Total Pageviews

Tuesday, 1 May 2018

Pahlawan Kedayan Dikenang












ARKIB : 27/08/2008



5  pahlawan  Kedayan  dikenang

 



Oleh SUMI MALENG




MIRI 26 Ogos - Bekenu yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar raya ini mempunyai nilai sejarahnya tersendiri dan mungkin tidak diketahui oleh rakyat Malaysia yang lain.

Di sini pernah berlaku pertumpahan darah yang menyaksikan lima orang pahlawan kaum Kedayan terbunuh dalam satu pertempuran dengan tentera British pada tahun 1962.

Mereka yang terkorban ialah Tani Ibrahim, Sail Suai, Tudin Naim, Ali Jumat dan Tamin Amin yang disemadikan dalam satu liang lahad.

Biarpun nama mereka tidak tersohor seperti pahlawan Iban iaitu Rentap yang menentang pemerintahan Rajah Putih pertama Sarawak, James Brooke di Bukit Sadok, namun bagi suku kaum Kedayan lima penduduk terkorban itu adalah pahlawan termasyhur mereka.

Oleh itu, saban tahun setiap kali bulan kemerdekaan diraikan rakyat di negara ini, suku kaum Kedayan di sini tidak lupa untuk memperingati jasa-jasa pahlawan mereka termasuk mengadakan majlis doa dan tahlil di Makam Pejuang Kemerdekaan, Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Satap, Bekenu.

Menurut Penghulu Salim Ebrahim, 59, tarikh 14 Disember 1962 sentiasa segar dalam ingatan penduduk kampung sampai bila-bila.

Pada tarikh itu, katanya, lebih 600 kaum Kedayan di Bekenu telah bangkit dan berusaha merampas kembali daerah kecil ini yang ditawan kerajaan British.

''Masih terbayang di ingatan kita bagaimana kentalnya semangat penduduk dalam mempertahankan bumi mereka dari dijajah British hingga nyawa menjadi taruhan ketika itu.

''Penduduk bangkit mempertahankan hak mereka selepas seminggu British menawan daerah ini.
Dua hero kita terbunuh berhampiran pejabat daerah, seorang mati dalam perahu dan dua lagi ditangkap British dan dibunuh kemudiannya.

''Ketika itu saya hanya berusia 13 tahun dan saya lihat sendiri betapa kentalnya semangat juang penduduk dalam memperjuangkan kemerdekaan," katanya yang ditemui selepas majlis doa dan tahlil khusus untuk pahlawan mereka di Makam Pejuang Kemerdekaan di sini baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Rosey Yunus serta ketua-ketua kaum dan penduduk di sekitar daerah Bekenu.

Mengimbau detik tersebut, Salim berkata penduduk kampung hanya bersandarkan kekuatan semangat berbanding tentera British yang mempunyai senjata perang termasuk senjata api.

''Pada masa itu, mereka (lima yang terbunuh) dipanggil pemberontak oleh kerajaan British, tetapi selepas merdeka, mereka adalah pejuang kemerdekaan yang sangat kita kagumi," katanya.

Sementara itu, Rosey menghargai usaha penganjur yang mengadakan majlis tersebut untuk menghargai pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu.

Beliau turut meminta Persatuan Kedayan Sibuti supaya membuat penyelidikan berhubung kisah perjuangan kemerdekaan Bekenu tersebut dan membukukan kisah tersebut.

''Sejarah kematian pahlawan ini harus diselidik dan ditulis terutama bagaimana cerita mereka mempertaruhkan nyawa untuk memperjuangkan kemerdekaan," katanya.

Rosey berkata, ia salah satu cara untuk kaum Kedayan negeri ini khususnya generasi akan datang mengenali dan menghargai pahlawan mereka yang sudah banyak berjasa dalam membebaskan daerah ini dari penjajah.

''Kisah perjuangan pahlawan ini harus ditulis supaya generasi muda akan datang tahu siapa pahlawan mereka dan orang yang telah memperjuangkan kemerdekaan mereka," katanya.










No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.