Total Pageviews

Tuesday, 1 May 2018

KIsah Cinta Inspirasi Pesakit kanser








KUALA LUMPUR: Ahmad Kamal Effendi Kamarudin, seorang guru, tahu bakal isterinya menghidap kanser buah pinggang tahap 4, tetapi ia tidak sedikit mengubah cintanya terhadap wanita itu.
Malah, penyakit yang dihidapi bakal isterinya ketika itu tidak pun dianggap sesuatu yang bakal menyusahkan rumah tangga mereka dan keluarganya juga memberi sokongan kepada guru berusia 26 tahun itu.


Pada Mei tahun lalu, Ahmad Kamal Effendi mengahwini Nik Idzni Dalila Nik Mahmud, 25.

Bagi Ahmad Kamal Effendi cinta tidak pernah membutakan matanya.
Ini kerana beliau berkahwin dengan isterinya atas semangat juang tinggi isterinya berlawan dengan penyakit dihadapi sejak empat tahun lalu.
"Saya jatuh cinta dengan Nik Idzni Dalila kerana walaupun sakit, beliau masih meneruskan pembelajaran dalam bidang kedoktoran di luar negara seorang diri.
"Malah, menanggung kesakitan bersendirian walaupun jauh dari keluarga. Sikap positif dan penyayang beliau menambat hati saya.
"Siapa kita untuk menahan takdir Allah. Apa yang boleh dilakukan adalah berusaha merawat penyakit, berdoa dan tawakal. Insya-Allah semoga isteri saya sembuh seperti sedia kala," katanya.
Segerakan perkahwinan
Perkenalan singkat tidak sampai empat bulan, kemudiannya diakhiri dengan majlis perkahwinan ringkas di kampung halaman mereka berdua, di Kelantan dan Terengganu pada tahun lalu.
Guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Temerloh, Pahang, itu berkata isterinya menghidap penyakit kanser itu ketika menuntut tahun kedua di Universiti Queen Mary , London pada 2012.
Saat itu, beliau masih belum mengenali isterinya. Perkenalan mereka bermula hanya di laman sosial menerusi Instagram sebelum bertukar-tukar nombor telefon.
"Beliau tegur saya dulu di Instagram. Ketika itu, ia cuma perkenalan biasa. Selepas itu, barulah kami bertemu apabila isteri balik bercuti. Pertemuan itu membibitkan rasa cinta terhadapnya.
"Ketika itu, saya masih belum mengetahui status kesihatannya. Kemudian, beliau berterus terang kepada saya. Bagi saya penyakit itu bukan sifat semula jadinya, malah bukan satu kekurangan kepadanya. Sebaliknya ia kelebihan pada isteri kerana terserlah sifatnya yang kuat menghadapi dugaan," katanya.


Kisah cinta jadi inspirasi
Lebih melegakan, apabila saat beliau mengambil keputusan untuk berkahwin dengan insan tercinta itu, tidak ada seorang pun ahli keluarganya menghalang.
"Ibu tidak menghalang cinta saya. Ibu menggalakkan saya berkahwin. Malah, hasrat hati yang saya umumkan di meja makan kepada semua keluarga disambut dengan baik. Mereka tidak membantah langsung ," katanya.
Beliau berkata, respon positif diberikan keluarga, membuatkan isterinya lebih gembira apabila diterima keluarga seadanya.
Katanya, pertemuan dengan keluarga itu bukan saja memberi kekuatan kepada isterinya, malah mengajar beliau menjadi lebih matang.
Antaranya kebergantungan sepenuhnya kepada Allah, sabar dan erti reda lebih tinggi berbanding sebelum mengenali isteri.
"Saya mahu orang tahu, pesakit kanser juga layak dicintai dan berkahwin. Sampai ke hari ini ramai pesakit kanser, individu yang tidak ada semangat meneruskan hidup dan murung menghubungi kami meminta pandangan dan nasihat," katanya.
Kata Ahmad Kamal Effendi, mengenali isteri memberikan kekuatan luar biasa kepadanya.
Apabila berkahwin dengan isteri yang mempunyai penyakit sebegitu, ia tidak bermakna beliau perlu memendam rasa atau menyembunyikan perasaan sebenarnya.
Ini kerana beliau lebih gemar berterus terang. Begitu juga isterinya yang sentiasa positif.
"Walaupun kami tidak tinggal sebumbung kerana saya bertugas di Temerloh dan isteri di Kajang, komunikasi merapatkan hubungan.
"Kami sentiasa bercakap pasal mati dan ia bukan masalah kepada kami. Malah, sebelum berkahwin, isteri sudah menyenaraikan apa yang bakal terjadi jika kami berkahwin.
"Antaranya. mungkin kami tidak akan punyai anak. Saya terima seadanya demi cinta ini," katanya.
Apatah lagi, selepas tekad berkahwin dengan isterinya tidak ada satu benda pun yang membuatkan beliau menyesal mengahwini isterinya.
"Saya tidak ralat satu benda pun berkahwin dengannya malah saya bangga jadi suami kepada wanita tabah ini.
"Malah, kembalinya isteri dari London untuk bersama saya membuatkan saya lebih menghargai masa yang kami ada.
"Kami lakukan pelbagai perkara yang akan meninggalkan memori indah kelak . Kami melancong dan melakukan perkara yang cukup menggembirakan bersama ," katanya.
Bagi Nik Idzni Dalila, beliau memang cukup kuat bertarung dengan penyakitnya yang mula menyerang kembali pada saat ini.
"Saya bertambah kuat kerana adanya suami. Dulu, jika sakit saya diamkan saja sebab tak mahu menyusahkan hati keluarga.
"Tetapi kini, apabila sakit datang hanya dengan panggilan telefon, saya rasa lega kembali sebaik mendengar suara suami," katanya.
Akui beliau, pada awal perkenalan, beliau pernah berada dalam dilema memikirkan perhubungan yang dibina itu bakal bertukar menjadi hubungan kekal yang mana Ahmad Kamal Effendi bakal menggalas tanggungjawab sebagai suaminya.
"Memang pada awalnya saya memikirkan untuk berkahwin atau bujang selamanya. Tetapi atas penerimaan baik suami, keluarganya dan doa tidak henti-henti kepada Allah untuk memberi jalan, membuatkan saya memutuskan menerimanya sebagai suami," katanya.
Nik Idzni Dalila berkata, sebaik kembali dari London, pada pertengahan bulan lalu, beliau mahu menghabiskan masa dengan suami dan memanfaatkan diri dengan pelbagai aktiviti berfaedah.
"Saya memang menjadi sukarelawan sejak di London lagi dan akan meneruskan di sini. Malah mungkin saya akan mengambil kursus solekan kerana memang suka menyolek orang," katanya.
Katanya, penghidap kanser juga boleh bahagia seperti orang lain. Kekal positif, ceria dan banyak berdoa kepadanya. Semuanya adalah ketentuan Allah.









No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.