Baja tahi ayam punya pasal
PREMIS menternak ayam dan memproses baja tahi ayam
yang beroperasi tanpa kelulusan dikenal pasti punca pencemaran ammonia di
Sungai Johor yang menjejaskan tiga Loji Rawatan Air (LRA) di Kota Tinggi dan
Kulai, Johor sejak kelmarin.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr
Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, premis yang beroperasi di tebing Sungai
Sayong, Kulai itu turut bertanggungjawab ke atas pencemaran Sungai Johor pada
Julai tahun lalu menyebabkan 600,000 penduduk terjejas.
Katanya, JAS Johor mendapati premis berkenaan
beroperasi tanpa kelulusan pihaknya dan juga dari Pejabat Tanah Daerah Kulai
serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor.
"JAS Johor sebelum ini tidak meluluskan
permohonan Penilaian Awal Tapak (PAT) kilang berkenaan untuk meneriskan operasi
di kawasan berkenaan dan mengarahkan ia dipindahkan ke lokasi lain, namun tidak
diendahkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dr Mohammad Ezanni berkata, susulan kes pencemaran
ammonia di Sungai Johor pada Julai tahun lalu, satu mesyuarat dengan semua
agensi dan pihak berkaitan diadakan dan bersetuju untuk memindahkan premis
berkenaan ke lokasi lain.
Katanya lagi, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan
pihaknya sebelum ini, premis ternakan ayam dan memproses baja tahi ayam itu
tidak mengamalkan aspek penyimpanan yang sesuai terhadap baja yang dihasilkan.
"Baja dari tahi ayam itu terdedah kepada cuaca
dan apabila hujan, ia meresap ke dalam tanah dan masuk ke dalam sungai
menyebabkan berlaku pencemaran ammonia," katanya.
Semalam, LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA Tai
Hong terpaksa dihentikan menyebabkan keseluruhan akaun pengguna air terjejas
sebanyak 360,000, membabitkan hampir dua juta penduduk.
Bagaimanapun, Ketua Komunikasi Korporat SAJ Ranhill,
Jamaluddin Jamal dalam kenyataan media berkata, bekalan air dipulihkan secara
berperingkat hari ini.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.