Total Pageviews

Tuesday, 1 May 2018

Dalang Pembunuhan Imam Fadi Al-Batsh


Dalang Pembunuhan Imam Fadi Al-Batsh






Semalam gempar tentang isu pembunuhan terancang seorang imam dari Palestin, Fadi Al-Batsh yang ditembak mati oleh suspek yang menaiki motosikal berkuasa tinggi.
Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mendakwa agensi perisikan rejim pengganas Israel, Mossad bertanggungjawab dalam operasi membunuh saintis dan ulama muda Palestin ini. Menurut pemimpin tinggi Hamas, Dr Fadi Al-Batsh adalah salah seorang ahli Hamas dan merupakan saintis muda yang hebat di kalangan mereka.
Wakil Hamas, Ismail haniyeh membuat kenyataan kepada Associated Press memberitahu Mossad tidak akan dapat lari daripada perbuatan yang keji ini. “Kami ambil serious tentang perkara ini. Kami tidak akan berdiam diri jika nyawa anak kecil, anak muda dan ulama kami dibunuh,” tambah Ismail.
Buat masa ini, pihak berkuasa Israel tidak mengeluarkan sebarang komen berkenaan kes ini. Tetapi Israel sebelum ini pernah melancarkan operasi sebegini rupa di seluruh dunia untuk mencari warga Palestin bijak yang memberi ancaman kepada negara berkenaan.
Imam Fadi yang berusia 34 tahun dibunuh oleh dua suspek dari jarak dekat dan sekurang-kurangnya 8 tembakan dilepaskan. Suspek kemudiannya melarikan diri dengan motosikal kuasa tinggi (model BMW 1100cc). Menerusi satu rakaman litar tertutup (CCTV), suspek menunggu lebih 20 minit untuk membunuh Dr Fadi berkenaan yang dalam perjalanan ke masjid untuk solat Subuh.
Dr. Fadi Al-Batsh adalah seorang yang mempunyai kepakaran dalam ilmu kejuteraan elektrik dan elektronik dan sudah menetap di Malaysia 8 tahun dan merupakan imam untuk salah satu masjid di Setapak. Persoalannya di sini semestinya bagaimana pembunuh upahan dari luar boleh lolos ke Malaysia?
Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi turut memberi pendapat menyeluruh tentang kenapa boleh berlakunya kes pembunuhan seperti ini di Malaysia. Nyata mata-mata Israel ada di seluruh dunia dan tidak senang melihat ada orang Islam yang berjaya ilmu dunia dan agamanya. Al- Fatihah buat Dr. Fadi Al-Batsh.


PEMBUNUHAN IMAM PALESTIN: ISYARAT ZIONIS KEPADA KITA?
1. Dunia seolah-olah terhenti serta-merta di Malaysia apabila seorang Imam muda dari Palestin – dikenali sebagai Imam Dr. Fadi Al-Batsh – dibunuh sewaktu perjalanan mengerjakan solat Subuh. Lebih tragis, beliau syahid meninggalkan seorang balu dengan tiga orang anak yang masih kecil. Siapa yang mengarahkan pembunuhan ini dilakukan? Kenapa Imam Fadi menjadi sasaran? Apakah isyarat pembunuhan ini kepada kita?
2. Sememangnya tidak mustahil bahawa pembunuhan kejam ini didalangi ejen asing – khususnya ejen perisikan Israel Mossad – yang berjaya menyusup masuk ke negara kita seperti mana kenyataan Timbalan Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
3. Imam Fadi perlu diketahui bukanlah sebarangan imam. Beliau juga adalah merupakan seorang pensyarah bidang Kejuruteraan Elektrik di sebuah IPT di negara kita dengan kelulusan Doktor Falsafah. Beliau bukan sahaja sering diundang menjadi Imam solat Tarawikh pada bulan Ramadan, bahkan juga aktif memainkan peranan penting dalam usaha pengumpulan dana dari Malaysia untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan di Palestin.
4. Fakta ini jelas menunjuk ke arah satu kesimpulan yang tidak dapat dinafikan dengan mudah: Israel tentulah tidak selesa dengan kewujudan seorang insan yang begitu seimbang dari segi kehebatan rohani dan juga akalnya – apatah lagi berupaya menjadi ‘jambatan’ dalam menyalurkan dana dari Malaysia ke Palestin. Masa yang dipilih juga menyokong hipotesis ini; bulan Ramadan bakal menjelang tiba tidak lama lagi dan pastinya dana dari Malaysia bakal mencurah-curah disalurkan ke Palestin oleh Imam Fadi jika beliau tidak dihalang.
5. Selain daripada hipotesis ‘Imam Fadi sebagai penyalur dana dari Malaysia ke Palestin’, tentulah terdapat pelbagai andaian lain yang berkemungkinan membawa kepada berlakunya tragedi ini. Adakah beliau mempunyai hubungan dengan Hamas? Adakah kepakaran Kejuruteraan beliau ada disalurkan ke Hamas lalu menjadi ancaman kepada rejim Zionis? Masih terlalu banyak pembuktian yang perlu dilakukan dan tugas ini kita serahkan kepada pihak berkuasa kita, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
6. Laporan setakat ini menyatakan bahawa dua pembunuh yang bertanggungjawab melepaskan sepuluh das tembakan terhadap beliau sudah pun menunggu selama 20 minit sebelum melakukan pembunuhan tersebut. Berdasarkan jumlah tembakan yang sebegitu banyak tanpa sebarang petunjuk motif ragut atau rompakan yang jelas, pembunuhan sebegini amat mirip sekali dengan modus operandi ‘Targeted Killing’ atau ‘Pembunuhan Bersasar’ yang diamalkan oleh Israel sejak sekian lama.
7. ‘Pembunuhan bersasar’ ini dijalankan secara cekap melibatkan ejen Israel yang melakukan pembunuhan ke atas individu-individu berprofil tinggi mahu pun individu di balik tabir yang bergiat mengancam kedudukan strategik rejim Zionis. Mereka menyusup masuk melangkaui kedaulatan negara asing dan menjalankan pembunuhan kejam.
8. Menurut rekod, ‘Pembunuhan bersasar adalah suatu bentuk serangan ketenteraan Israel yang paling signifikan dan kerap’ di mana ia bukan sahaja merupakan aktiviti keganasan, tetapi juga ‘alat politik’ untuk mengukuhkan kawalan ke atas penjajahan mereka di Palestin.
9. Israel sememangnya tidak segan sama sekali untuk melakukan pembunuhan di luar negara demi melindungi survival negara haram mereka. Contoh yang paling jelas ialah pembunuhan berturut-turut dua pemimpin Hamas di Palestin iaitu Syeikh Ahmed Yasin dan juga Dr. Abdul Aziz Rantisi.
10. Sebelum 2001 Israel menafikan bahawa mereka mengamalkan polisi hukuman bunuh tanpa perbicaraan sebegini. Hanya apabila Intifada Kedua meletus mulai November 2000 barulah mereka mengakui ada menjalankan ‘pembunuhan bersasar untuk pencegahan’ (preemptive targeted killing’. Sebenarnya sejak tahun 1950-an lagi Israel telah pun dituduh menjalankan operasi haram sebegini di luar wilayah jajahan mereka.
11. Keputusan untuk menjalankan pembunuhan sebegini telah diperkenalkan kembali oleh Ariel Sharon. Mahkamah Israel tidak lagi terlibat dalam memutuskan sebarang keputusan pembunuhan bersasar ini sebaliknya terletak sepenuhnya pada budi bicara Perdana Menteri Israel dan badan perkhidmatan rahsia Israel, Shin Bet.
12. Setakat ini terdapat tiga fakta besar yang sama sekali tidak dapat ditolak: Imam Fadi tidak diketahui sebagai seorang yang bermusuh dengan sesiapa; pihak yang paling ‘beruntung’ dengan kematian beliau ialah rejim haram Zionis; modus operandi ‘pembunuhan bersasar’ sebegini bukanlah asing bagi Zionis.
13. Kita wajib mendoakan semoga pasukan penyiasat PDRM berjaya menghadapkan pembunuh Imam Fadi ini ke muka pengadilan dan pembunuh berhati binatang ini menerima pembalasan yang setimpal. Sekiranya kelak dibuktikan bahawa sememangnya wujud campurtangan asing dalam kes ini – terutama sekali Mossad Israel – maka ia merupakan isyarat jelas bahawa rejim haram tersebut telah menceroboh kedaulatan negara kita dan wajar diberi pengajaran yang bukan sebarangan.


Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.