Total Pageviews

Friday, 7 September 2018

Sistem kumbahan najis ganggu penduduk



Sistem kumbahan najis ganggu penduduk


www.sinarharian 5 Sep 2008


KAMPUNG SAWAH SUNGGALA - Hujan lebat yang melanda Port Dickson semalam mengundang pelbagai masalah dan rintihan penduduk terutama apabila ia melibatkan sistem saliran yang tidak berfungsi dengan baik sehingga mengganggu kehidupan seharian mereka.

Seorang penduduk, Abdul Syukur Syariff memberitahu, kebanyakan penduduk berhampiran kawasan rumahnya terpaksa berdepan dengan masalah limpahan najis dan bau busuk yang datang dari tangki kumbahan Indah Water.

Menurutnya, masalah air kumbahan najis dari tangki itu berlaku setiap kali hujan lebat kerana saliran tangki yang menghala ke sungai tidak mampu berfungsi dengan baik sehingga kumbahan tersebut melimpah ke kawasan kediaman.

“Indah Water mempunyai saluran tersendiri untuk membawa kumbahan ke sungai, namun apabila hujan lebat, air sungai itu akan menyamai paras tebing dan ini akan menyebabkan air dari saluran Indah Water tidak dapat masuk ke dalam sungai tersebut.

“Air yang terperangkap pula akan terus masuk ke dalam parit kecil sekitar kawasan rumah kami dan sepatutnya air itu tidak boleh masuk ke dalam parit penduduk kerana ia sekadar untuk menampung sisa-sisa dari rumah sahaja,” katanya.

Sementara itu, ketika tinjauan Sinar Harian mendapati air kumbahan itu melimpah di kebanyakan kediaman pemilik dan kawasan tersebut menjadi hitam kerana najis-najis berkumpul di situ.

Syukur turut mendakwa, keadaan bertambah teruk apabila hujan berhenti dan kawasan tersebut menjadi kering.

“Air kumbahan yang kering akan meninggalkan kesan najis yang banyak sehingga mengganggu aktiviti seharian malah bau najis amat meloyakan dan bertambah teruk jika air itu kering di dalam rumah,” katanya yang sudah tertekan dengan permasalahan ini. Tambahnya, setiap kali hujan lebat melanda dan air kumbahan itu merebak, penduduk kawasan sekitar akan melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab, namun sehingga hari ini masih tiada tindakan yang diambil mereka.

“Sudah lebih sepuluh kali kami mengadu kepada pemilik tangki tersebut, namun mereka sekadar membuat tinjauan tanpa apa-apa tindakan. 

“Mungkin mereka fikir masalah ini biasa dan tidak seteruk disangka, tetapi jika terpaksa berhadapan dengan najis sebegini, siapa yang boleh tahan,” katanya.

Dalam pada itu, Syukur turut mendakwa, tangki itu sepatutnya dialihkan ke sebuah tangki baru berhampiran kawasan kampung itu, namun ia sudah terbengkalai semenjak dilaksanakan pada tahun 2006.




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.