MERUJUK
kepada Firman Allah Ta’ala dalam Al-Quran ada menyatakan bahawa madu lebah itu
memiliki pelbagai warna, namun semuanya mempunyai manfaat kesihatan kepada
manusia. Dari situ, ia jelas memperlihatkan bahawa Allah telahpun memberikan
penawar kepada kita sejak sebelum lahir lagi, cuma tinggal kita sahaja lagi
untuk menerokainya. Perkara tersebut lebih jelas lagi apabila merujuk tafsir
Surah An-Nahl, ayat 69:
“Kemudian
makanlah dari segala (macam) buah-buahan lalu tempuhlah jalan Tuhanmu yang
telah dimudahkan (bagimu).” Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang
bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat obat yang menyembuhkan bagi
manusia. Sungguh, pada demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran
Allah) bagi orang yang berfikir”
Menyedari
akan kepentingan madu lebah tersebut sekaligus telah berjaya membuka hati Awang
Abdul Malik bin Haji Siajuan @Hujan, 46, salah seorang pengusaha ternakan lebah
kelulut di Kampung Tungku, Gadong.
Manfaat di sebalik madu lebah kelulut
Madu
asli umpamanya dari lebah kelulut seperti difirmankan oleh Allah Ta’ala
sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat untuk tubuh badan manusia. Ini juga
diperakui berdasarkan penerokaan dan kajian para pakar yang menemui bahawa madu
asli lebah kelulut mampu untuk menjadi penawar kepada pelbagai penyakit seperti
diabetis, strok, kanser, sakit sendi, penyakit-penyakit kulit seperti jerawat,
kudis, kurap dan sebagainya, menguatkan tulang, penyakit batu karang, asma,
ulser, mengurangkan kolesterol, pengubat gout, demam dan batuk, masalah
jantung, dan banyak lagi manfaatnya kepada manusia. Nabi Muhammad S.A.W. juga
bersabda (diriwayatkan oleh Abu Hurairah):
“Sesiapa
menjilat/minum madu tiga pagi setiap bulan, tidak akan ditimpa bala (penyakit)
berat.”
Taman Lebah Kelulut Qana’ah 5
Sejarah
Taman Lebah Kelulut Qana’ah 5 bermula kira-kira sejak dua tahun lalu yang mula
diusahakan dalam bulan Ogos 2014, apabila Awang Abdul Malik mula menternak
empat jenis lebah kelulut iaitu Lepidotrigona Terminata, Lepidotrigona
Ventralis, Tetragonula sp. dan Tetragonula Fuscobalteata.
“Arwah
ayah saya dahulu memang merupakan seorang peneroka madu lebah berbisa. Namun,
apabila saya mengetahui mengenai proses untuk mendapatkan madu lebah kelulut
lebih mudah daripada lebah berbisa, sekaligus menambahkan minat saya.
Apatah
lagi, manfaatnya yang banyak dan kurang risiko berbanding lebah yang berbisa.”
Awang
Abdul Malik merupakan seorang pencinta alam semulajadi. Sebelum beliau bersara
sebagai tentera dalam tahun 2015, beliau selalu ditugaskan di hutan, malah
selepas bertugas pun, beliau adalah seorang yang cukup gemar untuk melakukan
aktiviti luar seperti aktiviti meredah hutan, menghayati keindahan wasai,
bertani dan sebagainya yang berkaitan dengan alam semulajadi. Atas semangat
untuk mencintai alam semulajadi tersebut, Awang Abdul Malik juga secara tidak
langsung ingin berjinak-jinak untuk menternak lebah kelulut yang merupakan
sumber dari kehidupan alam semulajadi. Kini, beliau telah pun berjaya menjadi
seorang pengusaha lebah kelulut sepenuh masa di halaman rumahnya, Taman Lebah
Kelulut Qana’ah 5.
“Nama
‘Qana’ah’ dipetik daripada bahasa Arab yang bererti sifat syukur kepada Allah
sama ada rezeki yang banyak atau sedikit. Ini mempunyai hubungkait dengan hasil
madu. Saya sentiasa bersyukur sama ada hasil madu yang dituai itu sedikit atau
banyak.
Sementara
nombor 5 pula adalah dipetik dari nombor rumah saya. Persekitaran halaman rumah
saya sengaja dibentuk seperti taman kerana sejak madu lebah kelulut menjadi
projek 1 kampung 1 produk, tempat saya sering dilawati oleh
pengunjung-pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara. Jadi, tempat ini
menjadi tempat melawat, menyelidik, belajar dan perkongsian pengetahuan tentang
lebah kelulut.”
Menurut
Awang Abdul Malik, beliau meluangkan waktu belajar dalam masa yang agak
singkat, iaitu kira-kira selama dua bulan dalam memahami penternakan lebah
kelulut. Selain merujuk kepada sumber Internet, beliau juga pernah belajar
melalui seorang sahabat, Awang Mitasby bin Haji Mamit, yang juga merupakan
seorang Pengusaha Ladang Ternakan Lebah Kelulut di Tutong.
Menariknya,
di setiap atas batang kayu yang didiami oleh koloni lebah kelulut telah
diletakkan kotak kayu yang dibentuk seperti rumah. Setakat ini, Taman Lebah
Kelulut Qana’ah 5 mempunyai kira-kira lebih 40 buah rumah dan kini, Awang Abdul
Malik telah menternak sebanyak enam jenis lebah iaitu Geniotrigona Thoracica,
Heterotrigona Itama, Lophotrigona Canifrons, Tetrigona Binghami, Tetragonula
Fuscobalteata, dan Lepidotrigona Terminata.
Setiap
rumah memiliki sebuah koloni yang mencapai ribuan ekor lebah kelulut yang terdiri
daripada seekor ratu, ratusan ekor lebah jantan, dan selebihnya adalah lebah
betina yang merupakan pekerja-pekerja bertugas untuk mengisi tempayan madu,
menjaga kebersihan sarang, membina sel anak, membentuk dan menutup tempayan
madu, mengumpul polen, pendebungaan, mengawal pintu masuk dan sebagainya.
Proses penternakan dan pemuliharaan
“Setiap
orang mempunyai kaedah yang berbeza dalam penternakan kelulut. Dalam kaedah
saya praktikkan di taman ini, saya bukan sahaja menternak dan menuai tetapi
pemuliharaan, iaitu melindungi lebah-lebah kelulut ini dan memastikan mereka
tetap membiak dalam keadaan yang aman dan tenang.”
Kaedah
yang digunakan oleh Awang Abdul Malik dikenali sebagai ‘logging’ iaitu dengan
mendapatkan batang kayu yang mengandungi kelulut dan diletakkan di atas rumah
kayu yang dijadikan sebagai stor tempat penyimpanan madu.
Menurut
Awang Abdul Malik, lebah-lebah kelulut biasanya bersarang dalam batang-batang
kayu. Cara mudah untuk mengetahui batang kayu tersebut didiami oleh koloni
lebah kelulut adalah dengan mencari corong atau pintu masuknya.
Selepas
itu, batang kayu tersebut dipotong atau ditebang tanpa merosakkan bitumennya.
“Kami
berusaha untuk mengurangkan risiko kepupusan lebah kelulut kesan-kesan daripada
pembangunan. Justeru itu, sebelum sebuah kawasan dilapangkan, kami akan turun
ke kawasan berkenaan untuk mencari batang-batang kayu yang mengandungi koloni
lebah kelulut.
Batang
kayu tersebut kemudiannya kami bawa pulang dan menternaknya di kawasan halaman
rumah. Jika batang-batang kayu ini dibiarkan musnah begitu sahaja, lebah akan
mati atau hilang tempat kediaman,” jelas Awang Abdul Malik.
Dalam
pemuliharaan lebah kelulut, menurut Awang Abdul Malik, lebah tersebut perlu
dikaji suasana kehidupannya, dijaga dengan penuh kasih sayang, dan berusaha
untuk tidak memberi tekanan kepada mereka, terutama setelah ia berpindah ke
kawasan baru. Atas sebab itulah, berbanding dengan kotak empat segi, Awang
Abdul Malik lebih suka untuk menggunakan kotak rumah untuk stor tempat
lebah-lebah bekerja mengeluarkan madu kerana mereka dilindungi daripada
kepanasan cahaya matahari dan seakan-akan seperti berada di batang kayu yang
sebenarnya.
“Dalam
dunia ini, tidak semua negara terdapat lebah kelulut. Hanya negara beriklim
tropika sahaja dianugerahkan mempunyai lebah ini, dan Brunei adalah negara
bertuah dianugerahkan Allah lebah kelulut.
Justeru
itu, adalah penting untuk menjaga serta menghargai khazanah negara ini dan
selaku penternak, saya bukan sahaja sekadar menuai madunya, tetapi
bertanggungjawab untuk memulihara mereka. Jika mereka gembira dan sihat, maka
setentunya madu yang dihasilkan juga banyak. Inilah antara kaedah yang kami
penduduk-penduduk Kampung Tungku ini usahakan untuk membantu masalah kepupusan
kelulut.
Bentuk
kotak rumah kayu sebagai stor penyimpanan madu pula adalah trademark kami di
samping menjaga kesejahteraan kelulut, ia juga turut menyerikan lagi
pemandangan kampung ini,” jelas Awang Abdul Malik.
Pelbagai warna madu
Menurut
Awang Abdul Malik, sehingga hari ini, beliau masih dalam proses untuk
menyelidiki lebah kelulut. Suatu penemuan yang menarik adalah lebah kelulut
mampu untuk menghasilkan madu dengan warna serta rasa yang berbeza.
Ada
kalanya masam, ada kalanya manis dan ada juga menggabungkan rasa masam dan
manis. Begitu juga dari segi warna, madu yang dihasilkan boleh sahaja berwarna
putih cerah, kuning, jingga, hinggalah gelap kehitam-hitaman. Namun, semuanya
mempunyai manfaat yang sama, asli daripada lebah kelulut.
“Kenapa
lebah kelulut menghasilkan madu yang berbeza warna serta rasanya? Ini kembali
kepada apa yang dimakannya atau dihisapnya melalui tumbuhan sekeliling.
Begitu
juga mengikut musim buah dan bunga. Justeru itu, sebelum pelanggan kami membeli
madu, kami galakkan mereka untuk merasa sendiri madu-madu yang telah dihasilkan,
kemudian berserah kepada mereka untuk memilih warna madu yang dikehendaki.
Madu-madu
yang kami hasilkan adalah seratus peratus asli tanpa menggunakan sebarang
bahan-bahan campuran. Rasanya juga asli daripada lebah itu sendiri. Ringkasnya,
warna madu yang dikeluarkan oleh kelulut bergantung kepada sumber makanannya,”
jelas Awang Abdul Malik.
Menjana Pendapatan
Oleh
kerana madu terkenal dengan manfaat kesihatannya, maka permintaannya sangat
tinggi dan justeru itu, ia boleh menjadi sumber penjanaan pendapatan. Menurut
Awang Abdul Malik, di antara enam jenis kelulut dalam yang ada dalam
penternakkannya, hanya dua jenis kelulut sahaja yang boleh dikomersialkan iaitu
Geniotrigona thoracica dan Heterotrigona Itama kerana kemampuannya untuk
menghasilkan lebih banyak madu daripada spesies yang lainnya.
Daripada
lebah kelulut, bukan sahaja madunya boleh menjana pendapatan, tetapi juga polen
yang dihasilkan mereka yang boleh menjadi kapsul dan propolis iaitu getah
binaan yang dibuat oleh pekerja-pekerja lebah yang boleh menjadi sabun dan
sebagainya.
Awang
Abdul Malik sendiri hanya mengusahakan madu kelulut yang dijual dari 50ml
hingga 160ml.
“Banyak
manfaat madu, dan banyak juga keuntungan di sebalik menternak kelulut. Bagi
mereka yang aktif dalam pertanian seperti bunga-bunga dan buah-buahan, kelulut
bertindak sebagai agen pendebungaan dan mampu memberi kesan kepada hasil
pertanian.
Satu
lagi ruang penjanaan ekonomi yang dapat dihasilkan di sebalik aktiviti
penternakan kelulut.”
Walaupun
baru berkecimpung di bidang ini selama dua tahun, Awang Abdul Malik sering
menjadi bahan rujukan kepada para pelajar-pelajar, malah kawasan halaman
rumahnya, Taman Lebah Kelulut Qana’ah telah dikunjungi 328 orang pelawat dari
dalam negara terdiri daripada orang-orang persendirian, pelajar-pelajar,
persatuan, jabatan-jabatan kerajaan dan sebagainya.
Manakala,
seramai 26 orang pelawat dari luar negara telah dicatatkan, iaitu dari
Singapura dan Malaysia. Dalam membentuk taman lebah kelulut, Awang Abdul Malik
menyimpan harapan agar kepentingan lebah kelulut ini semakin disedari dan
semakin ramai mereka yang memulihara kelulut daripada kepupusan kerana ia juga
merupakan khazanah negara yang dianugerahkan Allah sebagai hadiah kepada
hamba-NYA.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.