Doktor
diarah bayar ganti rugi kerana cuai
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan seorang doktor
hospital swasta membayar ganti rugi berjumlah RM312,500 kepada seorang wanita
berhubung saman yang dikemukakan akibat kecuaian perubatan.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat
keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan V Prabakhari,
46, seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad terhadap pakar perunding
anestiologi, Dr Nazri
Bhupalan selaku defendan pertama dalam kes saman berkenaan.
Mohd Zaki dalam penghakiman ringkasnya semalam berkata
Prabakhari selaku plaintif berjaya membuktikan defendan pertama (Dr Nazri)
mempunyai "duty of care" terhadap plaintif ketika memberi anestetik
(bius) kepada wanita itu.
Bagaimanapun, Mohd Zaki berkata defendan pertama telah melanggar
"duty of care" berkenaan kerana gagal memberi penerangan bermaklumat
sebelum mendapatkan persetujuan daripada Prabakhari ketika proses bius
dilakukan.
"Akibat pelanggaran 'duty of care' itu, plaintif mengalami
kecederaan dan kesakitan," kata Mohd Zaki.
Mahkamah memerintahkan Dr Nazri membayar RM300,000 kepada
Prabakhari sebagai ganti rugi am, kehilangan kemudahan hidup, tekanan mental,
kesakitan dan penderitaan yang dialami.
Mahkamah turut memerintahkan Dr Nazri membayar ganti rugi khas
berjumlah RM12,500 kepada plaintif dan mengarahkan doktor itu membayar kos
sebanyak RM100,000 kepada plaintif.
Sementara itu, mahkamah menolak tuntutan saman Prabakhari
terhadap Pantai Medical Centre Sdn Bhd, yang dinamakan sebagai defendan kedua
dalam saman berkenaan selepas mendapati ia tidak mendatangkan kecuaian kepada
plaintif.
Pada 13 Jun tahun lepas, Prabakhari memfailkan saman terhadap Dr
Nazri dan Pantai Medical Centre selepas mendakwa Dr Nazri telah cuai dalam
menjalankan tugas ketika memberi anestetik kepadanya sebelum pembedahan
dijalankan.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Prabakhari berkata beliau yang
mengalami bengkak pada kaki kanan sekitar September 2011 telah mendapatkan
rawatan di hospital berkenaan dan disaran untuk menjalani pembedahan pada
kakinya itu.
Prabakhari mendakwa pada 21 November 2011, Dr Nazri telah
merosakkan esofagusnya (saluran makanan) ketika melakukan proses memasukkan
tiub sebelum beliau menjalani pembedahan.
Akibat perbuatan itu, Prabakhari mendakwa beliau mengalami
kesakitan pada bahagian belakang dan mudah terdedah kepada jangkitan paru-paru.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.