk hasil pertanian, makanan dan barangan lain seperti cat.
“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pendedahan kepada plumbum boleh menyebabkan gangguan kepada perkembangan minda kanak-kanak dan meningkatkan tekanan darah bagi orang dewasa,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.




Soalan:

Dengan jumlah bilangan anggota Inspektor Kesihatan KKM yang amat terhad dan sedikit bilangannya, bolehkah kita percayai kapasiti KKM sebagai mampu membuat persampelan seluruh produk makanan di Malaysia boleh dikatakan selamat dan sihat untuk dimakan?


.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.