Total Pageviews

Tuesday, 1 May 2018

Amalan Pesakit Barah


Amalan Pesakit Barah




Mendengar sahaja mengenai penyakit kanser, ramai orang membayangkan keperitan yang dilalui oleh penghidapnya, bak kata pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Penyakit kanser tidak mengenal jantina atau usia. Malah lebih mengejutkan golongan muda turut tidak terkecuali menghidapnya.
Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kira-kira 19,000 daripada 100,000 rakyat Malaysia menghidap pelbagai jenis kanser. Daripada jumlah itu, 4,753 adalah wanita Melayu diikuti wanita Cina seramai 4,422 orang, manakala kaum lelaki Cina lebih ramai menghidap kanser iaitu 4,078 orang berbanding lelaki Melayu seramai 4,058 orang.
Disebabkan itu, penyakit kanser menjadi penyakit yang paling ditakuti oleh semua golongan masyarakat. Namun, setiap penyakit pasti ada ubatnya. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali Dia juga menurunkan penawarnya”. (Hadis Riwayat Bukhari)
Punca berlakunya kanser adalah apabila sel-sel di bahagian badan mula tumbuh di luar kawalan. Pertumbuhan sel kanser adalah berbeza daripada pertumbuhan sel yang normal. Ia tidak mati, sebaliknya terus berkembang dan membentuk sel yang baharu, yang tidak normal. Sel-sel kanser juga boleh menyerang (tumbuh di dalam) tisu-tisu yang lain, sesuatu yang sel normal tidak boleh lakukan. Pertumbuhan di luar kawalan dan menyerang tisu-tisu lain akan membuatkan sel yang normal menjadi sel kanser.
Ini berlaku kerana sistem pengawasan imun badan tidak aktif. Sistem pengawasan imun yang aktif akan memilih, mengenalpasti dan memusnahkan agen karsinogenik (agen yang menyebabkan kanser) yang setiap hari memasuki badan manusia. Mereka yang mempunyai sistem imun yang sihat dan kuat akan terhindar daripada kanser. Mereka yang mempunyai tindakbalas sistem imunnya tidak berfungsi dengan baik berhadapan dengan risiko kanser yang lebih tinggi.
Ini membuatkan semakin hari semakin lemah sistem imun badan. Sebagai seorang manusia kehidupan ini tidak akan dapat lari daripada keadaan yang melemahkan sistem imun seperti pencemaran udara, racun perosak, bahan tambahan dalam makanan, kekurangan nutrien, tekanan dan lain-lain. Justeru seseorang perlu meningkatkan pertahanan imun semula jadi untuk melindungi diri daripada kanser.
Namun begitu, tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai kanser masih rendah walaupun hampir 60 peratus kes kanser di negara ini dikesan pada tahap tiga dan empat malah kira-kira 8.2 juta orang meninggal dunia akibat kanser pada 2012, yang mana empat juta daripadanya meninggal muda (antara umur 30 tahun hingga 69 tahun).
Bekas pesakit kanser tahap empat, Mohd Redza Abd Rahman, 34 berkongsi pengalaman melawan keperitan penyakit kanser limfoma pada usia 28 tahun berkata ia adalah pengalaman yang amat bermakna dalam hidupnya . Malah menurutnya, beliau pernah mengidap kanser lain ketika berusia 13 tahun. Pengalaman menghidapi kanser pada usia yang muda itu telah mendorongnya untuk menyambung pengajian dalam bidang Medical Biotechnology yang memfokuskan mengenai perawatan kanser.
Hikmah daripada penyakit yang dihidapnya itu, Mohd Redza bertekad mempelajari secara mendalam berkaitan rawatan alternatif bagi menyembuh penyakit yang merupakan pembunuh keempat itu untuk kegunaan dirinya dan pada masa yang sama mahu berkongsi ilmu yang dipelajarinya untuk kegunaan masyarakat. Walaupun pernah menghidap penyakit kanser sebanyak dua kali namun anak kelahiran Johor Bharu ini tidak patah semangat untuk mempelajari perkara baharu dalam hidupnya bagi berbakti kepada masyarakat.
“Saya belajar dalam bidang tersebut, jadi saya mempunyai pengetahuan dan panduan ibarat saya mempunyai touchlight untuk mencari jalan keluar. Saya juga ikhtiar dengan apa yang saya belajar,” jelasnya.

Berkongsi pengalaman dan kekuatan ketika melalui ujian tersebut, Mohd Redza bertuah kerana mempunyai keluarga yang sentiasa memberi dorangan tanpa henti ketika beliau tidak berdaya untuk melawan penyakit kanser. Malah beliau tidak pernah memandang ke belakang tetapi melihat terus kehadapan kerana beliau yakin mencari penyelesian adalah lebih bererti berbanding melihat punca penyakit itu semata-mata.
Asas kepada rawatan yang dilakukan adalah menyusun semula diet dan mengamalkan pemakanan seimbang selain mendapatkan rawatan secara berkala di hospital. Mohd Redza percaya diet yang betul dapat membantu menjaga tahap kesihatan yang baik. Disebabkan itu, amalan pemakanan yang seimbang adalah sangat diperlukan sewaktu sakit, bahkan ketika sihat juga kerana pemakanan yang seimbang dan nutrient yang mencukupi adalah penting untuk kesihatan individu.
Menurutnya, pesakit kanser memerlukan pemakanan yang tinggi protein bagi memastikan tahap kesihatan mereka berada pada tahap yang optimum bagi menghadapi proses rawatan kanser yang dilalui. Ia adalah kerana pesakit kanser mudah menjadi lemah dan tidak bertenaga akibat menjalani rawatan kerana kesan sampingan daripada rawatan dan pesakit juga mudah terdedah kepada risiko jangkitan kuman.
Malah, beliau berkata jangan sesekali mengambil makanan segera, makanan yang diproses dan makanan yang mengandungi gula yang tinggi kerana ianya tidak berkhasiat. Sehubungan itu, beliau menyarankan untuk mengamalkan pemakanan sihat seperti buah-buahan segar, sayur-sayuran, protein dan makanan yang kaya dengan khasiat.
Tambahnya lagi, bersenam dan aktiviti fizikal juga memainkan peranan penting dalam memperbaiki status kesihatan pesakit kanser serta membantu mengawal dan melawan penyakit. Disebabkan itu, disarankan melakukan 30 minit senaman setiap hari. Walaupun ramai yang tahu perkara ini, tetapi tidak ramai yang benar-benar sedar dan menjadikannya sebagai rutin harian. Malah, pakar perubatan menyarankan untuk melakukan senaman harian kerana dapat menguatkan stamina, meningkatkan metabolisma badan dan mengekalkan kesihatan.
Menurut Mohd Redza, mengawal emosi atau tekanan adalah perkara penting bagi seseorang penghidap kanser. Sentiasa tenang ketika berada dalam situasi panik, merujuk kepada orang yang bertauliah untuk mengetahui apa yang patut dilakukan adalah penting bagi seseorang yang mahu merawat kanser. Ini adalah cara untuk mengelak sebarang tekanan dan perasaan sedih kerana jika tertekan dan berfikiran negatif akan memburukan lagi kesihatan seseorang pesakit.
Kanser boleh diibaratkan seperti musuh dalam selimut atau pembunuh senyap. setiap musuh harus ketahui cara untuk menghadapinya. Namun, jika tidak mengambil sebarang tindakan maka kanser akan menguasainya. Oleh itu, berfikiran positif, sentiasa yakin dengan apa yang dilakukan seiring dengan doa dan istiqamah mampu untuk mengharungi dan redha akan ujian yang diberikan. ALLAH SWT berfirman dalam surah Al-Ankabut Ayat 2-3 yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta”.



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.