Total Pageviews

Friday 7 September 2018

Bukan pokok sembarangan


Bukan pokok sembarangan





Penanaman pokok boleh berlaku di pelbagai tempat. Di halaman rumah, halaman pejabat, persekitaran sekolah dan yang paling ketara, penanaman pokok sering dilaksanakan di kawasan bandar terutamanya di pinggir jalan.

Walau di mana pun pokok ditanam, tetap memerlukan beberapa proses awal bagi membolehkannya tumbuh dan membesar tanpa mendatangkan masalah. Adalah lebih baik sebelum penanaman dilakukan, kita mengetahui serba sedikit mengenai pokok yang bakal kita tanam. Ini disebabkan karektor atau rupa bentuk pokok berkenaan semasa kecil tidak sama apabila dewasa.

Pokok akan tumbuh dengan sifat dan karektor semula jadinya. Ada yang tinggi. Ada yang sederhana tinggi dan ada juga yang bersaiz kecil sahaja. Ada yang tumbuh secara menirus dan ada juga yang rendang.

Sikap mengambil mudah tanpa mengambil kira saiz pokok serta rupa bentuknya apabila dewasa boleh mengundang masalah dan berkemungkinan juga risiko lain apabila pokok mula membesar.

Dengan memahami sifatnya, pokok yang bakal ditanam akan memberikan fungsinya dengan baik dan boleh membantu mengelakkan gangguan yang mungkin berlaku apabila pokok semakin dewasa.

Sekiranya anda kurang pasti dengan pokok yang anda ingin tanam, bolehlah merujuk atau bertanyakan kepada arborist yang ada.

Anda kini berada di fasa kedua dalam kerja penanaman pokok. Fasa kedua ini melibatkan proses penanaman. Ia bermula dengan pemilihan anak pokok yang berkualiti sebelum aktiviti menanam dijalankan.

Penanaman pokok bermula dengan pemilihan anak benih. Pilihlah anak benih pokok yang sihat, tumbuh dengan tegak, berbatang kuat dengan cabang yang sempurna. Elakkan memilih anak benih yang mempunyai cabang co-dominant ataupun bercabang dua dari peringkat kecil lagi.

Sekiranya pokok ini anda perlukan juga, pastikan cabang yang lemah, bergesel, bengkok dipotong terlebih dahulu. Hanya satu cabang utama sahaja dikekalkan untuk pertumbuhan struktur pokok yang baik. Pastikan juga anak benih yang anda pilih tidak mempunyai akar yang bergulung atau berpintal.

Secara umumnya anak benih pokok boleh tumbuh dengan pelbagai rupa bentuk percabangan. Terdapat anak benih pokok ini yang tumbuh dengan satu batang utama dan ini dikenali sebagai single leader. Terdapat juga anak-anak benih yang tumbuh dengan dua batang utama dan ini pula dikenali sebagai batang co–dominant.

Sementara itu, terdapat juga anak benih yang tumbuh dengan keadaan berbilang batang dan bentuk percabangan ini dikenali sebagai multiple leaders.

Kepelbagaian rupa bentuk percabangan batang utama anak-anak benih ini merupakan petunjuk awal dan akan mempengaruhi bagaimana rupa bentuk pokok tersebut apabila besar nanti.

Sebagai panduan, pilihlah anak benih yang mempunyai satu batang utama (A) atau satu pucuk utama sahaja untuk tujuan penanaman. Penanaman anak-anak benih yang mempunyai single leader boleh menghasilkan pokok-pokok yang berbatang lurus, tegak dan kelihatan seragam.

Keadaan ini sangat sesuai bagi spesies yang mempunyai silara matang berbentuk kon, lonjong atau bertingkat seperti merawan (Hopeaodorata), penagalilin (Mesuaferrea), jelutong (Dyeracostulata), tekoma (Tabebuia pentaphylla), pulai (Alstonia angustiloba) dan bucida (Bucidabucheras).

Anak-anak benih yang mempunyai percabangan co-dominant atau pun batang utamanya berbilang boleh dirawat menerusi pemangkasan.

Ia menunjukkan bagaimana anak benih yang mempunyai dua batang utama dirawat menerusi kaedah pemangkasan yang dikenali sebagai structural pruning. Selain mempraktikkan structural pruning semasa di peringkat tapak semaian, juga sangat perlu untuk dipraktikkan pada awal penanaman.

Bagi memastikan percabangan pokok ini terbentuk dengan baik, pilihlah anak benih yang mempunyai keadaan cabang yang baik. Cabang ini perlu diurus agar berada pada jarak yang sesuai untuk perkembangan pokok.
Antara ciri-ciri keadaan anak pokok yang berkualiti termasuklah:
1. Mempunyai satu batang utama (batang utama tidak bersifat co-dominant) iaitu mempunyai dua batang utama yang saling bersaing dan tidak mempunyai batang utama berbilang atau banyak, yang dikenali sebagai multiple leaders atau forking)

2. Dahan-dahan utamanya tidak bersentuhan dengan batang utama pokok ini.
3. Mempunyai dahan-dahan yang bersaiz dua pertiga lebih kecil berbanding saiz diameter batang utama
4. Dahan-dahan tersusun tidak terlalu rapat antara satu sama lain.
Berikut merupakan contoh pokok yang separa matang tetapi ditanam dari peringkat awal atau kecil dengan pemilihan kualiti yang rendah.
Elakkan daripada menanam pokok sedemikian bagi mengelak risiko dan mengurangkan kesulitan menguruskannya semasa besar nanti.
Selain melihat kepada rupa bentuk percabangan dahan atau batang pokok, pastikan juga anda tidak memilih dan menanam pokok yang cedera atau rosak pada mana-mana bahagian anggotanya.

Anggota yang cedera dan terdedah boleh menjadi punca kepada pereputan selain serangan penyakit. Pilihlah tanaman yang seimbang dari segi silara dan percabangannya.

Anak benih yang dipilih juga perlu mempunyai jumlah akar yang seimbang berbanding silara serta akarnya tidak bergulung. Pertumbuhan pokok akan terbantut , tidak sihat dan mudah tumbang sekiranya ditanam dengan keadaan akarnya yang berpintal.

Selain pemilihan anak benih, pemilihan spesies pokok juga merupakan antara faktor yang banyak mempengaruhi kejayaan fungsi tanaman tersebut dan bertahan lama. Pemilihan spesies pokok hendaklah disesuaikan dengan konsep right tree - right place iaitu menanam pokok yang betul di lokasi yang betul.

Tidak semua pokok sesuai untuk semua tempat. Luas kawasan atau ruang yang disediakan mempengaruhi jenis pokok yang bakal ditanam. Pengaruh ruang penanaman terhadap pokok sangat tinggi.

Lebih luas ruang untuk pokok membesar maka lebih baik untuk pokok berkenaan. Pokok memerlukan ruang untuknya membesar dan berkembang. Tambahan pula pokok yang sifatnya merendang dan sering menjadi pokok pinggiran jalan.

Ini juga bermakna penanaman yang terlalu rapat boleh mengundang masalah persaingan ruang antara satu sama lain.
Selain ruang, jenis tanah di lokasi berkenaan juga perlu diambil kira untuk dipadankan dengan jenis pokok yang boleh tumbuh dengan baik dengan keadaan dan jenis tanah berkenaan.
Sekiranya proses pemilihan anak benih ini telah berjalan dengan lancar maka langkah seterusnya ialah menyediakan tapak penanaman. Kini kita semakin bersedia untuk melaksanakan penanaman pokok.

Ikuti langkah-langkah penyediaan tapak penanaman sebagai panduan untuk melaksanakan penanaman yang baik nanti.






.
.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.