17 tahun semai balak
Hulu Terengganu: Walaupun menginjak usia emas, wanita ini tetap cergas
melakukan kerja semaian anak pokok balak bagi menjamin kesinambungan
kelestarian alam untuk generasi akan datang.
Bagi Tijah Ali, 62, dia puas melakukan pekerjaan itu meskipun ia sekadar
mengisi masa lapang dan lebih mengujakannya kerana tahu anak pokok yang disemai
akan ditanam di dalam hutan atau setidak-tidaknya dijadikan bahan kajian.
Menurutnya yang berasal dari Kampung Kuala Jeneris, usaha menanam anak
pokok balak dilakukannya sejak 17 tahun lalu selepas melihat potensi serta
permintaan tinggi.
“Biasanya orang mengusahakan semaian anak pokok buah-buahan dan bunga namun
saya memilih untuk menyemai anak pokok balak antaranya jenis cengal kampung,
meranti tembaga dan rambai daun.
“Setiap anak pokok yang mencapai ketinggian sekaki setengah dijual dengan
harga 40 sen sepohon manakala anak pokok pula saya beli dengan harga empat sen
sepohon daripada pembekal yang memungutnya di dalam hutan,” katanya.
Katanya, anak pokok itu dibiarkan di kawasan lapang untuk pembesaran
sebelum dijual.
“Biasanya anak pokok balak ini dijual satu atau dua kali setahun dan setiap
tahun saya mampu memasarkan hingga 30,000 anak pokok balak kepada pengusaha
pusat semaian pokok di kampung,” katanya.
Tijah berkata, ada juga individu dan kakitangan kerajaan datang melihat dan
membuat kajian mengenai spesies anak pokok balak yang disemainya itu dan secara
tidak langsung ia memberi kepuasan kepadanya dalam usaha menjaga kelestarian
alam.
“Bukan duit yang saya cari, jika dibandingkan
untung sememangnya tidak seberapa dengan kerja yang dilakukan namun kepuasan
melakukan kerja semaian membuatkan saya terus mengabdikan diri untuk melakukan
kerja ini selagi terdaya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu,
4 November 2017
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.