Total Pageviews

Friday, 7 September 2018

Tasik Kenyir syurga kelulut



Tasik Kenyir syurga kelulut






TASIK Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, bukan sahaja kaya dengan keindahan flora dan fauna serta menjadi ‘syurga’ bagi kaki pancing, tetapi turut mempunyai kepelbagaian spesies kelulut.
Semua terbukti hasil Ekspedisi Kelulut Kenyir 2016 disertai penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan pemain industri kelulut di negara ini melibatkan beberapa lokasi pemetaan seperti Pulau Burung, Pulau Orkid, Air Terjun Lasir serta lubuk kelah di Sungai Petang.
Ekspedisi selama dua hari itu turut menemui spesies kelulut liar yang sukar ditemui iaitu tetragonula melina (kelulut merah), selain kelulut jenis homotrigona fimbriata, homotrigona aliceae, tetragonilla collina dan tetragonula.
Jumpa kelulut jarang ditemui
Ketua Penyelidik Kelulut UMT, Prof Madya Dr Shamsul Bahri Abd Razak berkata, selain membuat pemetaan kelulut, ekspedisi itu juga bertujuan meluaskan jaringan dalam kalangan pemain industri seperti pengusaha, pemilik syarikat dan peminat kelulut.
Menurutnya, menerusi ekspedisi itu, mereka berjaya membuat pemetaan pada setiap persinggahan serta menemui spesies kelulut jarang ditemui, tetragonula melina di sekitar Air Terjun Lasir dan pelbagai kelulut liar yang tidak dikenal pasti.
“Selain turun ke lapangan, forum perbincangan isu berkaitan kelulut juga diadakan bersama peserta sebagai pemindahan ilmu serta bertukar pendapat dan pandangan. Berdasarkan penyelidikan yang kita jalankan, sehingga kini terdapat 35 spesies kelulut ditemui di negara ini.
“Kita juga berjumpa pengusaha di Pulau Orkid yang ternak kira-kira 30 koloni kelulut. Kita bantu pengusaha terlibat buat senarai kelulut sesuai diternak atau sebaliknya kerana kelulut tidak hasilkan banyak madu lebih sesuai untuk hobi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Ekspedisi Kelulut Kenyir melibatkan seramai 75 individu terdiri daripada penyelidik, pengusaha dan penternak, pengumpul spesies kelulut serta pengamal media termasuk Sinar Harian.
Perusahaan madu kelulut berpotensi tinggi
Dalam perkembangan sama, Dr Shamsul Bahri yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT turut menggalakkan orang ramai menceburi pengusahaan madu kelulut kerana mampu menjana pendapatan lumayan serta berkhasiat tinggi.
Tambahnya, madu kelulut mempunyai penggemar tersendiri dan penglibatan lebih ramai pengusaha dapat meningkatkan produktiviti memandangkan belum mampu menampung permintaan tinggi dalam negara.
“Selain jana pendapatan, penghasilan lebih banyak madu kelulut turut membolehkan penetapan standard dilaksanakan kerana di Malaysia sekarang belum ada standard kita sendiri bagi madu kelulut ini.
“Penepatan standard ini penting untuk dieksport ke luar negara, tapi kita perlu tingkat pengeluaran madu kelulut terlebih dahulu. Jika mahu eksport, perlu ada lebihan dan sekarang permintaan dalam negara sendiri pun tidak mencukupi," katanya.
Cara tradisional kurang tepat
Menurut Dr Shamsul Bahri, bagi yang mahu berjinak dalam penternakan kelulut, mereka perlu ada pengetahuan asas termasuk mengenai habitat, sumber diperoleh dan spesies bersesuaian kerana tidak semua kelulut menghasilkan banyak madu serta sesuai diternak.
Katanya lagi, cara tradisional digunakan untuk menentukan sama ada madu asli atau tidak, sebenarnya tidak tepat kerana kesahihan hanya dapat dibuktikan melalui ujian makmal.
"Kini hampir 80 peratus penjualan madu tiruan terdapat di pasaran," katanya.





.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.