Total Pageviews

Tuesday 1 January 2019

Madu Tiruan





Punca : Kosmo














 Madu Tiruan

Kenyataan Akhbar KPK 20 November 2017






Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum artikel bertajuk “Madu diabetes” yang disiarkan melalui akhbar Berita Harian pada 19 November 2017. Artikel tersebut menyatakan kira-kira 80% pasaran madu lebah di negara ini adalah madu tiruan dan hasil kajian makmal didapati madu tiruan diperbuat daripada gula, kanji dan tepung jagung yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna terutamanya pesakit diabetes.

Madu merupakan sejenis manisan yang dihasilkan oleh lebah menggunakan nektar bunga. Peraturan 130, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 telah menetapkan antaranya madu hendaklah mengandungi tidak kurang daripada 60% gula penurunan (reducing sugars) dan mempunyai kandungan gula sukrosa tidak melebihi daripada 10%.

KKM memandang serius ke atas penjualan madu tiruan di pasaran. Hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dari tahun 2016 sehingga kini, sebanyak 77 sampel produk madu dengan pelbagai jenama telah diambil di pasaran tempatan. KKM mendapati bahawa tujuh (7) sampel produk (9.1%) tidak mematuhi standard yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. KKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan di mana syarikat berkenaan telah diarahkan menarik balik produk terbabit dari pasaran dan tindakan mahkamah telah diambil.

Manakala 5-hydroxymethylfurfural (HMF) merupakan bahan organik yang terhasil dari hidrolisis gula akibat pemanasan, penyimpanan pada suhu yang tinggi atau tempoh jangkamasa penyimpanan yang lama. Bahan ini lazimnya digunakan sebagai petunjuk kualiti madu dan kandungannya akan meningkat apabila suhu meningkat dan tempoh penyimpanan bertambah. Menurut the Federal Institute for Risk Assessment (BfR), Germany, HMF tidak memberikan kesan toksik kepada kesihatan manusia.

Seksyen 13B(2)(e), Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang tidak mematuhi standard atau spesifikasi yang ditetapkan oleh mana-mana peraturan di bawah Akta Makanan 1983 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

KKM akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk madu dan sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.







No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.