Oleh
Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 6 Mei 2015 – Inovasi
yang diciptakan oleh pelajar tahun dua dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina
mungkin penyelesaian kepada masalah monyet berkeliaran di kolej-kolej kediaman
dalam kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Muhammad Solihin Hamzah telah
meraih anugerah inovasi terbaik sempena Fiesta Juadah Antarabangsa dan Pameran
Inovasi Kolej Ungku Omar (KUO) yang diadakan di sini, semalam.
Muhammad Solihin, yang
mencipta cara menghalau kera dengan menggunakan bahan-bahan yang mudah
diperolehi, telah berjaya menarik perhatian Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal
Pelajar dan Alumni), Prof Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal yang memilih reka cipta
tersebut sebagai inovasi terbaik.
Beliau telah menggunakan kacang
dan belacan untuk menghalau beruk yang sering mengganggu pelajar di
kolejnya.
“Saya tinggal di KUO dan kami
sering didatangi oleh monyet di blok-blok kolej kediaman. Jadi saya memikirkan
apa kaedah yang boleh digunakan untuk menghalau monyet dari mendekati kawasan
blok kolej kediaman.
“Jadi saya mula membaca dan
mencari bahan apa yang monyet tidak suka. Saya dapati banyak benda yang boleh
digunakan untuk menghalau monyet tetapi kos untuk mendapatkan bahan tersebut
adalah tinggi kecuali penggunaan belacan dan kacang,” katanya ketika ditemui di
sini semalam.
Hasil pembacaannya, beliau
mendapati monyet tidak suka pada belacan kerana boleh menyebabkan kegatalan.
“Jadi saya cuba menggaulkan
belacan dengan kacang dan dimasukkan ke dalam botol plastik yang telah ditebuk
lubang. Saya telah menggunakan beberapa jenis belacan kerana bukan semua
belacan yang ada dipasaran dapat menghalau beruk.
“Apabila saya meletakkan botol
yang berisi belacan dan kekacang pada blok KUO, saya dapati monyet-monyet
tersebut tidak datang menghampiri kawasan itu. Jadi, kajian dan inovasi yang
saya jalankan ini saya anggap berjaya,” katanya.
Menurut beliau, memandangkan
belacan ini mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan, botol-botol tersebut akan
diletakkan di bawah-bawah pokok di sekitar kolej kediaman tersebut.
“Untuk membawa inovasi ini ke
hadapan, saya perlu membuat penyelidikan yang lebih rapi dan perlu tahu
komposisi belacan yang perlu digunakan. Mungkin juga ada kaedah lain yang lebih
sesuai dan strategik yang boleh saya gunakan dalam menghasilkan produk ini
kelak,” katanya.
Muhammad Solihin
mengambil masa kira-kira sebulan untuk mencari bahan, seterusnya
menghasilkan penghalau monyet tersebut.
Sementara itu, Pengarah Projek
Fiesta Juadah Antarabangsa dan Pameran Inovasi Kolej Ungku Omar, M Dineshni
Muthukumar berkata terdapat 19 penyertaan untuk pameran inovasi termasuklah
Pengumpul Air Hujan, Penghalau Monyet, Penghias Lampu Kitaran Semula dan
Makanan Rumpai Laut.
Selain itu, pameran makanan
dari sembilan negara termasuk Malaysia, Jordan, Libya, Iraq, Iran, China,
Kazakhstan dan Jepun, turut dijayakan.
Pelajar
siswazah dan pasca-siswazah dari pelbagai fakulti terlibat dalam pameran ini
yang dianjurkan oleh KUO dan merupakan kesinambungan daripada program Food
Paradise yang diadakan pada tahun lepas.
Baca
Lagi:
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.