KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi negara pengeluar tepung guarana
pertama di dunia apabila produk alternatif kepada tepung gandum itu mula
memasuki pasaran awal tahun depan.
Menurut Pengarah Urusan Ritz Corporate Holding
Berhad, Datuk Ibrahim Yahaya, walaupun tepung guarana belum berada di pasaran,
pihaknya sudah menerima tempahan awal dalam jumlah yang tinggi dari luar
negara.
“Tepung ini, Insya-Allah akan dipasarkan awal tahun depan kerana
kita sudah mendapat tempahan pre order yang tinggi untuk fasa
pertama.
“Permintaan dari Hong Kong dan China sahaja sudah mencecah 3
bilion. Kanada pula jangkaan kasar dalam 7 bilion, semua jumlah permintaan itu
dalam mata wang ketiga-tiga negara terbabit,” katanya dalam satu temubual
eksklusif bersama mStar Online baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Ibrahim mendedahkan Amerika
Syarikat (AS) juga sudah menyatakan minat untuk menjadi pengedar tunggal produk
tersebut di negara berkenaan.
“Amerika Syarikat sekarang ini hanya tunggu kita
dapat pelepasan daripada kerajaan sahaja. Proses untuk dapat kelulusan ambil
masa tapi segalanya berjalan dengan lancar setakat ini, kita ikut prosedur
operasi standard (SOP),” katanya.
Walaupun permintaan memberangsangkan, Ibrahim
turut menyatakan kebimbangan mengenai stok bekalan tepung itu sebelum ia
dieksport ke luar negara dalam tempoh lima bulan lagi.
“Di Kedah pokok guarana sudah mengeluarkan buah…
Insya-Allah hasil boleh dituai empat bulan lagi.
“Sekarang ini kita bimbang stok tidak cukup
untuk menampung permintaan yang tinggi. Jadi kita terpaksa order buah guarana
dari Brazil memandangkan mereka pengeluar utama tanaman herba itu,” katanya.
Namun beliau yakin permintaan tersebut boleh
dipenuhi dengan kerjasama Brazil yang memberi lesen eksklusif kepada
syarikatnya untuk menanam pokok guarana di Malaysia.
“Kita akan menandatangani perjanjian dengan
Brazil yang akan berlangsung bulan ini mengenai pembinaan kilang memproses
tepung guarana di sana.
“Kita sudah ada kilang di Pulau Pinang jadi kita
pindah teknologi ke sana. Secara tidak langsung kita akan kuasai pasaran
eksport guarana di seluruh dunia,” katanya sambil menambah ketika ini pokok
guarana ditanam di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Johor serta akan
diperluaskan ke beberapa negeri lain.
“Ladang terbesar terletak di Kelantan dengan
keluasan tanah kira-kira 20 hektar yang diusahakan pekebun kecil,” katanya.
Mengulas mengenai khasiat tepung guarana,
Ibrahim berkata, produk itu bebas gluten, 100 peratus organik, memiliki zat
besi, tinggi kalsium dan DHA.
Malah ia juga boleh digunakan untuk menghasilkan
kek dan kuih selain harganya yang sama dengan tepung gandum.
“Selepas ini kita tak perlu risau jika stok
tepung gandum berkurangan kerana kita ada tepung guarana yang mempunyai lebih
khasiat tersendiri.
“Kita dah buat kek, roti, pasta dan mi
menggunakan tepung ini dengan bantuan chef terkemuka. Hasilnya amat memuaskan.
“Uniknya apabila kita buat jemput-jemput pisang
guna tepung ini pada waktu pagi ia masih lagi rangup sampai ke petang,” katanya
yang menjalani kajian dan pembangunan selama tiga bulan bagi menghasilkan
tepung berkhasiat itu.
Jelas Ibrahim, tepung guarana dihasilkan
menerusi biji tumbuhan herba ajaib itu yang boleh dituai dua kali setahun pada
tahun kedua.
“Tahun pertama hasilnya ambil masa 14 bulan
untuk dituai. Tahun kedua setiap enam bulan akan keluar hasil.
“Ini bermakna pekebun-pekebun kecil setahun
dapat RM3.6 juta. Penanaman pokok guarana ini secara tidak langsung dapat
mengubah nasib mereka,” katanya.
Beliau berkata pokok guarana sesuai ditanam di
negara ini kerana faktor iklim Khatulistiwa yang menyamai cuaca di Brazil.
“Brazil dan Malaysia berada di tengah-tengah
garisan Khatulistiwa. Getah pun asal usulnya dari Brazil. Jadi kita bina satu
lagi sejarah baharu melalui pokok guarana yang mampu memberi impak ekonomi
lebih bagus daripada getah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata daun guarana juga
dipercayai berupaya merawat kanser serviks dan mengurangkan ketagihan di
kalangan penagih dadah.
“Kajian di makmal oleh seorang profesor dari
Universiti Sains Malaysia (USM) membuktikan air rebusan daun guarana mampu
mencegah kanser serviks. Apabila kita minum ia dapat bunuh sel kanser dalam
badan.
“Kita juga dah cuba terhadap penagih dadah di
mana ketagihannya semakin berkurangan. Sekarang kita tengah hantar analisis ke
makmal. Apabila keputusan bertulis keluar nanti, seluruh dunia akan nampak
Malaysia,” katanya.
Guarana atau nama saintifiknya, Paullinia cupana adalah sejenis pokok herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazi.
Pokok guarana mengeluarkan daun yang lebar dan
berjambak bunganya, dan terkenal dengan buahnya yang sebesar biji kopi.
Ibrahim turut memberitahu pihaknya menjadikan
penanaman pokok guarana sebagai satu platform untuk membantu mengurangkan
bebanan hutang negara.
“Saya yakin kita dapat bantu kurangkan hutang
negara dalam tempoh dua tahun akan datang. Ini salah satu inisiatif syarikat
kerana kita sayangkan negara kita. Keadaan hutang terlalu tinggi ketika ini.
“Jadi kita fokus kurangkan debit negara. Setakat
ini permulaan dengan China masih di peringkat rundingan. Saya akan bertemu
dengan presiden China selepas ini… tengah tunggu tarikh dari mereka,” katanya.
.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.