Kilang
proses baja tahi ayam Diarah tutup
KERAJAAN negeri Johor mengarahkan operasi sebuah
kilang memproses baja tahi ayam dan ladang ayam telur di Layang Layang, Kluang
yang dikenal pasti menyumbang kepada pencemaran ammonia di Sungai Johor
ditutup.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
berkata mengikut maklumat diperoleh, syarikat berkenaan beroperasi di kawasan
sama dan terletak sejauh kira-kira sekilometer dari kawasan pembebasan ammonia
berkenaan.
Menurutnya, kesalahan itu dipandang serius berikutan
ia dipercayai dilakukan berulang-kali.
Katanya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi
dengan kejadian seumpama itu dan menggesa Badan Kawal Selia Air Negeri Johor
(Bakaj) mengambil tindakan bersesuaian.
"Apa-apa yang boleh menyumbang kepada pencemaran
Sungai Johor, tindakan drastik akan dilakukan dan langkah pencegahan akan
diambil," katanya.
Mohamed Khaled berkata, keputusan untuk mengarahkan
syarikat itu ditutup adalah hasil mesyuarat yang diadakan hari ini membabitkan
pelbagai agensi termasuk BAKAJ, SAJ Ranhill Sdn Bhd, Jabatan Alam Sekitar (JAS)
dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Pejabat Tanah Daerah Kulai.
Beliau berkata demikian di sidang media di Majlis
Penyerahan Notis 5A dan Majlis Perasmian bootcamp eRezeki dan eUsahawan
Parlimen Gelang Patah di Dewan Raya Majlis Perbandaran Johir Bahru Tengah
(MPJBT) Gelang Patah di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar.
Semalam Loji Rawatan Air (LRA) Semangar ditutup
diikuti dua lagi iaitu LRA Sungai Johor dan Tai Hong menyebabkan bekalan air
bersih membabitkan terjejas di sekitar daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota
Tinggi.
LRA Semangar membabitkan 160,000 akaun dan dua lagi
LRA itu membabitkan masing-masing 170,000 dan 30,000 akaun pengguna air.
Insiden penutupan LRA Semangar itu adalah kejadian
kali ketiga penemuan amonia dalam sumber air mentah di LRA berkenaan direkodkan
sepanjang tahun ini.
Difahamkan LRA Semangar dan Sungai Johor sudah
beroperasi sepenuhnya sejak tengah malam tadi.
Manakala Tai Hong pula akan mula beroperasi mulai
malam ini gangguan bekalan air di kawasan terjejas dijangka akan pulih sepenuhnya
esok.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.