3 kontena cili Vietnam
cuba diseludupkan
PUTRAJAYA: Jabatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)
menahan 3 buah kontena dengan muatan cili Vietnam, yang dibawa bersama buah pittaya
(dragon fruit), tanpa dokumen mengimport cili yang sah pada 17 Dis lepas.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam satu
kenyataan semalam berkata, terdapat usaha untuk membawa masuk cili dari Vietnam
secara tidak sah ekoran penggantungan Permit Import (IP) cili dari negara itu
dikuatkuasakan.
Menurut kementerian, kuantiti cili yang ditahan hasil
pemeriksaan terhadap 3 kontena itu dianggarkan sebanyak 9,500 karton bersamaan
14,250kg bagi setiap kontena.
Kontena yang ditahan itu didapati tidak memiliki dokumen
mengimport cili yang sah seperti Permit Import, Sijil Fitosanitari dan Sijil
Perakuan Pematuhan kepada kehendak penggredan, pembungkusan dan pelabelan,
katanya.
Pada 14 September lepas (2018), Jabatan Pertanian mengeluarkan
arahan menggantung sementara pengeluaran semua IP bagi pengimportan cili dari
Vietnam setelah mendapati kadar sisa racun melebihi tahap yang dibenarkan.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang menyeludup
masuk import keluaran pertanian yang dilarang, termasuklah kesalahan memalsukan
dokumen dan menyalahgunakan Permit Import,” kata MOA.
Seksyen 11 (1) Akta MAQIS memperuntukkan denda tidak melebihi
RM100,000 atau 6 tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan
kesalahan mengimport keluaran pertanian tanpa permit.
Seksyen 13 Akta MAQIS pula memperuntukkan denda tidak melebihi
RM50,000 atau 2 tahun penjara atau kedua-keduanya jika disabitkan kesalahan
pemalsuan permit, dokumen atau apa-apa maklumat.
“Tindakan juga boleh diambil di bawah perundangan lain yang
berkaitan seperti Akta Kastam 1967 dan Akta Makanan 1983,” kata MOA.
MOA juga berkata, penguatkuasaan terhadap pematuhan Peraturan
Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) di bawah Akta Lembaga Pemasaran
Pertanian Persekutuan 1965 (Akta 141) akan dipergiatkan.
“Pematuhan peraturan ini akan membantu orang awam mengetahui
maklumat negara asal sesuatu keluaran pertanian dan pihak berkuasa menjalankan
pengesanan keselamatan makanan,” katanya.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.