Total Pageviews

Tuesday, 1 May 2018

Ayat Quran sembuhkan Kanser


Ayat Quran sembuhkan Kanser






Ini adalah kisah kehidupan yang benar-benar berlaku kepada cikgu Noorliza Darmin, 46 tahun dari Johor Bahru. Beliau seorang guru di Sekolah Bandar UDA2 di Johor Bahru. 

Beliau disahkan menghidapi penyakit kanser payudara pada tahun Mac 2006. Kanser itu kemudian merebak ke paru-paru dan tulang belakang. 

Kejadian yang menarik dalam cerita Cikgu Noorliza ini adalah bagaimana rakan-rakan sekerja dan anak-anak murid di Sekolah Bandar UDA2 beramai-ramai membacakan surah Yasin di sekolah, dan berdoa beramai-ramai kepada ALLAH SWT di saat Cikgu Noorliza dalam keadaan kritikal semasa sedang menjalani pembedahan di hospital. 

Atas keberkatan doa mereka, dengan keizinan ALLAH SWT, banyak perubahan positif berlaku pada Cikgu Noorliza pada ketika itu. 

Kisah ini adalah bukti hidup mukjizat al-Quran dan doa ikhlas mampu menyembuhkan penyakit kanser dengan keizinan ALLAH SWT. 

Kisah benar ini adalah  sedutan  satu daripada testimoni pesakit dalam buku Perubatan Al-Quran Rawatan Kanser (Quranic Medicine in Healing Cancer).


Selaut pengharapan, segunung kemungkinan 

Hidup ini memang ibarat roda. Putarannya membawa kita ke atas dan ke bawah. Andai di atas, tidak semestinya selamanya di sana. Andai di bawah, kita tidak semestinya sengsara. Kadangkala, manusia jarang menghargainya. 

Namun apabila musibah melanda, manusia akan lebih menghargai kehidupan. Begitu juga pengorbanan. Kadangkala kita rasakan pengorbanan kita ini bagai tidak dipedulikan.

Sekali kita diuji, barulah kita tahu betapa eratnya setiakawan, betapa diri ini dikenang dan dihargai. 
Ayah dan ibu saya meninggal dunia akibat kanser. Jadi, kanser ibarat musuh utama saya. 

Kanser adalah perkara yang paling saya tidak mahu ingati atau fikirkan. Ia bagai mimpi ngeri buat diri ini. Namun, mimpi ngeri saya selama ini bertukar menjadi realiti.

Kisah kanser saya bermula pada 9 Januari 2006, suatu tarikh yang tidak akan saya lupakan dalam hidup ini. Saya memberanikan diri untuk membuat pemeriksaan di sebuah klinik swasta seandainya saya mempunyai kanser payudara kerana sejarah keluarga, ayah dan ibu saya meninggal dunia akibat penyakit itu.

Doktor membuat pemeriksaan dan mendapati hasilnya negatif. Ia bermakna bukan kanser, hanya sekadar fungus dan bukannya sakit yang serius.

Saya kurang berpuas hati dengan keputusan tersebut. Pada bulan Mac tahun yang sama, saya mengambil alternatif yang lain iaitu membuat pemeriksaan di hospital kerajaan. Doktor mengesahkan saya menghidap kanser payudara dan perlu menjalani pembedahan segera.

Ketika itu saya masih terkenangkan ibu dan ayah yang meninggal dunia akibat kanser. Tidak sanggup rasanya diri ini untuk menjalani pembedahan.

Mujurlah ketika itu, saya diperkenalkan kepada seorang tabib Cina yang memeluk Islam. Beliau merawat dengan menggunakan teknik jarum akupunktur. Lama-kelamaan kesihatan saya semakin pulih, biarpun pada waktu malam, saya terasa kesakitan yang teramat sangat pada kawasan payudara ini.

Kesakitannya boleh diibaratkan seperti daging yang dihiris dengan pisau. Namun menjelang pagi, saya kembali pulih dan bersemangat semula untuk ke sekolah. Setelah hampir setahun menjalani rawatan dengan tabib itu, saya beransur pulih.

Pada Ogos 2008, tabib tersebut berpindah ke Negeri Sembilan. Bermula dari situlah, kesakitan saya kembali menghantui diri.

Menjelang November 2008, saya mula batuk-batuk. Saya sekadar pergi ambil ubat batuk di klinik-klinik biasa. Saya tidak memberitahu doktor di situ bahawa saya menghidapi kanser kerana fobia penyakit itu menyerang kembali.

Lama-kelamaan, batuk saya semakin serius. Saya mengalami sesak nafas. Doktor klinik swasta yang memeriksa saya membuat x-ray, dan menasihati saya supaya dirujuk ke hospital. Pada ketika itu, barulah saya mengaku bahawa saya menghidap kanser.

Saya meminta agar dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana saya yakin dengan kepakaran di situ berikutan pengalaman daripada beberapa kenalan sebelum ini.

Di HUKM, doktor mengesahkan kanser saya sudah merebak ke bahagian tulang belakang. Saya dikehendaki menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali.

Saya mula menerima kemoterapi di HUKM pada awal tahun 2009. Pertama kali menjalani rawatan kemoterapi, saya sudah tidak mampu berjalan. Saya menggunakan bantuan kerusi roda. Saya bertanya kepada doktor, adakah kanser saya ini telah sampai pada tahap yang keempat? Doktor mengakuinya. Namun, doktor memberikan saya kata-kata semangat.

Menurutnya, mereka tidak pernah mengira tentang tahap. Ada pesakit yang berada pada tahap satu, tetapi meninggal dunia. Ada pesakit yang berada pada tahap keempat, tetapi sihat semula. Apa yang penting adalah kita berikhtiar dan bertawakal kepada ALLAH SWT.

Setelah tamat rawatan kemoterapi yang pertama, saya pulang ke Johor. Waktu berlalu, penyakit saya masih tidak menemui kesembuhan. Hinggalah pada suatu hari, saya terkena demam panas.

Hanya ALLAH SWT yang tahu perasaan saya pada ketika itu. Saya dikejarkan ke Hospital Puteri di Johor. Dan itulah saat yang paling memeritkan. Doktor melakukan pemeriksaan dan mendapati kanser saya sudah merebak ke paru-paru.

Badan saya semakin lama semakin lemah, hinggalah saya hanya mampu duduk di kerusi roda. Pergerakan psikomotor saya juga semakin perlahan. Penyakit saya itu jelas kelihatan dari segi fizikal.

Ketika itu, terbayang wajah anak-anak dan suami serta kerjaya perguruan yang melengkapi hidup saya selama ini. Apabila memikirkan anak-anak saya yang sedang membesar, saya menguatkan diri untuk melawan penyakit. Ini kerana saya mahu anak-anak saya membesar dengan kasih sayang seorang ibu di sisi mereka.

Doktor meminta izin untuk menebuk tulang belakang saya. Katanya, jika air yang keluar itu adalah air kanser, kemungkinan untuk saya lumpuh adalah amat tinggi.

Saya reda. Namun, saya memujuk hati saya. Itu hanyalah kajian manusia. ALLAH SWT lebih berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dan apabila ditebuk, ternyata air kanser yang keluar. Namun, keajaiban berlaku.

 
Bukan semua musibah itu pahit

Selepas daripada pembedahan itu, kebiasaannya pesakit akan menjadi semakin kronik dan kronik. Sebaliknya saya semakin stabil sehingga mampu terlena selepas pembedahan tebuk tulang belakang tersebut.

Bukan semua musibah itu pahit. Ia juga ada kemanisannya. Pada hari saya ditebuk tulang belakang itu, saya sudah berada di ambang maut. Peluang saya masih samar-samar. Dan pada ketika saya dibedah itulah, suami saya menghubungi rakan di sekolah dan memberitahu keadaan saya. Lalu, rakan tersebut memberitahu guru besar dan serta-merta guru besar membuat pengumuman untuk memberhentikan pembelajaran serta merta.

Dalam keadaan menangis, guru besar menyuruh semua pelajar ke kantin sekolah dan mereka mengadakan bacaan Yasin untuk saya ketika itu juga. Ketika pengumuman itu dibuat, waris yang tinggal di sekitar juga turut terdengar. Mereka turut datang beramai-ramai membacakan Yasin untuk saya dalam suasana yang penuh hiba itu.

Ketika saya kembali sedar, rakan-rakan guru yang menziarahi saya menceritakan semula detik-detik itu. Saya menangis terharu. Oleh kerana doa merekalah, keajaiban berlaku kepada saya pada hari pembedahan tersebut.

Pada ketika itu, saya merasakan pengorbanan saya selama ini bersusah payah mendidik anak bangsa dengan penuh keikhlasan, berbaloi dengan penghargaan sebegini rupa oleh rakan, waris dan anak-anak pelajar saya sendiri.

Kini baru saya sedar selama ini diri saya amat dihargai. Setelah kesihatan saya agak stabil semula, saya menyambung pula rawatan ke HUKM. Doktor melakukan bone scanning dan mendapati kanser telah merebak hingga ke tulang belakang saya, di kawasan T11. Doktor tiada pilihan lain selain menasihatkan saya untuk terus menjalani kemoterapi, satu sesi demi satu sesi.
 
Serentak dengan itu, saya mula menemui rawatan al-Quran Al-Hidayah yang saya tonton melalui rancangan televisyen “Penawar Syifa”.

Saya mula mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah pada awal tahun 2011 dan diberikan beberapa rangkaian ayat al-Quran untuk dibaca.

Sejak berubat dengan menggunakan ayat al-Quran ini, kesan yang paling jelas terasa adalah hati dan jiwa saya semakin tenang. Kesakitan yang berdenyut-denyut di kawasan payudara selama ini hilang. Malah, luka-luka di sekitar tempat sakit juga mulai kering dengan izin ALLAH SWT.

Hati saya terasa amat dekat dengan ALLAH SWT. Diri ini semakin reda dengan ujian daripada-Nya. Selain mendapat penyembuhan dengan mengamalkan rawatan ayat-ayat al-Quran ini, saya turut berpeluang membiasakan diri agar membaca al-Quran pada setiap hari secara istiqamah dan berjadual.

Bersyukur atas musibah diberi

Setiap hari, selepas solat Subuh dan Maghrib, rutin harian saya adalah membaca al-Quran. Saya semakin bersyukur dengan kesakitan yang menimpa ini. Daripadanya, banyak petunjuk yang diberi Ilahi. Saya tidak mengeluh dengan nasib menimpa diri, sebaliknya bersyukur dengan musibah yang diberikan.

Setelah semakin lama mengamalkan perubatan al-Quran ini, saya kembali pula ke hospital pada penghujung tahun 2011 untuk membuat pemeriksaan tentang tahap kanser saya ketika itu.
 
Pada sesi scanning itu, doktor berkali-kali menyuruh saya turun naik tandas dan membuang air, dan diperiksa semula. Hinggalah berkali-kali, saya berasa hairan dan bertanya kepada doktor, apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada saya?

Sebelum ini, doktor hanya membuat pemeriksaan sebanyak sekali. Mengapa hari itu berkali-kali? Lalu doktor memberitahu saya bahawa beliau hairan. Ke mana hilangnya kanser saya selama ini? Katanya kawasan tulang belakang saya bersih dan paru-paru saya pula kelihatan kembali ke bentuk asal! Ia bererti saya kembali normal!

Doktor tidak dapat menjelaskan dengan ilmu perubatannya tentang apa yang sedang berlaku kepada saya. Kesimpulannya, ia adalah satu keajaiban.

Namun, bagi saya ini semua kuasa ALLAH SWT. Tiada yang mustahil. Ya, saya berasa amat bersyukur kepada ALLAH SWT. Daripada kesakitan hingga tidak mampu sedarkan diri dan dibacakan Yasin, kanser merebak ke seluruh anggota tubuh, hari ini saya kembali normal. Memang sukar untuk diceritakan dengan kata-kata, sebuah pengalaman yang cukup indah dalam keperitan.

Meskipun saya sudah beransur pulih daripada kanser, perjalanan saya menentang kanser ini belum berakhir.

Baru-baru ini pada November, saya telah disahkan oleh hospital mendapat “cancer relapse”.  Ada ketumbuhan baharu di bahagian payudara di tempat kanser yang lama.

Saya disyorkan menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 6 kali lagi. Saya redha dan saya percaya dengan bacaan-bacaan al-Quran  saya dapat menangani masalah ini sekali lagi. Hati dan jiwa saya lebih tenang kali ini.

Saya yakin dengan mukjizat al-Quran, suatu hari nanti saya akan sembuh 100 peratus. Insya-ALLAH.

Senarai surah yang dibaca oleh pesakit sepanjang pengubatan dengan Al-Hidayah:


1. Al-Hajj - 31 hingga 55
Hud - 60 hingga 80

2. Al-Maa’idah - 58 hingga 70
Yunus - 55 hingga 70

3. Al-Qasas - 68 hingga 88
Al-A’raaf - 101 hingga 127

4. Al-Furqaan - 12 hingga 28
Al-Ahzab - 18 hingga 30

5. Al-Kahfi - 36 hingga 60
Ibrahim - 9 hingga 22

6. Gafir - 67 hingga 77
An-Nahl - 119 hingga 128

7. Al-An’aam - 127 hingga 137
An-Naml - 11 hingga 26

8. Taahaa - 91 hingga 110
An-Nur - 55 hingga 64

9. Al-Israa -’ 72 hingga 96
Al-Hajj - 57 hingga 72

10. Fussilat -41 hingga 54
Al-Anbiyaa’ - 89 hingga 112

11. Ar-Ra’d - 16 hingga 28
Al-Qasas - 68 hingga 88







.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.