Rakus ratah
hasil hutan
Kuching: Harga mencecah RM800 untuk satu meter padu bagi kayu balak
berkualiti seperti meranti dan selangan batu menjadikan sindiket pembalakan
haram gelap mata walaupun sedar boleh dikenakan hukuman berat sekiranya
tertangkap.
Ketua Unit Operasi dan Siasatan Bahagian Pencegahan dan Penguatkuasaan
Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Abdul Wahab Ahmad berkata, untuk sekali operasi
penebangan yang dijalankan sindiket mampu mengaut keuntungan ratusan ribu
ringgit mengikut balak yang ditebang.
Menurutnya, ia sekali gus menyebabkan sindiket haram terus ‘memburu’ balak
berkualiti tinggi dengan jumlah meter padu yang besar kerana mahu mengaut
keuntungan berlipat ganda.
“Ada sesetengah kayu balak yang dikategorikan kurang mahal juga boleh
mencecah antara RM300 hingga RM500 bagi setiap meter padu namun bagi balak
berkualiti harganya lebih mahal.
“Kayu balak berkualiti seperti meranti dan selangan batu kebiasaannya masih
hidup di hutan tebal seperti di Hulu Kapit menjadikan kawasan itu lokasi
pilihan kerana sindiket dapat mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit untuk
sekali operasi,” katanya.
Abdul Wahab berkata, kerajaan negeri menerusi JHS mengenakan royalti RM65
untuk satu meter padu bagi semua kayu yang ditebang oleh pembalak berlesen.
Beliau berkata, setiap balak yang ditebang perlu mempunyai cap kebenaran
JHS yang akan ditandakan pada hujung setiap kayu bagi menunjukkan syarikat yang
memiliki lesen membalak sudah membayar royalti kepada kerajaan negeri.
Katanya, hasil yang diperoleh daripada kutipan royalti daripada pembalak
berlesen mencecah antara RM500 juta hingga RM600 juta setahun.
“Jika dilihat pada statistik rampasan, jumlah balak yang dirampas kerana
tidak dibayar royalti adalah rendah iaitu sekitar satu peratus daripada jumlah
keseluruhan, namun apa yang JHS utamakan adalah impak kepada alam sekitar.
“Sindiket menebang pokok tanpa menilai kriteria dan kesesuaian memberi
kesan kepada alam sekitar dan ekosistem lain seperti hidupan di hutan dan
sungai,” katanya.
Menurut beliau, balak yang berkualiti mengambil masa puluhan tahun untuk
hidup, tetapi tindakan rakus pembalak haram hanya mengambil masa beberapa minit
untuk menebangnya, sekali gus memusnahkan alam sekitar.
“Tindakan sindiket itu juga memberi impak lain, misalnya pencemaran sungai
khususnya di hutan dara pasti akan berlaku jika sindiket menerokai kawasan
hutan secara membuta tuli.
“Operasi berterusan akan terus dilaksanakan JHS dengan kerjasama agensi
penguatkuasaan lain kerana kami tidak mahu penjenayah alam sekitar ini terus
menjadikan hutan di negeri ini sebagai lubuk meraih keuntungan tanpa sedar
impak kepada generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya, JHS juga tidak akan
berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjadikan hutan di negeri ini untuk
meraih keuntungan mudah dengan mengorbankan alam sekitar, sekali gus
menjejaskan flora dan fauna lain.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin,
8 Mei 2017
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.