Total Pageviews

Friday 7 September 2018

Sisa toksik JAS dipersoal


Sisa toksik JAS dipersoal


Kilang di Melaka dikenal pasti punca bahan ammonia `bocor' di Johor





KUALA LUMPUR 11 Jan. - Jabatan Alam Sekitar (JAS) bakal menghadapi satu lagi `pukulan' apabila sisa toksik haram yang menghasilkan gas berbahaya ammonia sehingga memaksa 300 penduduk kampung di Labis, Johor berpindah kelmarin, berasal dari sebuah kilang di Melaka.
Persoalannya di sini ialah mengapa sisa toksik berbahaya itu terlalu mudah dibuang sesuka hati, sedangkan ia di bawah pengawasan JAS.
Utusan Malaysia diberitahu, JAS mempunyai satu sistem dikenali sebagai Sistem Penjejakan Sisa Berjadual (E-Swiss) yang akan memastikan sisa-sisa itu tiba ke destinasi `terakhir' di loji pelupusannya di Kualiti Alam Sdn. Bhd. di Bukit Nenas, Negeri Sembilan.
Sebaliknya sistem pengawasan itu gagal berfungsi baik sehingga menyebabkan sisa-sisa itu dibuang sesuka hati oleh pihak kilang atau kontraktornya.
(Sistem itu sepatutnya dikemas kini JAS melalui satu salinan borang konsimen yang diterimanya daripada pihak pekilang sebelum sisa toksik dihantar ke Kualiti Alam).
Sebelum ini JAS dikritik hebat kerana gagal mengawal sisa-sisa toksik berbahaya yang didapati dibuang di merata-rata tempat di negara ini.
Antara kes terbesar yang mendedahkan `kelemahan' JAS ialah penemuan 12,000 tan bahan sisa buangan industri di Simpang Renggam serta penemuan 386 kontena yang menyimpan bahan itu, yang dipercayai dibawa masuk dari Taiwan, di Pelabuhan Pasir Gudang pada 2004.
Ia berikutan laporan agensi media asing bahawa sebuah syarikat Taiwan menghantar beribu-ribu tan bahan buangan toksik ke Malaysia sejak beberapa tahun lepas tanpa pengetahuan Kuala Lumpur. Kes kebakaran pejabat JAS Johor yang memusnahkan dokumen-dokumen penting turut menjejaskan reputasi jabatan itu. Sehingga sekarang kes-kes itu masih belum selesai.
Dalam kejadian Sabtu lalu, 300 penduduk Kampung Sungai Gatom, Labis, Segamat bertindak melarikan diri dari rumah masing-masing selepas menghidu gas tersebut kira-kira 200 meter dari kediaman mereka.
Sisa kimia dikenali ``Aluminium Dross'' yang menghasilkan gas ammonia akibat tindak balas air hujan didapati tertanam di kawasan lapang berukuran 6.0 meter x 24 meter di kampung itu, sehingga menyebabkan beberapa penduduk sesak nafas selepas terhidu gas itu.
Sementara itu, JAS Melaka sedang menjalankan siasatan ke atas dua buah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai dekat sini, kerana disyaki sisa toksik dari kilang tersebut menyebabkan pencemaran gas ammonia di tepi Kampung Sungai Gatom itu.
Pemangku Pengarah JAS Melaka, Abdul Hafiz Abdul Samad berkata, seramai 15 pegawainya terbabit dalam siasatan ke atas dua kilang memproses sangga aluminium sejak menerima laporan daripada JAS Johor, Jumaat lepas.
Contoh bahan yang diambil dari dua kilang tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Melaka di Bukit Katil di sini, untuk ujian kesahihan bahan kimia di tempat kejadian dengan bahan di kilang itu, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Hafiz berkata, esok para pegawainya itu akan mengambil keterangan daripada pihak berkaitan di kedua-dua kilang tersebut dan hasil siasatan akan dihantar ke JAS Johor untuk tindakan lanjut.
``Setakat ini pihak pengurusan kilang terbabit memberikan kerjasama baik,'' katanya yang enggan menyebut nama kedua-dua kilang itu.
Dalam pada itu, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, siasatan kerajaan negeri dengan kerjasama JAS Johor mendapati bahan kimia yang dibawa dari kilang di Melaka itu telah tertanam sejak sebulan melalui pengakuan kontraktor yang menjalankan kerja pembuangan bahan terbabit.
Abdul Ghani berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pemilik kilang berkenaan selain kontraktor dan pemilik tanah sekiranya terbukti terbabit dalam kejadian itu.





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.