Ambil organ secara paksa
CHINA dikesan melakukan pembedahan secara paksa
terhadap tahanan politik sebelum mengambil organ mereka untuk dibekalkan ke
pasaran gelap yang kini dianggarkan bernilai AS$1 bilion (RM4.14 bilion)
setahun, dedah tribunal antarabangsa.
News.com.au melaporkan, beberapa kumpulan aktivis hak
asasi manusia sebelum ini menyuarakan kebimbangan mereka bahawa kira-kira 1.5
juta orang yang ditahan di kem penjara mungkin menjadi sebahagian daripada
kegiatan penjualan organ.
Tribunal dipengerusikan Sir Geoffrey Nice QC itu
diberitahu terdapat ramai tahanan yang dibunuh untuk diambil organ mereka
terdiri daripada tahanan politik dari pergerakan Falun Gong serta etnik Uyghur.
Katanya, kegiatan yang terus dinafikan oleh China itu
dianggap penghapusan etnik dan pembunuhan serta seksaan yang berskala industri.
“Pengambilan organ secara paksa adalah kejahatan yang
tidak dapat ditandingi dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam tempoh
satu abad lalu,” katanya.
Menurutnya, komuniti antarabangsa sebelum ini hanya
menutup mata apabila banyak universiti dan organisasi perubatan didakwa
bekerjasama secara aktif dengan China untuk melakukan latihan dan penyelidikan.
Tribunal China yang ditubuhkan di London itu
dianggotai beberapa negara iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Malaysia
dan Iran serta beberapa pakar hak asasi manusia, pakar pemindahan organ serta
hubungan antarabangsa.
Seramai 50 saksi dipanggil dan penilaian dilakukan
terhadap bukti visual dan tulisan yang banyak ditemui dalam tempoh setahun
lalu.
Ia turut mendedahkan pengambilan organ turut dilakukan
dengan cara kuno apabila mereka melakukan pembedahan ketika tahanan berada
dalam keadaan sedar dan kegiatan itu dipercayai bermula sejak 2001.
Mengikut pasaran gelap, hati manusia yang sihat boleh
mencecah nilai tinggi iaitu dijual pada harga sekitar AS$160,000 (RM662,988).
Dianggarkan terdapat 60,000 pembedahan ‘menuai organ’
dilakukan setiap tahun dalam tempoh dua dekad dan sebahagian besarnya diambil
daripada tahanan yang sudah dibunuh.
“Dalam tempoh selama beberapa tahun ditahan tanpa
dibicarakan secara adil, keadaan hidup dan penyeksaan yang teruk serta menerima
ancaman bunuh, tahanan yang terselamat menjadi bukti berdasarkan pemeriksaan
fizikal mereka termasuk ujian darah, imbasan x-ray serta ultrabunyi.
“Laporan pakar menyatakan satu-satunya penjelasan
terhadap tindakan itu adalah mereka ingin memastikan organ mangsa sihat dan
boleh dikeluarkan,” kata laporan itu.
China sebelum ini sering menafikan pembabitan dalam
kegiatan terbabit walaupun tribunal sedar pendirian mereka sentiasa
berubah-ubah.
“Pada 2001, kenyataan rasmi pegawai kerajaan China
mendakwa sumber utama organ manusia adalah daripada pendermaan secara sukarela
oleh rakyat China.
“Bagaimanapun, empat tahun kemudian mereka mendakwa
pula kebanyakan organ diambil daripada banduan yang dijatuhkan hukuman mati dan
sudah memberi kebenaran untuk diambil organ,” kata laporan itu.
Artikel ini
disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.