Kilang punca pencemaran digantung lesen
JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor hari ini,
mengeluarkan notis penggantungan lesen selama tiga bulan berkuatkuasa serta
merta terhadap pemilik kilang memproses kelapa sawit yang menjadi punca
pencemaran ammonia di Empangan Sembrong Barat, Kluang, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar,
Pendidikan dan Penerangan Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, notis itu
dikeluarkan selepas syarikat itu gagal menyelenggara sisa kumbahan kilang itu
dengan baik.
Katanya, notis penggantungan lesen mengikut Peraturan
4, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977.
"Selain tindakan notis penggantungan oleh JAS,
Badan Kawal Selia Air Johor ( BAKAJ) diminta untuk mengenakan kompaun maksimum
RM250,000 terhadap syarikat itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan
mengejut bersama pelbagai agensi di kilang itu serta lokasi kolam takungan sisa
buangan yang menjadi punca pencemaran itu di Batu 3, Jalan Batu Pahat, hari
ini.
Tinjauan selama sejam bermula 2.30 petang itu turut
disertai JAS, BAKAJ, SAJ Ranhill (SAJ), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) dan Pejabat Tanah.
Pencemaran itu menyebabkan 45,000 akaun pengguna
syarikat SAJ Ranhill Sdn Bhd di daerah Kluang terjejas bekalan air akibat
kandungan ammonia tinggi di Empangan Sembrong Barat, Kluang.
Malah bau busuk menyelebungi persekitaran loji
berkenaan, selain keadaannya kotor berikutan ia menjadi lokasi pertama sebelum
disaring dalam beberapa kolam takungan lain.
Beliau berkata, permohonan lesen abraksi air bawah
tanah dibeku serta ditangguhkan terhadap syarikat berkenaan.
"Itu antara tindakan dibuat pada mereka dan
diharap dapat memberi pengajaran pada kilang ini serta kilang-kilang lain.
"Ini penting kerana seringkali BAKAJ dan JAS
dituding, sedangkan setiap pegawai daerah sepatutnya menubuhkan jawatankuasa
khas berkaitan kegiatan-kegiatan terdapat di sungai yang membekalkan air.
"Kita juga meminta supaya pihak terbabit
mengenal pasti apakah kegiatan sepanjang sungai dan ia cukup penting untuk
pemantauan," katanya.
Katanya, kerajaan negeri tidak berkompromi serta
bertindak tegas kerana ia membabitkan hal kemanusiaan.
Mengulas lanjut katanya, tinjauan itu dilaksanakan
untuk melihat punca berlakukan masalah pencemaran ammonia hingga memaksa
pemberhentian bekalan air sejak semalam.
"BAKAJ dan SAJ lihat berlaku pencemaran air yang
membabitkan pada paras 20 bahagian per juta (ppm).
"Maka didapati berlaku begitu (pencemaran) dan
operasi pemprosesan air dihentikan membabitlan bekalan masyarakat sekitar tidak
dapat dibekalkan," katanya.
BAKAJ dan SAJ kemudian melakukan kajian serta membuat
kutipan saringan air sebelum menadapati ia berkurangan pada paras 8 ppm.
"Tetapi pengurangan itu disebabkan pelepasan air
yang dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk meneutralisasikan
kandungan air bagi mencairkan ammonia," katanya.
Sementara itu Pengurus Besar Operasi Pengeluaran dan
Agihan SAJ Ranhill, Elias Ismail berkata, kira-kira 200,000 pengguna akan
memperoleh bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula 5.30 pagi.
"Kami akan bekalkan air secara berperingkat
bermula dari peringkat rendah dan keutamaan kepada bandar Kluang.
"Sekarang ini tangki-tangki kosong sedang
melalui proses pengisian dan akan mengambil masa, selain dijangka selesai
esok," katanya penutupan air itu bermula 11.30 pagi semalam dan beroperasi
semula 18 jam kemudian.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.