Bekalan Air Minum Tercemar
KELEMAHAN pelbagai agensi kerajaan dalam memantau,
mengenal pasti dan mengambil tindakan tegas terhadap dalang menyebabkan Sungai
Johor sentiasa tercemar dengan kandungan ammonia tinggi sehingga mengakibatkan
SAJ Ranhill Sdn Bhd (SAJ Ranhill) terpaksa menghentikan operasi Loji Rawatan
Air Semangar, Kota Tinggi, Johor malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan,
Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, kerajaan negeri
terkilan apabila masalah sama berulang kerana sudah lama mengingatkan pihak
berkenaan supaya berperanan mengikut bidang kuasa masing-masing.
"Masalah
ini sudah berlarutan dan hampir setiap tahun pasti ada loji rawatan air
terpaksa dihentikan operasi kerana kandungan ammonia tinggi sedangkan punca
masalah itu sudah dikenal pasti dan jalan penyelesaian sudah digariskan.
"Saya
yakin, sekiranya semua agensi kerajaan yang menjalankan peranan masing-masing,
masalah ini tidak akan berulang hingga mengganggu aktiviti harian ratusan ribu
penduduk.
"Nampaknya,
agensi kerajaan berkaitan masih tidak mengambil iktibar dari kejadian lalu hingga
ia berulang. Dalam kes pencemaran Sungai Johor malam tadi, Jabatan Alam Sekitar
(JAS) dalam proses mengenal pasti punca tetapi saya syak ia disebabkan punca
sama seperti sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya,
tindakan tegas perlu diambil termasuk menutup operasi kilang, ladang atau pusat
ternakan yang menyebabkan sungai tercemar.
Katanya,
difahamkan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) kini dalam proses meletak sistem
penggera bagi memudahkan mereka mengawal pencemaran.
"Apa
yang penting, saya cadangkan semua agensi kerajaan mengenakan tindakan tegas
mengikut undang-undang sedia ada bagi menjaga kepentingan pengguna yang
ramai," katanya.
Terdahulu
SAJ Ranhill dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan pihaknya terpaksa
menghentikan operasi di Loji Rawatan Air Semangar berikutan kandungan ammonia
tinggi sejak malam semalam.
Ketua
Komunikasi Korporatnya, Jamaluddin Jamil berkata, ia adalah kejadian ketiga
tahun ini dan pihaknya terpaksa berbuat demikian (menghentikan operasi) bagi mengelak
kesan ammonia masuk ke dalam sistem rawatan air bersih dan mengganggu kualiti
air yang bakal diterima pengguna.
"Kualiti
air dibekalkan SAJ Ranhill menjadi keutamaan dan perlu mematuhi piawaian paras
ammonia ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu pada paras 1.5
part per billion (ppm).
"Kami
terpaksa mengambil keputusan tidak merawat air mentah kerana mengandungi
kandungan ammonia yang tinggi sehingga 2.75 ppm walaupun sedar ia loji utama
bagi menyalurkan air terawat ke sebahagian Johor Bahru dan Kulai,"
katanya.
Sebanyak 160,000 pengguna SAJ Ranhill terjejas di
sepanjang Jalan Senai-Seelong; keseluruhan Kulai dan Senai; Gelang Patah dan
Iskandar Puteri; Taman Impian Emas; Taman Sri Putra; Taman Impian Skudai,
keseluruhan Kempas; Taman Sri Austin dan kawasan sekitar serta kawasan sekitar
Kangkar Pulai.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu,
28 Oktober 2017
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.