Dusun dalam
KL
Kuala Lumpur: Siapa sangka di sebalik kepesatan ibu negara, warga kota kini
mempunyai alternatif meredakan tekanan kerja dengan memetik hasil buah-buahan
di Kolam Takungan Banjir Batu, Kepong, di sini, lima tahun lagi.
Menggunakan konsep ‘dusun dalam bandar’, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) bersama 25 penaja daripada syarikat swasta, korporat dan pemaju, semalam
menanam 3,500 pokok merangkumi 11 spesies buah-buahan.
Datuk Bandar Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, Taman Dusun Bandar yang
kedua itu seluas 29 hektar berkonsepkan taman awam yang ditanam pokok
buah-buahan dan turut dilengkapi kemudahan rekreasi.
“Taman ini dibina sebagai lokasi pelancongan baru berkonsepkan dusun
buah-buahan di tengah bandar, sekali gus menampilkan kelainan berbanding taman
rekreasi di sekitar ibu negara.
“Selain menyediakan taman awam dan kawasan hijau, kita mengambil inisiatif
mewujudkan taman berkonsepkan dusun bagi memberi pengalaman berbeza kepada
pengunjung,” katanya ketika merasmikan Program Penajaan dan Penanaman Pokok
Buah-Buahan oleh Syarikat Swasta, Korporat dan Pemaju di Taman Metropolitan
Batu, di sini, semalam.
Ahmad Phesal berkata, bagi mencapai matlamat Program Penghijauan Kuala
Lumpur dan Lembah Klang, DBKL berusaha mendapatkan sokongan swasta untuk
merealisasikan beberapa inisiatif utama di bawah program itu dengan menjemput
beberapa syarikat menjadi rakan kongsi DBKL menerusi Program Penajaan Pokok.
“Kita berjaya mencapai bilangan kumulatif pokok tajaan 32,235 batang di
Wilayah Persekutuan dan hari ini (semalam) DBKL menerima 3,500 pokok lagi
melebihi jumlah sasaran ditetapkan.
“DBKL menjangkakan dusun ini mengambil masa lima tahun untuk ‘dituai’ dan
dibuka kepada awam kerana kita mahu memberi jaminan pokok di situ membesar
dengan sempurna tanpa gangguan,” katanya.
Menurutnya, pada peringkat awal, pokok buah-buahan ditanam kontraktor
seperti yang terkandung dalam kontrak pembangunan tetapi DBKL turut mengambil
inisiatif menambah dan menanam sendiri koleksi tambahan pokok buah-buahan.
“Antaranya durian, rambutan, duku, langsat, manggis, nangka dan kelapa.
“Kawasan ini tapak bekas lombong bijih timah bersebelahan Taman
Metropolitan Batu seluas 220 ekar (88 hektar),” katanya.
Ahmad Phesal berkata, taman dusun buah
yang kedua selepas Jalan Bellamy, dekat sini dibangunkan di kawasan bandar itu
mempunyai tarikan tersendiri untuk orang ramai beriadah di samping mengenali
tanaman buah-buahan tempatan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad,
30 November 2014
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.