Kedutaan China tolak memorandum isu Uighur
USAHA Angkatan Gerak Minda
Malaysia (AGRA), hari ini untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan
China di Malaysia berhubung isu penindasan etnik Uighur di negara itu, gagal.
Ini kerana tiada wakil
kedutaan melayani badan bukan kerajaan (NGO) itu malah, memorandum juga gagal
diserahkan.
Presiden AGRA, Mohd Ashraf
Mustaqim Badrul Munir berkata, kesal dengan cara kedutaan itu yang seolah-olah
tidak mengendahkan kehadiran mereka.
“Ini suara kolektif yang
peduli perihal kemanusiaan etnik Uighur, namun malangnya kami tidak dilayan dan
kami ambil keputusan untuk tidak menghantar memorandum ini kerana jika tetap
diberikan, ia bakal masuk ke tong sampah.
“Mungkin mereka mahu kami
datang secara diplomasi, justeru satu surat akan diusulkan kepada kedutaan itu
nanti.
“Ia bagi memohon kerajaan
China mengizinkan pihak seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk diberikan akses untuk melihat keadaan
sebenar di sana.
“Kita tidak mahu termakan
agenda barat yang dipengaruhi persaingan berkaitan ekonomi mahupun hebahan
berita tidak benar. Maka sebab itu kami ingin tahu sendiri dengan melihat
keadaan sebenar di sana dengan adanya wakil dari Malaysia,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama
kira-kira 20 wakil pelbagai NGO melakukan bantahan aman di hadapan kedutaan itu
di Jalan Ampang, Kuala Lumpur sebelum cuba menghantar memorandum terbabit.
Antara NGO lain yang hadir
termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Gabungan Pelajar
Melayu Semenanjung (GPMS).
Dalam pada itu, Mohd Ashraf
Mustaqim menuntut kerajaan bersuara dan memainkan peranan berhubung isu
pencabulan hak asasi manusia ke atas etnik ditindas itu.
“Yang penting hubungan
diplomasi perlu dijaga dan kerajaan perlu main peranan membantu masalah global
seperti konflik dan peperangan. Malaysia sudah banyak membantu negara bagi kes
pemisah antara negara malah, bersifat sebagai pemudah cara.
“Selepas ini kita akan tulis
surat kepada badan berkaitan dan harap ia dipermudahkan. Tetapi jika ia tidak
mampu diselesaikan, kita akan buat perhimpunan untuk membantah secara
besar-besaran dengan pembabitan lebih banyak NGO,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Selasa, 24 Disember 2019
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.