Dalam memahami sesuatu krisis atau konflik peperangan, tidak
dapat dinafikan juga bahawa dalam proses tersebut, mereka yang tidak berdosa
akan menjadi korban keadaan dengan meninggalkan bekas berpanjangan dalam daerah
konflik yang penuh dengan darah dan airmata serta kehancuran infrastruktur dan
maknawi yang memakan generasi untuk pulih.
Premis Memahami Isu Syria
Saya memilih untuk membuat analisa perang Syria dalam kerangka
yang lebih besar yang mana kerangka ini merupakan titik tengah yang bakal
menentukan natijah yang diinginkan (desired outcome) oleh pemain-pemain besar
dunia. Makar atau perancangan jahat ini berskala besar lagi menggerunkan. Dalam
hal ini Al Quran menyebut tentang perancangan yang mahu menghancurkan gunung
sebagai gambaran betapa besarnya sesuatu perancangan yang dibuat:
“…walaupun besarnya perancangan mereka
untuk menghancurkan gunung sekalipun…” (Ibrahim:
46)
Segala fenomena perang yang menyinggung sentimen atas premis
keganasan sekta (mazhab) Sunni lwn Syiah dalam tanggapan majoriti umat
Islam adalah sebahagian daripada alat propaganda yang digunakan untuk mencapai
‘desired outcome’ yang lebih merbahaya kepada warga dunia. Ini bukan bermakna
kita bersetuju keganasan sekta dibiarkan berlaku tetapi fokus kita harus
juga menghentikan kerangka besar yang sedang menentukan pemetaan baru Timur
Tengah sebagai motif utama konflik di mana pada penghujungnya natijah
perancangan akan berkhidmat untuk kehendak dan kepentingan perebutan kuasa
besar dunia secara khususnya Russia, Amerika Syarikat dan China.
Kerangka Besar Perancangan
Yang dimaksudkan dengan kerangka besar konflik di Syria,
sebenarnya adalah dasar Amerika yang menggagaskan pemetaan baru dunia
(re-mapping of the world) sejurus berakhirnya era perang dingin dengan Soviet
Union pada 26 Disember 1991. Kebangkitan negara-negara baru dalam Soviet Union
yang majoritinya Muslim membuka satu ancaman dan peluang (threat and
opportunity) kepada Amerika Syarikat. Keperluan strategi di Asia Tengah didesak
atas kepentingan negara-negara ini punya potensi sumber tenaga daripada telaga
gas dan minyak yang banyak seperti di Kazakhastan, Turkimenestan dan Uzbekistan
di mana dianggarkan 405 trillion cubic minyak menunggu untuk digali dan
eksplorasi.
Keperluan strategik Amerika di Asia Tengah turut mengambil kira
persaingan dengan Russia dan China yang mempunyai sejarah ideologi dan politik
dengan wilayah tersebut. Sentimen berkiblatkan kepada ideologi komunis di
negara-negara tersebut memberikan kelebihan kepada China dan Rusia dan kerana
itu Amerika harus bijak mencatur dan merancang strategi. Laluan bekalan bukan
senjata ke Afghanistan dari Eropah juga melalui wilayah ini manakala
Afghanistan diperlukan sebagai laluan minyak darat yang akan dipam dari
negara-negara C5 iaitu Tajiskistan, Turkeministan, Kazakhstan, Uzbekistan dan
Kyrgystan yang kaya gas asli dan minyak.
Asia Tengah Sebagai Timur Tengah Baru
Dasar Amerika di Asia Tengah akan membantu pemetaan baru dunia
di mana gagasan Timur Tengah Raya atau The Greater Middle East dengan
memasukkan negara C5 sebagai perluasan dari wilayah Timur Tengah yang sedia ada
hari ini termasuk Afghanistan dan Pakistan. Negara-negara Timur Tengah yang
sedia ada hari ini ialah negara Telok, Semenanjung Tanah Arab, dan negara Syam
(Syria dan Lebanon), Iran dan negara Afrika Utara yang berbahasa Arab. Kecuali
Iran yang berbahasa Parsi kesemua negara-negara Timur Tengah berbahasa Arab.
Sejak penglibatan Amerika di Timur Tengah iaitu pembebasan
tebusan di Lebanon dan Iran awal 80an, ide keperluan Greater Middle East -
Timur Tengah Raya mula dicetuskan dan hanya setelah kejatuhan Soviet keperluan
ini didoktrinkan. Penjajahan Afghanistan 2001, Iraq 2003, Peperangan Syria 2012
serta kejatuhan Presiden Morsi 2013 adalah rentetan kepada menundukkan keadaan
mengikut natijah yang dirancang dari agenda Timur Tengah Raya atau ‘War on The
Greater Middle East’.
Pemetaan Baru
Pendekatan Amerika terhadap regim yang dirasakan tidak banyak
membantu kerangka besar ini ialah melalui ‘regime change’. Kaedah ‘regim
change’ atau perubahan regim di kawasan terlibat ialah dengan cara halus iaitu
meletakkan kelompok yang mesra Amerika menjadi kerajaan melalui pertolongan
dengan kaedah demokrasi biasa. Satu lagi kaedah ialah dengan melakukan
huru-hara sehingga pemberontakan berlaku dan mereka yang akan pegang kuasa
ialah kelompok yang akan memenuhi kepentingan strategik Amerika. Kaedah yang
lebih ganas lagi ialah menyerang secara ketenteraan samada secara proksi atau
langsung untuk membawa ‘misi kebebasan’ (seperti perang Syria) atau atas alasan
rejim sedia ada mengancam keselamatan Amerika dan rantau (seperti di
Afghanistan) dan juga kerana menyembunyikan senjata kemusnahan besar-besaran
(WMD) seperti alasan pelanggaran ke atas Iraq tempoh hari.
Selain alasan keselamatan, Amerika juga membawa misi-misi nilai
seperti kebebasan, membawa demokrasi dan kemanusiaan ke atas negara-negara yang
mereka ingin kuasai.
Sekurangnya secara zahir ‘niat’ Amerika secara propaganda
dilihat murni dan mendapat sokongan rakyat yang kebetulan muak dengan
kediktatoran pemimpin mereka seperti di Mesir, Libya dan kini Syria.
Pemetaan baru boleh bermakna beberapa perkara, pertama ialah
perubahan rejim, kedua ialah membesarkan wilayah daripada asalnya seperti Timur
Tengah dan ketiga ialah membentuk negara baru atau wilayah autonomi baru dalam
sesebuah negara asal seperti wilayah autonomi Kurdi di Iraq. Konsep pemetaan
baru ini ialah bagi memudahkan kawalan Amerika ke atas sumber dan laluan yang
akan memberikan ‘nyawa’ kepada kewujudan kuasa Amerika.
Russia dan China tidak ketinggalan dalam perlumbaan ini dan
mereka mahu memastikan Amerika tidak membolot semua akses dan laluan minyak
ini. Mereka juga merancangkan perkara yang sama sehingga Timur Tengah menjadi
medan perebutan melalui peperangan proksi.
Dasar Perlindungan Israel
Satu dasar yang kekal berfungsi tanpa perubahan selama ini ialah
dasar perlindungan ke atas kewujudan dan keberlangsungan negara Israel. Dasar
Amerika di Timur Tengah senantiasa memastikan Israel sebagai pengimbang kepada
negara-negara Arab di sekelilingnya. Amerika memastikan keperluan ketenteraan
Israel dengan senjata tercanggih dibekalkan atas alasan ancaman keselamatan.
Sebelumnya Soviet Union membekalkan senjata kepada negara Arab seperti Syria
dan Mesir dalam peperangan Arab-Israel 1967. Israel menjadi medan perlumbaan
senjata antara Rusia dan Amerika di Timur Tengah dan keadaan itu berkekalan
sehingga hari ini dengan Israel menjadi epik krisis.
Dasar perlindungan ke atas Israel kekal malah ianya
diperkukuhkan dengan perkembangan baru di rantau Timur Tengah iaitu kemunculan
Republik Islam Iran 1979 dengan kejatuhan Shah Iran yang merupakan sekutu
paling rapat Amerika, Begitu juga kemenangan Mujahidin ke atas Russia pada awal
80-an dan kebangkitan ancaman ‘pengganas Islam’ selepas penguasaan Taliban dan
kemaraan Hamas di Palestine sebagai alternatif kepada Fatah yang dinaungi PLO
dan kebangkitan Hizbollah di Lebanon. Kesemua perkembangan baru ini yang di
luar kawalan Amerika memperkukuhkan lagi keperluan melindungi Israel dan usaha
membuat ‘regime change.’
Global War on Terrorism (GWoT)
Istilah ini diungkapkan oleh George Bush (Jr) pada awal tahun
2000 dalam kempen Amerika terhadap serangan 9/11 di mana pengganas telah
membawa peperangan ke dalam bumi Amerika. Fasa dasar Amerika di Timur Tengah
mengambil bentuk yang lebih tegas dengan menjadikan campur tangan ketenteraan
sebagai satu pilihan yang tidak dapat dielakkan.
Afghanistan dituduh sebagai sarang terorrisme kerana melindungi
Osama Ben Laden yang didakwa bertanggungjawab pada serangan 9/11. Pada tahun
2001, Amerika menyerang Afghanistan atas serangan balasan ke atas pelanggaran
World Trade Center New York dan menjejaki Osama Ben Laden dan Al Qaeda.
Tahun 2003 Iraq diserang atas alasan Saddam Hussein
menyembunyikan senjata pemusnah besar-besaran yang menjejaskan keselamatan
rantau Timur Tengah (walaupun hingga kini tidak ditemui dakwaan wujudnya
senjata tersebut). Ia diikuti dengan penjajahan baru atas nama ‘operation
freedom’ bagi menumbangkan diktator Saddam Hussein dan menggantikan dengan
kerajaan baru yang akan mengamalkan demokrasi (ironinya Iraq menjadi medan
perbalahan puak berdarah hingga sekarang).
Perjuangan membebaskan penjajahan baru dikaburi dengan kegiatan
keganasan dan aktiviti pengganas termasuk Hamas yang hakikatnya adalah pejuang
membebaskan tanahair daripada penjajahan Israel begitu juga Hezbollah yang
memperjuangkan kebebasan sebahagian bumi Lebanon yang dijajah Israel. ISIL,
ISIS, IS atau Daesh muncul dalam scenario memerangi pengganas dan seterusnya
melebarkan daerah peperangan ke wilayah Syam iaitu Lebanon dan Syria selain di
Iraq.
Amerika juga melihat proksinya seperti Hosni Mubarak di Mesir
tidak diperlukan lagi kerana rekod pencabulan hak asasinya yang tidak dapat
dipertahankan lagi dan kerana itu mengharapkan ‘regime change’ melalui demokrasi,
namun apa yang berlaku ialah kemenangan besar kelompok Islam dan kemenangan
Morsi sebagai Presiden baru Mesir yang diundi secara demokrasi. Perkembangan
ini tidak disenangi kerana kepentingan strategik Israel terjejas dan kerana
itu, akhirnya Presiden Morsi digulingkan untuk pemerintahan diktator tentera
yang baru iaitu As Sisi yang dilihat lebih mudah dikawal untuk kepentingan
strategik Amerika dan kewujudan Israel. Kebangkitan rakyat yang mendapat
jolokan Arab Spring dapat memenuhi kehendak kerangka besar kuasa besar dengan
syarat regim baru perlu pro Amerika diungkap dalam kata-kata ‘pilihanraya
bebas’ ‘demokrasi’ dan ‘hak asasi manusia.’
Syria Dan Kepentingan Iran Serta Turki
Syria termasuk dalam kerangka besar ini atas beberapa keperluan
strategik. Pertama - Bashar dilihat pro Russia dan jarak dekat Syria dengan
Israel pasti menjejaskan kepentingan Israel.
Kedua - kebangkitan rakyat jika Bashar digulingkan belum tentu
diganti oleh pemimpin yang pro Amerika dan ketiga pejuang-pejuang Daesh dari Iraq
yang menguasai sebahagian wilayah Iraq mengisytiharkan ‘Islamic State’ di
wilayah Syam iaitu Lebanon dan Syria.
Amerika perlu mempunyai strategi untuk mengimbangi kepentingan
Russia di sana dengan membantu kelompok pejuang anti-Bashar supaya menjadi kuat.
Ia adalah perang proksi sebenarnya antara kepentingan Amerika dan Rusia di
Syria khususnya dan Timur Tengah amnya.
Iran mempunyai kepentingan di Syria atas dua sebab, pertama,
melalui Hezbollah yang berkiblatkan kepada kepimpinan Iran dan kedua sebagai
benteng pertahanan dari Israel yang merupakan musuh ketatnya. Syria selama ini
adalah syurga bagi perjuangan anti-Israel termasuk Hamas dan pejuang Hezbollah.
Iran merasakan Bashar perlu dikekalkan atas kepentingan ini dan sebab itu
bantuan ketenteraan ke atas regim Bashar diteruskan bagi mengekalkan Bashar di
pesada kuasa. Bashar menjadi Presiden yang lemah dengan menyerah kepada kuasa
Rusia untuk terus bertahan dan seterusnya menafikan suara rakyat menamatkan
kediktatorannya selama ini.
Turki pula berkepentingan dalam krisis Syria kerana beberapa
sebab, Turki khuatir pejuang-pejuang Daesh dan lain-lain di Syria akan
melarikan diri ke Turki melalui sempadan Syria-Turki. Kedua, pejuang Daesh dan
lain-lain yang melarikan diri berpotensi bergabung dengan Parti Pekerja Kurdis
yang menjalankan operasi sabotaj di Turki dan ketiga Turki menerima bilangan
pelarian Syria yang paling ramai. Sikap Turki akhir-akhir ini yang dilihat
lebih mesra Rusia berbanding Amerika dan sekutunya disebabkan kekecewaan Turki
kepada sikap Amerika dan sekutu Eropah yang dilihat menyokong kudeta yang gagal
tempoh hari. Turki juga mungkin boleh menjadi pendesak kepada keperluan
strategik Amerika dan Rusia di Syria.
Saudi Dan Negara Telok
Saudi dan negara-negara Telok yang lain merupakan sekutu Amerika
sejak 80-an dan ketika Perang Iran-Iraq berlaku, Saudi konsisten melahirkan
kebimbangannya terhadap pengaruh Syiah dari Revolusi Islam itu. Saddam dalam
peperangan tersebut mendapat sokongan padu daripada Saudi dan negara-negara
Telok. Permusuhan Saudi dan Negara Telok dengan Iran berterusan sehinga hari
ini atas beberapa sebab. Pertama negara seperti Bahrain, Oman, Emirates dan
Qatar memiliki bilangan penganut Syiah ramai yang dikenali sebagai Ibadhiy,
malah Bahrain mempunyai penduduk majoritinya adalah Syiah. Begitu juga Yemen
daripada kelompok Zaidiyah.
Kedua, Saudi khususnya menganggap dirinya sebagai pembela Ahli
Sunnah dan bertanggungjawab berhadapan dengan negara Iran yang menganut mazhab
Syiah.
Pertembungan ‘big brother’ dari kedua sekta terbesar Islam ini
menyumbang kepada hubungan tegang Iran dan Saudi. Iran pula menganggap hubungan
akrab Saudi dan Amerika serta bekalan senjata yang senantiasa meningkat ke Arab
Saudi dan negara Telok adalah ancaman kepada kewujudannya dan sebab itu hubungan
kedua negara adalah senantiasa atas prejudis keselamatan bukan sahaja prejudis
sekta atau mazhab.
Semasa negara Arab di benua Afrika Utara bangkit menjatuhkan
pemimpin diktator mereka, Saudi dan negara Telok terasa bahang kebangkitan
rakyat dan bimbang kepada kedudukan sistem Raja Mutlak yang mereka pertahankan.
Saudi, Qatar dan lain-lain memberi amaran kepada rakyatnya malah mengenakan
tindakan keras kepada pemimpin-pemimpin Ikhwan Muslimin yang selama ini
mendapat perlindungan mereka kerana takut unsur hasutan menentang kerajaan di
negara mereka.
Sebagai rekod walaupun Amerika mempunyai piawaian hak asasi
manusia dan demokrasi yang tinggi sebagai syarat hubungan, namun Saudi dan
negara-negara Telok mencatat rekod terburuk piawaian hak asasi dan demokrasi
disebalik hubungan akrab dengan Amerika.
Seperti Mesir, Amerika melihat hubungan dengan Saudi dan negara
Telok dalam jangka masa panjang tidak produktif dari sudut piawaian demokrasi
dan hak asasi manusia. Amerika sedang meneroka potensi minyak di Asia Tengah
dari negara C5 dan telahpun mendapat sebahagian segmen besar untuk carigali
minyak dan gas, maka Saudi dan negara Telok mungkin akan ditentukan nasibnya
oleh masalah dalaman yang sedang membengkak dan tidak lagi menjadi ‘favorite
boy’ Amerika. Malah ada penganalisis yang mengandaikan Amerika akan berbaik
dengan Iran dan sebagai tanda awal, boikot ke atas Iran telahpun ditarik balik.
Iran mempunyai simpanan minyak yang banyak dan kini boleh menjualnya di pasaran
bebas.
Keganasan Sekta (Mazhab)
Ramai yang mengandai pertembungan Sunni-Syiah melatari segala
konflik di Timur Tengah dan secara khususnya di Syria. Hakikatnya keganasan
sekta atau ‘sectarian violence’ hanyalah alat propaganda yang digunakan
dalam menentukan strategi geo-politik kuasa besar. Apa yang dilihat sebagai
keganasan mazhab itu adalah kesan perang yang melibatkan kematian orang awam
dan kanak-kanak dalam konflik peperangan bukan satu yang sengaja dibuat
didorong atas kebencian mazhab antara Sunni dan Syiah. Tidak dinafikan sentimen
ini digunakan tetapi untuk mengatakan ianya peperangan Sunni dan Syiah
semata-mata adalah satu rumusan yang terlalu simplistik.
Syria majoritinya adalah Sunni walaupun Bashar dikaitkan dengan
Alawiyin, cabang dari Syiah tetapi hakikatnya Alawiyin dianggap Syiah yang
sesat. Pembunuhan ke atas penduduk awam sendiri adalah atas asas mahu
menakutkan kebangkitan rakyat supaya dia terus kekal berkuasa dan bukan kerana
dorongan mahu membunuh orang Sunni. Saddam Hussein satu ketika dahulu di Iraq
melakukan perkara yang sama ke atas rakyatnya bukan kerana mereka Syiah yang
merupakan majoriti di Iraq tetapi kerana tindakan terdesak mempertahankan kuasa
dan memberi amaran kepada penentangnya.
Ini bukan bermakna kita boleh mengizinkan pembunuhan, membunuh
rakyat untuk menutupkan suara mereka adalah tindakan jenayah yang wajib dikutuk
sekerasnya rentas Sunni dan Syiah. Bahayanya analisis silap kepada kes Syria
yang hanya berasaskan peperangan mazhab akan memburukkan hubungan mazhab di
luar zon konflik dan akan mendorong kebencian sesama umat Islam yang berbeza
mazhab antara Sunni dan Syiah.
Kedua-dua mazhab di luar konflik Syria harus mengutuk pembunuhan
di mana sahaja tanpa mengira latarbelakang mazhab malah agama sekalipun.
Propaganda media pula berkehendakkan persepsi awam terbentuk atas asas ini dan
kita lupa kepada kerangka besar yang hakikatnya adalah penyebab utama segala
kehancuran dan sebab utama tercetusnya peperangan ini.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.