Total Pageviews

Monday, 3 September 2018

nelayan sengsara


Dilema nelayan ketam nipah Kuala Gula






PADA Jun 2008 dan Julai 2009, penulis pernah singgah di jeti nelayan Kampung Tersusun Kuala Gula, di persisir pantai utara Perak, kira-kira 50 kilometer (km) dari barat laut bandar Taiping dan 80km dari sempadan Pulau Pinang.
Ketika itu, penulis menyertai pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan kajian arkeologi ke atas rangka manusia purba dianggarkan berusia 3,000 tahun di Pulau Kalumpang.
Kampung Tersusun adalah sebuah penempatan nelayan yang dikelilingi hutan bakau serta pantai berlumpur, di daerah Kerian dan ia adalah sebahagian daripada hutan simpan paya Larut Matang yang disempadani Sungai Selingsing menghala ke muara.
Dari segi geografi, kedudukan beberapa penempatan nelayan di situ amat strategik terutama kepada nelayan pantai yang lebih bertumpu kepada kegiatan menangkap ketam nipah (Scylla Serrata), siput, kerang dan ternakan ikan dalam sangkar, selain nelayan laut dalam.
Syurga nelayan
Tiga pulau utama iaitu Pulau Gula, Pulau Kalumpang dan Pulau Selinsing membentuk benteng utama menghadap muara sungai dan dianggap syurga bagi nelayan kerana di situlah setiap keringat yang menitis dibayar dengan upah lumayan hasil tangkapan hidupan marin, terutama ketam nipah.
Namun, sejak lebih dua tahun lalu, semua rekod gemilang dengan pendapatan bersih minimum RM70 sehingga lebih RM200 seorang untuk sehari, sudah menjadi sejarah
Kini, RM70 sehari itu dianggap maksimum, belum ditolak kos petrol, umpan dan untung bersih yang dibahagi dua atau tiga orang mengikut bot. Ini bermakna, mereka cuma meraih purata RM15 seorang sehari dan jumlah itu semakin merosot.
Tidak mustahil dalam tempoh beberapa tahun lagi, tiada lagi bot nelayan ditambat di jeti, tiada lagi pukat atau bubu dijemur di tebing dan tiada lagi orang yang bekerja sebagai nelayan di kampung nelayan.
Keadaan berubah
Di Malaysia, hanya sembilan kawasan yang dikategorikan sebagai lokasi ketam nipah iaitu Kuala Kurau; Kuala Trong; Kuala Sepetang dan Kuala Selinsing (Perak); Semantan dan Sarikei (Sarawak); Kampung Sungai Melayu (Johor); Lagun Kuala Semerak (Kelantan) dan Kampung Permai, Sungai Petani (Kedah).
Penulis cuba mengupas isu di sebalik dilema nelayan di sini dengan menghabiskan masa tiga hari bersama-sama mereka untuk lebih memahami permasalahan dihadapi.
Walaupun sudah tujuh tahun berlalu, penulis masih ingat detik-detik gemilang aktiviti nelayan di situ. Bayangkan, setiap petang antara jam 3 hingga 5 petang (bergantung kepada paras air pasang surut), jeti di situ riuh rendah dengan suara peraih dan nelayan yang baru pulang menangkap ketam.
Wajah mereka yang terbakar dek panas matahari tetap mengukir senyum kerana berjaya membawa pulang hasil lumayan membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya turut berbangga melihat limpahan rezeki mereka.
Paling menarik ketika itu, 15 nelayan wanita turut bersaing merebut peluang mencari rezeki. Perbezaan jantina dan kudrat tidak menjadi ukuran, sebaliknya siapa yang berusaha, akan menerima nikmatnya.
Kini, apabila kembali ke sana, penulis mengharapkan nostalgia masih seperti skrip lama atau lebih baik, tetapi semuanya cukup mengecewakan. Bagi nelayan pantai yang menggunakan bot kecil, mereka tidak boleh melepasi had 30 batu nautika untuk menangkap ketam atau ikan. Ini bermakna mereka mempunyai pilihan terhad dan gugusan tiga pulau itu pilihan terbaik mencari rezeki.
Persekitaran jeti sunyi sepi
Sewaktu penulis tiba di sana minggu lalu, kira-kira jam 3.30 petang, penulis terus ke jeti nelayan. Persekitaran jeti itu sunyi sepi, yang ada cuma beberapa nelayan yang sedang membersihkan bot dan ada yang baru pulang menangkap ketam.
Di satu sudut, di bawah bumbung zink berkarat di tebing yang dipenuhi cerucuk kayu penambat bot, kelihatan Norasyikin Husin, 36, sedang mengikat ketam nipah dalam bot kecil miliknya. Bersendirian tanpa teman, Norasyikin kelihatan seperti cepat-cepat mahu menyelesaikan kerja.
"Mana Mak Long," tanya penulis kepada Norasyikin. Mak Long adalah antara nelayan wanita yang dianggap 'otai' di situ dan penulis pernah beberapa kali bertemunya sebelum ini. Setiap kali pulang dari laut, Mak Long tidak pernah mengecewakan keluarganya dengan membawa pulang hasil lumayan.
"Mak Long dah tak larat nak ke laut. Lagi pun, sekarang ini, siapa nak turun (ke laut), buat penat je. Hasil tak seberapa, tetapi penat yang lebih. Tinggal beberapa kerat (orang) saja yang turun," kata Norasyikin dengan nada kecewa sambil menunjukkan beberapa ekor ketam yang sudah diikat.
Kami meninjau keadaan di jeti, banyak bot yang ditambat di situ berada dalam keadaan kemas dan bersih. Itu petanda pemiliknya tidak turun menangkap ketam, mungkin sudah beberapa hari.
Lokasi paling mudah untuk menilai hasil tangkapan ialah jika menjenguk di jeti peraih, tempat nelayan menjual hasil tangkapan. Di situlah peraih akan melonggokkan hasil di lantai sebelum diasingkan mengikut jenis dan gred sebelum dijual kepada pemborong atau pembeli di jeti.
Kelihatan beberapa orang sedang bekerja mengasingkan hasil tangkapan udang yang bercampur dengan anak ikan dan anak ketam. Dahulu, longgokan udang dianggap sebagai bukit, tetapi kini, mahu dianggap anak busut pun belum tentu layak.
Kemudian, tong ketam nipah dikeluarkan. Ada empat tong ketam nipah mengikut saiz yang siap diikat, tetapi isinya cuma paras lantai tong sahaja. Hasil itulah yang akan dijual kepada pembeli dan pemborong yang sudah menempahnya beberapa hari lebih awal.
Dahulunya, datang sahaja ke jeti di sebelah petang, pasti pembeli tidak akan pulang dengan tangan kosong. Mahu atau tidak, itulah senario yang berlaku sekarang dan kepahitan yang mesti ditelan nelayan pantai.
Pendapatan tidak berbaloi
Memang harganya lebih mahal berbanding dahulu, tetapi apa guna harga mahal, tetapi kuantiti tangkapan mereka sangat kecil. Margin keuntungan terlalu rendah, bahkan seperti tidak berbaloi, tetapi bagi nelayan, yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Dalam diri mereka, tiada istilah putus asa, kerana itulah sumber untuk mencari sesuap nasi. Jika situasi itu masih berlarutan, apa akan jadi dengan nasib kira-kira 1,000 nelayan di Selinsing, Kuala Kurau, Tanjung Piandang, Kuala Gula dan Bagan Tiang. Mereka adalah sebahagian daripada 3,000 ahli Persatuan Nelayan Kerian termasuk nelayan laut dalam.
Pada tahun 2013, nelayan pantai di Kerian menyumbang kepada RM214 juta hasil tangkapan tahunan, manakala nelayan sekitar Larut Matang merekodkan pendapatan RM429 juta.
Paling terjejas pastinya kira-kira 100 nelayan pantai di pesisir Kalumpang, Selingsing, Kuala Gula, Sungai Pinang, Sungai Baru, Sungai Plotan, Sama Gagah dan Kampung Dew yang berkongsi lokasi sama menangkap ketam di sekitar Pulau Gula, Pulau Kalumpang dan Pulau Selingsing.
Mungkinkah kali ini, ramai anak muda yang pernah bergelar nelayan akan menukar status sebagai pekerja kilang atau penganggur. Jika dinilai kepada kata-kata bekas nelayan yang kini menjadi pemandu pelancong, Wahab Arob, pendapatan mereka sangat merosot.
"Dahulu orang akan tanya berapa kilogram dapat, tetapi hari ini, mereka tanya berapa ekor dapat?," katanya.
"Ada yang cuma dapat sembilan ekor ketam. Paling teruk dua ekor, macam mana nak cari makan. Di sini, ada lima pelantar (jeti) nelayan. Anggaran 30 bot kecil, tetapi sekarang lebih separuh tidak aktif," katanya.
Apa akan jadi kepada mereka jika situasi itu berlarutan dan tiada sebarang tindakan proaktif dilakukan mana-mana pihak untuk membantu menyelesaikan masalah dengan merangka pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang.
BH akan mengupas lebih mendalam dilema nelayan di situ serta cadangan dan penyelesaian segera yang menjadi impian mereka dalam siri laporan akan datang.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.