Serai
ganti straw
PENGGUNAAN serai sebagai penyedut minuman akan diperluaskan ke
kafe hospital termasuk kepada pesakit bagi menggantikan straw plastik.
Cadangan itu dikemukakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian
Kemubu (KADA), Senator Datuk Husam Musa yang bersedia membekalkan serai kepada
mana-mana pihak yang ingin menyahut saranan itu.
Beliau berkata, penggunaan serai sebagai penyedut minuman adalah
sesuatu yang baru dan sebagai permulaan, beliau mewajibkan penggunaannya di
semua kafe KADA.
"Tanaman serai mempunyai 27 jenis dan untuk penggunaan
sebagai penyedut minuman, serai buluh adalah sesuai.
"Kita akan memajukan penggunaannya kepada kafe Hospital
Universiti Sains Malaysia (HUSM) sama ada untuk digunakan oleh orang ramai atau
pesakit kerana ia adalah bahan semula jadi.
"Tanamannya juga akan diperbanyakkan iaitu di sepanjang
tebing tali air KADA dan dianggarkan lebih 10,000 rumpun sudah ditanam di
Kampung Padang Halban," katanya di Ladang Merdeka Senor, Pasir Mas,
semalam.
Husam menyifatkan penggunaannya adalah dua dalam satu kerana
lapisan luar saja dijadikan penyedut minuman manakala isi dalamnya dijadikan
bahan masakan seperti biasa.
Katanya, beliau akan membuat surat rasmi kepada pihak HUSM,
Kubang Kerian untuk kemukakan cadangan itu dalam masa terdekat memandangkan
bekalan serai sangat banyak.
"Bagi pencinta alam sekitar, inisiatif
serai sebagai penyedut minuman adalah amat bagus kerana dapat mengurangkan
penggunaan bahan plastik," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.