Total Pageviews

Sunday 5 January 2020

kercut ganti straw plastik



Straw pokok kercut ganti plastik


INISIATIF kerajaan melarang penggunaan straw plastik mendorong penyelidik melakukan kajian terhadap sumber lain yang boleh dijadikan penyedut minuman termasuk daripada tumbuhan.
Terbaharu, penyelidik dan penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya membuktikan pokok kercut atau Lepironia articulata iaitu sejenis tumbuhan akuatik yang banyak di kawasan berpaya, boleh dijadikan straw.
Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam UMP Dr Suryati Sulaiman berkata, inovasi ke atas pokok itu yang turut dikenali pokok purun dihasilkan 10 penuntut diploma dan sarjana muda universiti berkenaan di bawah Kelab Iskandar UMP.
Katanya, kajian sudah bermula pada 2012 secara berperingkat dan siap sepenuhnya pada Oktober 2019.
“Hasilnya amat menggalakkan apabila terbukti straw pokok kercut sesuai dan selamat digunakan, selain mesra alam.
“Bagaimanapun, ia hanya sesuai untuk penggunaan sekali sahaja tetapi menariknya, hanya mengambil masa seminggu ke dua minggu untuk terurai secara semula jadi, seperti dialami tumbuhan rumpai.
“Sebelum straw itu terhasil, kami melakukan lapan proses yang akhirnya membentuk empat saiz penyedut minuman,” katanya yang juga penasihat utama Projek Straw Mesra Alam itu.
Suryati berkata, lebih banyak penyelidikan akan dilakukan pada masa akan datang, dalam usaha menyahut saranan kerajaan ke arah menjadi pengeluar produk mesra alam.
Sementara itu, Ketua Kumpulan Nurul Farah Anisa Hairulnizam, 21, berkata, saiz straw pokok kercut sama seperti straw plastik dengan panjang antara 18 ke 20 sentimeter dan garis pusat dua ke lima milimeter.
Menurutnya, sebelum ini, pokok kercut hanya digunakan bagi menghasilkan barang kraftangan termasuk tikar, selain ubatan tradisional bagi merawat beberapa penyakit seperti kencing manis.
“Lapan proses dilakukan adalah membersih batang pokok, memotong mengikut saiz, membuang selaput dalam batang menggunakan sejenis berus dan menjemurnya selama tiga hari.
“Untuk mencantikkan lagi straw, ia boleh diwarnakan menggunakan pewarna daripada tumbuhan seperti pokok pandan dan pokok inai,” katanya yang memberitahu mereka mendapat geran dan sokongan Ikatan Siswa Darul Ta’zim (ISKANDAR) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP.
Nurul Farah Anisa berkata, turut membantu adalah pensyarah UMP Dr Abdul Syukor Abd Razak yang berpengalaman dalam menghasilkan produk mesra alam bertaraf antarabangsa.
“Saya berharap straw pokok kercut dapat digunakan sepenuhnya di negara ini dalam usaha menjaga alam sekitar.
“Malah pokok kercut mudah didapati di kawasan seperti Tasik Chini dan Kuala Pahang, Pekan,” katanya yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020








.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.