Pencemaran Teruk Di Sg Batu Ferringhi
IWK Sahkan Mereka
Bukan Punca
PULAU
PINANG: Indah Water Konsortium Sdn Bhd
(IWK) mengesahkan pada Selasa yang mereka bukanlah pihak yang bertanggungjawab
melepaskan sebarang bahan kumbahan ke Sungai Batu Ferringhi, di sini sehingga
membawa kepada pencemaran air yang dahsyat baru-baru ini. IWK dalam satu
kenyataan menyebut bahawa mereka memang menjalankan operasi dan merawat air
sisa kumbahan untuk kawasan di sekitar loji olahan kumbahan iaitu loji PEG073
di Jalan Batu Ferringhi, Pulau Pinang. Loji olahan kumbahan tersebut menurut
IWK memberikan perkhidmatan kepada 30,000 pengguna dan pada masa ini, loji
tersebut berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah kebocoran.
"Keputusan
persampelan juga memenuhi piawaian-piawaian yang ditetapkan oleh badan kawal
selia. Satu pemeriksaan lanjutan telah dijalankan di rangkaian paip-paip
pembetungan di bawah tanah di sekitar Batu Ferringhi dan mendapati tiada
sebarang kebocoran atau kerosakan ditemui pada paip-paip pembetungan tersebut. "Kami
mengesyaki terdapat kemungkinan sumber-sumber lain yang menyebabkan pencemaran
kepada sungai-sungai dan laut di sekitar Batu Ferringhi baru-baru ini,"
jelas kenyataan itu lagi. IWK ialah sebuah syarikat perkhidmatan pembetungan
nasional milik Menteri Kewangan Diperbadankan yang bertanggungjawab untuk
menyediakan perkhidmatan pembetungan untuk 21 juta pengguna di seluruh negara,
kecuali negeri-negeri di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Bandaraya Johor Bahru.
Tumpuan
utama syarikat tersebut adalah pengendalian operasi dan penyelenggaraan 5,997
buah loji olahan awam dan 16,328 km panjang rangkaian paip pembetungan bawah
tanah. Baru-baru pihak media telah menyiarkan satu laporan berita mengenai
kemunculan bahan hitam yang sangat pekat yang berpunca dari muara Sungai Batu
Ferringhi sehingga menjejaskan persekitaran pantai Batu Ferringhi. Ketua
Menteri, Lim Guan Eng ketika ditemui pada Selasa menegaskan beliau telah
menyerahkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk mengendalikan
kes tersebut yang sebelum ini dipercayai berpunca dari logi IWK. Dalam
perkembangan berkaitan, lawatan tapak yang dilakukan oleh MPPP bersama Jabatan
Pengairan dan Saliran (JPS) pada Isnin mendapati, air hitam yang mengalir dari
Sungai Batu Ferringhi itu berlaku di kawasan muara sungai tersebut.
MPPP
dalam satu kenyataan media memaklumkan yang siasatan dan ujian ke atas air
sungai tersebut telah dilakukan oleh dua agensi kerajaan iaitu Jabatan Alam
Sekitar (JAS) dan JPS. Mengikut JAS, hasil ujian air sungai hanya akan diketahui
selepas tempoh dua minggu dari sekarang.
"MPPP
memandang serius kejadian ini dan tindakan perundangan boleh diambil ke atas
sesiapa yang menyebabkan pencemaran di bawah perundangan pihak berkuasa
masing-masing. Satu mesyuarat koordinasi telah diadakan oleh JAS pada
Selasa berhubung insiden ini," ujar kenyataan yang diterbitkan oleh
Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Korporat MPPP itu.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.