Total Pageviews

Sunday, 5 January 2020

Benarkan kami Siasat kekejaman pada Uighur


Siasat kekejaman pada Uighur

Beri akses antarabangsa siasat Xinjiang



BERI akses penuh agensi antarabangsa untuk siasat Xinjiang.

Demikian saranan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kepada Kerajaan China supaya keadilan dapat ditegakkan kepada minoriti Islam etnik Uighur di sana.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Kedutaan China di Malaysia yang melabel laporan etnik Uighur ditahan di kem di Xinjiang, diseksa, sebagai palsu dan tidak berasas, perlu membenarkan akses penuh kepada agensi antarabangsa.

Katanya, ia bagi menyiasat semua kem berkenaan dan menyoal siasat tahanan di situ, secara bebas.

“Melalui wakil kedutaan China, mereka menyatakan kerajaan mereka sentiasa terbuka kepada cadangan dan kritikan yang membina.

“Jika demikian, kami mengesyorkan China tidak mengadakan naratif palsu dengan mengaturkan kunjungan yang dibiayai sepenuhnya ke Xinjiang.

“Laporan yang diterbitkan secara meluas seluruh dunia mengenai kekejaman ke atas etnik Uighur didakwa kerajaan China sebagai tidak berasas, jadi China harus membuka akses yang tidak terbatas kepada semua agensi penyiasatan untuk menilai sama ada semua dakwaan berkenaan betul atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azmi berkata, pihaknya hairan dengan penafian berulang kali oleh China selepas tuntutan seluruh dunia termasuk Malaysia untuk menghentikan dasar anti-Islam terutamanya ke atas etnik Uighur diketepikan.

Kami mencadangkan kerajaan China membenarkan siasatan terbuka dilaksanakan, mengundang rakyat Malaysia untuk melawat rantau Xinjiang bukan satu penyelesaian.

“Kunjungan sebagai pelancong dan mengatur lawatan yang dikawal pihak China untuk badan bukan kerajaan (NGO) Muslim, tidak memberi gambaran sebenar.

“Kami tidak berminat dengan keindahan Xinjiang dan gambaran damai, malah tindakan kedutaan tidak berminat menerima memorandum daripada NGO sangat dikesali,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azmi turut mengulas mengenai dakwaan program pasangan tidur dengan wanita Uighur yang dianggap menghinakan.

“Kami memberi perhatian serius kepada laporan mengenai satu program digerakkan kerajaan China menghantar lelaki bukan Islam China sebagai saudara atau tetamu yang ditugaskan tinggal di rumah etnik Uighur dan tidur bersama wanita yang dianggap tuan rumah.

“Dalam satu laporan yang menyiasat kes berkenaan, lelaki etnik Han ditugaskan memantau keluarga Uighur di Xinjiang dengan cara tidur bersama isteri yang ditahan di pusat latihan semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.