Total Pageviews

Tuesday, 1 May 2018

Sejarah Sarawak yg digelapkan


Sejarah Sarawak yg digelapkan











Menyelusuri satu SEJARAH YANG DIGELAPKAN dari pengetahuan umum kerana British tidak mahu ada sesiapa yang tahu bahawa mereka dahulu pernah ditentang oleh 600 pahlawan berani anak Kedayan Bekenu Sarawak. Walau ada yang sudah bising dengan tajuknya tetapi itulah pensejarahannya yang sebenar. Mereka hendak menghalau British yang cuba mengatur halatuju tanahair mereka suatu waktu dahulu.



PENENTANGAN ANTI MALAYSIA KEDAYAN BEKENU 1962 - The Untold History


PENENTANGAN ANTI-MALAYSIA KEDAYAN BEKENU 1962 

– The Untold History

BUKAN senang untuk membina sebuah Negara dengan ditambah lagi ianya adalah penyatuan beberapa entiti yang berbeza. Dan realitinya “Sejarah Itu Ditulis Oleh Mereka Yang Menang” menjadikan ada ketikanya rujukan itu terpaksa berpaut pada rujukan pihak barat yang sudah tentu sering menampilkan kenyataan yang berat sebelah.

Begitulah juga di dalam menyatakan satu ketika dahulu bagaimana ada anak tempatan Sarawak yang bangun menentang pihak penjajah iaitu Koloni British sewaktu cadangan penubuhan Malaysia 54 tahun yang lalu. Ianya adalah satu sejarah yang digelapkan kerana pihak Koloni British tidak mahu ianya menjadi contoh untuk penentangan pentadbiran mereka di seluruh jajahannya.

Pada ketika itu, penentangan anti-Malaysia yang tidak didendangkan ini diwarnai dengan cerita mereka menerima pengaruh komunis di dalam ideologi mereka kerana bersatu dengan TNKU pimpinan AM Azahari yang juga pembangkit revolusi penentangan ke atas British di Negara Brunei Darussalam. Hakikatnya apa yang diusahakan oleh pahlawan ini adalah satu iaitu untuk menyatakan bahawa Sarawak boleh merdeka tanpa perlu Koloni British cuba membentuk Sarawak menganggotai mana-mana gagasan pada waktu itu.

Tanggal 8 Disember 1962 menyaksikan bumi Miri mahupun Limbang diambilalih oleh Tentera Nationalis Kalimantan Utara (TNKU). Mereka menyertai TNKU kerana hanya inilah sahaja cara untuk anak kampung mengenali taktik peperangan kerana pada ketika itu mereka hanya penduduk kampung yang biasa-biasa sahaja.

Apabila serangan hendap dilakukan pada ketika itu ke atas beberapa kawasan keselamatan Miri maka akhirnya Miri diambilalih pada keseluruhannya termasuklah bumi Bekenu sendiri. Diturunkan bendera Koloni British yang selama ini berkibar megah di bumi Sarawak sebaliknya dinaikkan bendera TNKU. Sesetengah penceritaan pihak Barat pula mengatakan mereka menaikkan bendera Indonesia yang mana sama sekali tidak benar.

Tersentap dengan keberanian mereka, pihak British mengatur strategi malah memohon bantuan negara-negara Komanwel untuk membantu mereka. Tiada namanya British hendak berpeluh tubuh sebaliknya selang beberapa hari mereka kembali dengan bala tentera serta logistik yang cukup kuat serta lengkap bagi menghalau “tentera-tentera TNKU” di bumi Miri pada waktu itu.

Pada tanggal 14 Disember 1962 pula iaitu di pagi subuh yang bening, tentera Koloni British dengan askar upahan Gurka juga Sarawak Ranger bergerak ke Bekenu kerana disinilah dikatakan saki baki tentera TNKU berada. Tanpa takut dengan jumlah tentera yang besar, seramai 600 orang penduduk Bekenu yang terdiri daripada etnik Kedayan bangun mengangkat senjata menentang mereka dengan beralaskan apa sahaja senjata yang ada.

Tiada kegentaran di hati mereka kerana mereka mempertahankan bumi Bekenu daripada diambilalih oleh Koloni British semula. Malangnya semangat anak-anak Kedayan Bekenu ini tidak dapat menandingi kekuatan peluru dan tentera Koloni British sehingga memungkinkan beratus-ratus orang daripada mereka ditangkap seterusnya disumbat ke dalam penjara Miri berasak-asak. Yang cedera luka-luka dibiarkan sakit sembuh sendiri di dalam penjara kerana merekalah “pemberontak” menurut gelaran Koloni British.

Di samping itu dikatakan tentera Koloni British tanpa rasa belas turut menembak mati 5 daripada penduduk Kedayan Bekenu iaitu Tani bin Haji Ibrahim, Sail bin Suai, Tudin bin Naim, Ali bin Jumat dan Tamin bin Amin yang hanya bersenjatakan parang pada ketika itu.

Ada sesetengah penceritaan mengatakan bahawa cara mereka ditembak juga turut sadis. Dua orang gugur ketika mencari perlindungan di pejabat daerah. Seorang lagi ditembak mati di dalam perahu manakala dua lagi berjaya ditangkap tetapi akhirnya dibunuh juga selang beberapa ketika tanpa dipenjarakan.

Bagi yang ditangkap pula, mereka meringkok di dalam penjara dan ada yang hanya dilepaskan usai sahaja Malaysia ditubuhkan pada tanggal 16 September 1963. Itupun setelah mendapat keadilan yang sewajarnya dari pemerintahan Sarawak sendiri pada ketika itu.

Bagi menyanjung tinggi keberanian 5 pejuang anak Kedayan yang gugur inilah saban tahun penduduk Kedayan di Bekenu tetap memperingati jasa pejuang-pejuang kemerdekaan ini. Kelima-lima mereka sejak awal lagi telah disemadikan di satu liang lahad. Malah tempat mereka bersemadi juga diberikan penghormatan yang tinggi dengan dinamakan Makam Pejuang Kemerdekaan, Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Satap, Bekenu, Miri.

Sayangnya sejarah keperwiraan 600 orang dari etnik Kedayan Bekenu tiada langsung diwar-warkan kepada rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya. Ianya sengaja digelapkan kerana Koloni British tidak mahu sesiapa mengetahui bahawa dahulu mereka pernah juga ditentang oleh anak Sarawak di bumi Sarawak sendiri.

Mungkin juga untuk masa sekarang, sejarah ini sengaja disembunyikan kerana perjuangan 600 orang pahlawan yang tidak didendangkan ini adalah kerana tidak mahu menerima Gagasan Malaysia diwujudkan.

Jika hendak membunuh pokok, racunkanlah akarnya 

Jika hendak membunuh bangsa, racunkanlah sejarahnya

-HB-

Reference:

1. Author: A.J Stockwell, - British Documents On The End Of Malaysia. Published by University Of London, Institute Of Commonwealth Studies

2. Author: Zarina binti Abdul Rahman – Brunei Uprising 

3. Sejarah Miri - Laman Web Rasmi Pejabat Residen Miri 

4. Utusan Online – 27/8/2008 5 Pahlawan Kedayan Dikenang





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.