Rakus gondol
hutan
Bentong: Upah tiga penebang balak profesional warga Indonesia untuk
menggondolkan hutan kawasan Hutan Simpan Kelau, di sini.
Itu antara kegiatan sindiket curi balak yang dikesan menjalankan kegiatan
menebang 800 pokok pelbagai jenis bernilai RM360,000 sejak seminggu lalu.
Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar hasil pemeriksaan Unit Penguatkuasaan
Pejabat Hutan Daerah Bentong di kawasan hutan itu, Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri
Mohd Yasin berkata, pemeriksaan menemui tiga longgok balak jenis meranti,
keruing, kempas dan cengal seberat 200 hingga 300 tan.
Beliau berkata, turut dirampas tiga jengkaut, sebuah jentolak, lori
mengangkut balak dan jentera mengangkat balak yang digunakan untuk melakukan
kegiatan haram itu dipercayai sejak seminggu lalu.
Katanya, serbuan susulan daripada Ops Ganyang yang diketuai Pegawai Pejabat
Hutan Daerah Bentong, Shairani Mamat dan Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan
(Zon Pahang Timur), Zahariah Zainal Abidin.
Menurutnya, tiga penebang balak warga Indonesia berumur 40 hingga 50 tahun
ditahan.
“Sindiket pembalakan haram ini cuba menjadikan projek pembinaan jalan raya
Central Spine Road antara Bentong ke Merapoh, Lipis yang dalam pembinaan
sebagai pelindung kepada kegiatan haram mereka yang dipercayai aktif sejak
seminggu lalu.
“Kawasan Hutan Simpan Kelau terletak berhampiran projek jalan raya terbabit
memudahkan sindiket membawa masuk jentera untuk digunakan bagi kegiatan haram
mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Mohd Hizamri berkata, kerjasama kakitangan syarikat pemaju projek jalan
raya itu yang bertugas di kawasan Mempaga, di sini membantu pihaknya membongkar
kegiatan pembalakan haram berkenaan.
Beliau berkata, anggota Unit Penguatkuasaan Zon Pahang Timur dan Barat kini
sedang melakukan siasatan dan tinjauan di kawasan Hutan Simpan Kelau bagi
mengumpul maklumat dan melihat kesan kegiatan penebangan.
“Kami sentiasa memandang serius kegiatan penebangan balak secara haram di
negeri ini bagi memastikan kesan kerosakan alam sekitar tidak terus berlaku
selain menyebabkan kerugian hasil cukai kepada kerajaan.
“Individu yang terbukti melakukan kesalahan menebang dan memindahkan balak
tanpa lesen akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984,” katanya.
Mohd Hizamri juga memberitahu, individu yang terbukti bersalah perlu segera
diheret ke muka pengadilan bagi memberi pengajaran kepada mereka dan pihak lain
yang terbabit kegiatan serupa.
Sementara itu beliau berkata, Unit
Penguatkuasaan JPNP sedang mengumpul maklumat dan bukti bagi menahan pihak yang
bertanggungjawab melakukan pembalakan haram pada Ops Ganyang di kawasan Hutan
Simpan Chini dan Chini Tambahan, Bera, Sabtu lalu yang membabitkan kerugian RM3
juta.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis,
15 Mac 2018
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.